commercial break

03 August 2015

Wedding Photography Package

Assalamualaikum.

Sebenarnya GR masih baru lagi dalam bidang fotografi ni. Mula pun sebagai hobi disebabkan minat nak guna kamera DSLR daripada zaman belajar dulu. Masa belajar dulu, pinjam kamera kawan. Tapi bila selalu pinjam, malu. Nak beli tak mampu. Pendam sajalah. Tahun lepas, 2014 adalah duit lebih sikit masuk dalam poket. Selain asingkan untuk kahwin, GR peruntukkan juga untuk beli sebuah kamera DSLR untuk memenuhi keinginan yang dah lama sangat terpendam tu, haha.

Masa mula-mula dapat kamera tu satu benda pun tak tau. Ye lah, kita biasa main 'auto' masa pinjam kamera kawan-kawan dulu. Tak ada pulak nak belajar lebih mendalam. Tapi perlahan-lahan GR belajar sikit-sikit melalui internet, sambil tanya kawan-kawan yang ada guna DSLR jugak. Alhamdulillah dah ada lah sikit pengetahuan. Dah tukar-tukar lens, dah tau teknik sikit, hihi. 

Sekarang dah terfikir nak jadikan kemahiran tu sebagai sumber pendapatan. Ye lah kan, sekarang ni zaman mencabar. Semua perlukan duit. Jadi apa yang mampu kita buat duit, kita buat. Cuma belum cukup yakin lagi untuk betul-betul iklankan servis untuk jadi jurukamera sebab macam belum pandai lagi. Mungkin kena belajar lebih sikit. InsyaAllah, satu hari nanti harap-harap GR mampu buat untuk cari duit sampingan. Kat bawah ni bolehlah tengok koleksi gambar seterusnya, manalah tau ada yang berkenan nak ambil GR sebagai jurukamera, haha. Gurau je. InsyaAllah GR usaha dalam masa terdekat ni sampai yakin untuk jadi jurugambar rasmi.







30 July 2015

04 December 2014

Tempat-tempat beriadah di Johor Bahru bahagian 1

Assalamualaikum.

Hai semua. Kali ni GR nak berkongsi sedikit tempat-tempat yang boleh dikatakan sesuai untuk melepak ataupun beriadah di waktu hujung minggu di Johor Bahru. Memandangkan sudah hampir 3 tahun GR bekerja di sini, jadi GR dengan suka hati nak berkongsi tempat-tempat yang anda boleh singgah sekiranya berada di Johor Bahru. Mana tahu, ada yang tercari-cari tempat untuk dikunjungi namun tak tahu kan.

1) DANGA BAY

Danga Bay merupakan tempat yang tidak asing lagi di Johor Bahru. Dahulu ianya merupakan pusat tumpuan bagi pengunjung samada dari Johor sendiri ataupun dari luar. Namun, kewujudan tempat-tempat baru di kawasan sekitar dan juga pembangunan dan penambakan laut menyebabkan Danga Bay sedikit terjejas. Tetapi, anda semua masih boleh mengunjungi tempat ini untuk menghilangkan stress dan mengambil angin. 

Bagi GR, waktu paling sesuai untuk mengunjungi Danga Bay adalah pada waktu malam di mana terdapat permainan-permainan dan juga karnival di kawasan tersebut. Kawasan tersebut juga meriah dan anda boleh menyaksikan gelagat orang ramai yang berkunjung. Jika anda datang ke Johor Bahru untuk melawat keluarga, anda boleh berkunjung ke sini.


Funfair. Boleh cuba nasib

Tak tahu apa namanya ni

Yang ni paling mencabar di sini

2) BAZAR KARAT

Tempat kedua adalah Bazar Karat. Bagi mereka yang ingin membeli barang secara lambak dan dalam keadaan santai, bolehlah berkunjung ke sini. Sekali-sekala ada juga persembahan jalanan ataupun busking yang menghiburkan pengunjung. Bagi GR, tempat ini lebih santai berbanding Uptown Pandan yang berada dalam ruang tertutup dan agak melemaskan Anda juga boleh membeli kraftangan di sini.




3)BUKIT LAYANG-LAYANG PASIR GUDANG

Lokasi ketiga agak jauh dari kawasan bandar iaitu Bukit Layang-Layang di Pasir Gudang. Perjalanan dari Pusat Bandar ke sini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kawasan ini sesuai untuk mereka yang ingin beriadah dan bersenam pada waktu siang (lebih sesuai pada waktu petang). Tempat ini juga sesuai untuk kanak-kanak bermain bersama ibu bapa malah terdapat ramai orang yang bermain layang-layang di sini. 

Di sini juga ada sebuah muzium layang-layang yang menceritakan asal-usul layang dan kisah layang-layang di seluruh dunia. Setahun sekali, Bukit Layang-Layang ini juga akan menjadi tumpuan untuk Karnival Layang-Layang Sedunia. Jika anda berkesempatan, boleh cuba untuk hadir ketika festival itu berlangsung nanti.Jom tengok gambar-gambar di sekitar kawasan Bukit Layang-Layang pula.


Kawasan hijau dan menyegarkan untuk berjoging

Ada juga taman permainan untuk kanak-kanak beriadah

Pemandangan matahari terbenam yang indah di kawasan tasik

Muzium layang-layang




Sekian sahaja untuk kali ini. InsyaAllah untuk bahagian dua akan ada sambungannya. 

notakakikiri:- masih lagi tercari-cari tempat lain untuk disinggahi. ada cadangan?

02 December 2014

Tasik Biru Johor

Assalamualaikum.

Kali ini GR nak berkongsi sedikit info mengenai salah satu tempat yang sedang viral media sosial iaitu Tasik Biru di Johor. 

Tasik Biru Johor
GR pun sebenarnya baru tahu kewujudan tasik ini baru-baru ini apabila ternampak post di facebook. Tasik ini terletak di Seri Alam, Johor berhadapan dengan Unikl. Menurut info yang GR terima, tasik ini sebenarnya bekas kawasan kuari yang ditutup kerana berlakunya tragedi letupan yang mengorbankan nyawa seorang pekerja pada tahun 2013. Mungkin kerana kawasan ini dibiarkan tanpa ada apa-apa aktiviti, maka terhasilnya tasik ini.

Kawasan larangan sebenarnya
Awas, bagi sesiapa yang ingin pergi ke  kawasan ini, anda harus menanggung risikonya sendiri kerana ianya adalah kawasan larangan. GR tak tahu berapa lama kawasan ini akan dibiarkan tanpa pengawasan, namun sebaiknya anda berjaga-jaga dan faham akan risiko berkunjung ke tempat ini.

Trek mendaki yang agak curam
Untuk sampai di kawasan atas, anda perlu melakukan sedikit pendakian yang bagi GR agak curam kawasannya. Sila berhati-hati dan pakai pakaian yang sesuai. Kalau pakai dress ataupun skirt, mungkin sukar bagi anda semua untuk naik ke atas.

Kawasan tinggi dan berbahaya


Kawasan di atas juga berbahaya bagi kanak-kanak dan seeloknya pantau sebaik mungkin sekiranya anda membawa anak-anak kecil. Ketinggiannya GR anggarkan dalam 70 meter untuk ke bawah tanpa ada sedikit halangan pun. Jadi sila berjaga-jaga. Apa pun, tempat ini memang cantik dan sesuai untuk mengambil gambar.Sekian saja sedikit perkongsian dari GR untuk kali ini.

notakakikiri:- Penat juga nak daki sebenarnya, huhuhu.

11 November 2014

Kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lepas GR ada terbaca satu artikel dari blog yang GR sudah lupa namanya mengenai betapa murahnya jika kita membina rumah sendiri berbanding jika kita membeli rumah daripada pemaju. Jadi malam ini GR terfikir untuk menaip entri berkenaan dengan isu ini samada ianya benar ataupun tidak dan juga kelebihan dan kekurangannya. Sebelum anda memulakan pembacaan, ingin GR ingatkan dahulu bahawa apa yang diberitahu bukanlah 100% fakta, tetapi hanya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman GR sendiri yang bekerja di bidang pembinaan sebagai jurutera tapak (site engineer).

sumber google

Memang benar sekiranya kita membina rumah sendiri, banyak kos dapat dijimatkan berbanding membeli rumah sedia siap daripada pemaju SEKIRANYA anda mempunyai pengetahuan mengenai pembinaan (construction) dan juga prosedur untuk melakukan pembinaan serta MEMPUNYAI TANAH SENDIRI. Sebelum GR senaraikan serba sedikit mengenai kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri, GR akan terangkan mengenai prosedur utama dalam membina rumah.

Seterusnya kita perlu mempunyai kebenaran untuk membina yang diakui oleh majlis perbandaran. Kita ketepikan kes-kes membina rumah di kawasan luar bandar kerana kebanyakannya tidak tertakluk dengan pihak majlis perbandaran. Kita fokus kepada kes-kes untuk membina rumah di kawasan yang tertakluk di bawah kawasan majlis perbandaran. Untuk mendapatkan kebenaran, kita harus mempunyai pelan pembinaan yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Jadi, untuk itu arkitek dan juga perunding (consultant) perlu dilantik. Perlantikan arkitek adalah untuk mendapatkan rekaan asas rumah anda berdasarkan konsep yang anda pilih. Untuk perunding pula, ianya ada beberapa bahagian iaitu perunding struktur, mekanikal dan elektrikal, juga perunding juruukur bahan (Quantity surveyor). 

Sesetengah kes sekiranya inginkan hiasan dalaman yang cantik, pemilik perlu untuk melantik perunding hiasan dalaman (interior designer). Pemilik perlu mengambil kira bajet untuk melantik mereka. Perlu diingatkan, peringkat ini merupakan salah satu peringkat yang kritikal dalam menentukan kos pembinaan rumah anda. Adalah penting untuk memastikan semua rekaan mematuhi bajet yang anda tetapkan terutamanya untuk bahagian hiasan dalaman. Untuk hiasan dalaman anda seharusnya tahu untuk mengawal mereka daripada mengeluarkan rekaan yang berlebihan (excessive design) yang mana kadangkala boleh membuatkan anda menggeleng kepala.

sumber google
Sekiranya peringkat awal sudah selesai, peringkat kritikal yang seterusnya adalah ketika memilih kontraktor untuk membina rumah anda. Pemilihan ini adalah penting untuk memastikan kontraktor yang anda pilih berpengalaman dalam membina rumah berkualiti dengan harga yang mematuhi bajet anda dan juga tempoh pembinaan (construction period). Peringkat terakhir sekiranya pembinaan sudah selesai adalah anda harus menunggu kebenaran menduduki yang diakui oleh pihak majlis perbandaran. Perkara ini akan diselesaikan oleh arkitek dan juga perunding-perunding yang anda lantik. Sekiranya selesai, anda sudah boleh menduduki rumah yang anda sendiri bina, mengikut kemampuan.

Jadi, jika anda sudah faham mengenai prosedur utama yang GR nyatakan di atas, sekarang anda mungkin sudah tahu apa kelebihan dan kekurangannya sekiranya kita membina rumah sendiri berbanding membeli daripada pemaju.

Kelebihan membina rumah sendiri:-
  1. Bajet pembinaan dikawal oleh anda sendiri bergantung kepada kemampuan
  2. Segala keuntungan yang mampu diambil oleh pemaju menjadi milik anda
  3. Anda bebas menentukan konsep dan rekaan rumah yang anda mahu
Kekurangan membina rumah sendiri:-
  1. Anda wajib memiliki tanah sendiri terlebih dahulu dan ini selalunya menjadi halangan bagi mereka yang ingin membina rumah sendiri
  2. Anda harus mempunyai pengetahuan mengenai bidang pembinaan walaupun serba sedikit.
  3. Pemilihan arkitek, perunding dan kontraktor adalah kritikal dalam menentukan kekemasan rumah anda, terutamanya dalam memilih kontraktor binaan.
  4. Anda terlibat dalam risiko pertambahan kos sekiranya tidak mampu untuk mengawal keinginan dalam mereka terutamanya hiasan dalaman.
  5. Sekiranya pembinaan terhenti akibat masalah kontraktor (lari, bankrup atau sebaliknya), kos kerugian akan ditanggung oleh anda sendiri.
Jadi, itu sahaja yang dapat GR ceritakan berdasarkan pengalaman yang ada. Semoga mampu membantu sesiapa yang memerlukan.

nota kaki kiri:- GR pun teringin nak bina rumah sendiri, insyaAllah kalau ada rezeki.

10 November 2014

Review Filem Interstellar

Assalamualaikum

Hai. Lamanya tak menulis entri dalam blog ni. Kali ni GR nak menulis review mengenai filem Interstellar yang bermula tayangannya pada 6 November 2014.



Interstellar merupakan sebuah filem arahan Christoper Nolan yang sebelum ini telah mengarah filem yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio iaitu Inception. Interstellar adalah sebuah filem yang bergenrekan Sains Fiksyen (Sci-Fi). FIlem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Matthew McConaughey dan Anne Hathaway.

Ianya mengisahkan kehidupan Cooper (Matthew McConaughey) yang merupakan seorang bekas juruterbang Nasa yang sudah bersara daripada kerjayanya dan hidup bersama dua orang anaknya iaitu Tom dan Murphy berserta ayahnya Donald. Plot utama filem ini adalah mengenai keadaan di bumi yang sudah mengalami fasa kritikal apabila ruang atmosfera semakin berkurang dengan lapisan oksigen dan dipenuhi dengan nitrogen sebanyak 80%. Keadaan di bumi amat kritikal pada waktu itu dan bekalan makanan semakin berkurang di mana hanya tanaman jagung sahaja yang mampu hidup dan menjadi makanan asasi.

Pengembaraan Cooper bermula apabila secara tidak sengajanya dia dan anak perempuannya Murphy menemui pengkalan NASA selepas berlakunya ribut debu yang pertama. Bermula dari itu Cooper bertemu dengan Dr Brand (Anne Hathaway) dan kembali berkhidmat kepada NASA sebagai angkasawan untuk memulakan pengembaraannya untuk mencari planet di galaksi lain yang berkemungkinan sesuai untuk menjadi tempat tinggal kedua bagi menggantikan bumi. Saksikan pengembaraan hebat Cooper dan Dr Brand di angkasa lepas dalam misi menjejaki planet lain untuk kesinambungan hidup spesis manusia.

Secara keseluruhannya, GR amat berpuas hati dengan penceritaan filem ini yang mampu untuk membuka mata penonton untuk kembali berimaginasi mengenai angkasa lepas. Filem ini menghidupkan semula keinginan GR untuk membaca dan menonton dokumentari mengenai sistem solar kita dan galaksi-galaksi lain. Perjalanan cerita tersusun dengan baik dari permulaan filem sehingga ke penghujung cerita. Grafik filem ini juga memuaskan hati para penonton. Pengakhiran cerita ini mungkin nampak tipikal, namun diselitkan dengan jalan cerita yang tak disangka dan mungkin tersasar dari prinsip sains. 

Filem ini berbeza dengan filem sains fiksyen yang lain kerana ianya bukanlah semata-mata tertumpu kepada kisah fiksyen sebaliknya berasaskan fakta sains astronomi dan fizik yang baik. Bagi peminat-peminat wayang yang ingin mencari kelainan, GR sarankan untuk tonton filem ini dan anda pasti akan berpuas hati.

nota kaki kiri:- GR mampu untuk katakan filem ini layak mendapat 4/5 bintang

*******

29 January 2014

Hobi baru untuk orang bujang

Assalamualaikum.

Nostalgik rasanya bila menaip entri dalam blog ni. Mana taknya dah lama tak ada entri baru. Jangan katakan bersawang, kalau tikus boleh bersarang entah dah berapa keturunan, hehe. Entah ada atau tak orang yang baca entri ni nanti.

Jadi, tak ada apa sangat pun nak diceritakan. Biasalah karier dalam bidang pembinaan sibuknya dan tekanan tu lain macam. Nak taip entri baru pun tak mampu. Cuma baru-baru ni GR cuba luangkan masa untuk kembali mempunyai hobi. Kalau tidak rasa macam hidup ni sama setiap hari, langsung tak ada apa yang menarik, huhu.

Jadi, sekarang harapan GR nak konsisten dengan hobi yang baru dapat terlaksana walaupun dah lama teringin nak buat, huhu. Sekarang dah ada kamera sendiri, jadi senanglah. Minat untuk ambil gambar ni memang dah ada lama, cuma tak mampu nak beli kamera, hehe.

Sekarang kalau agak-agak ada masa terluang sikit, memang kameralah yang jadi peneman, sementara belum kahwin, hehe. Gambar-gambar pertama yang akan disiarkan dalam blog ni lokasinya di Pasir Gudang. Mula-mulanya ingatkan Taman Tasik Pasir Gudang, tapi bila dah google balik macam tak sama je. Tak tahulah ini tasik apa namanya, yang penting kawasan Pasir Gudang jugak, haha.





Oklah, kawasan ni cantik dan selesa jugaklah untuk berjoging atau beriadah. Ada juga yang memancing. Memang kena dengan selera GR lah tempat-tempat tenang macam ni. Agenda seterusnya di lain hari, nak ke kawasan rekreasi Muzium Layang-Layang pulak. Berhadapan dengan kawasan ni aje sebenarnya, tapi tak sempat nak singgah tadi. Ok semoga bertemu lagi di lain entri. Harap dah ada kamera ni bolehlah nak curahkan bakti kat blog ni, kasihan dia, hehe.

07 July 2013

Simple tips for attending interviews

Assalamualaikum.

Hi. This is maybe the first post i ever write in English. I am currently trying to balance this blog with Malays and English post (to practice my writing skills, hehe). So, basically today we are going to go through on how to attend an interview. A simple reminder, all of these tips came from my experiences and my observations. None of these are related to other person, so that if there's any similarities on what u guys have read, please be aware that it is just a coincidence. 


1. Be confident without overreacting

The first simple rule is to be confident with yourself. It is a must for everyone to be confident in interview session. There are several factors related to how can we build up our confidence level, like how comfortable u are in that session, how much experience u have and how u prepared yourself. Interviewers normally seek for someone who are confident enough to answer all their questions without being overreacting and also being so down or shy.

U just need to be confident while in the same time not overreacting with any of the question. One thing u need to remember, never admit that u know everything. It's just a normal thing for us to lack of a knowledge for the thing that we don't know. There're some interviewers who might just trying to see on how u answer, how much real experience u have, pretending like they don't know a thing about your previous career (well if u have any). So, just answer all the question in the range of your knowledge and experiences.


2. Do some research

Well, what i mean by research is not by doing thesis and so on, hehe. Just a simple research for the company is ok. This looks like not important at all, but it shows that u are really interested with the job. Normal interviews would end with question like, "Is there any question u want to ask?". Well, if u do some study for that company, the question can save u from looks like someone who actually don't have interest in the job.


3. Wear a proper attire

Well, this one depends on the job u applied. Most of the time, just wearing some simple formal attire will do. Of course, there's no need to wear some vest with tie if u are applying for the post of cleaner, or maybe a promoter, hehe. Just wear some proper attire suit to the post. The interviewer might not judging u based on the appearances, but still u need to show some initiative and professional attitude. 


4. Be punctual!

This one is important! U should be punctual to attend the interview. It's better if u can come earlier. Of course, no need to come an hour earlier. That's just wasting your time. No employers whose want to hire someone who come late to works. So, the first impression is important. Impress them with anything we can.

Those four are the tips that i can come out with. Just a simple tips for u guys to read. I hope this entry can help anyone who need it. It's my pleasure if this entry can help someone =).

*Credits to google image for the pictures.
*Malay version of this entry will come out soon, insyaAllah.
*Please mind my grammatical error, i'm just a noob in english writing, hehe.

03 July 2013

Masa

Assalamualaikum.

Masa lampau. Perkara paling jauh yang manusia ada. Naiklah kenderaan sepantas mana sekalipun, tiada satu pun yang dapat kembali ke masa lampau. Ramai yang menyangka, dia sentiasa ada masa untuk melakukan apa yang dimahukan mereka. Namun kita sebenarnya terlupa, betapa singkatnya masa yang kita ada untuk dibuang begitu sahaja.

Usah buang masa menangisi kesakitan semalam. Padam ia untuk mencari kesenangan hari esok. 
Usah buang masa mencari perkara yang jelas sia-sia, guna ia sebaiknya untuk buat hidup kita dan orang lain agar gembira.
Usah buang masa mengejar sesuatu yang bukan hak kita, sebaliknya hargai apa yang kita ada untuk memanfaatkan hidup ini sebaiknya.

Masa, hargailah masa.

*Amat memerlukan masa untuk memenuhkan ruang blog usang ini.

19 July 2012

Sahabat Sang Anjing

Assalamualaikum

Apa khabar? Harap sejahtera semua. Hari ni, GR terlihat satu peristiwa yang buatkan GR terharu dan terfikir mengenai nilai persahabatan GR selama ni. Apa yang GR lihat?


GR terlihat 2 ekor anjing yang berjalan bersama. Apa yang lainnya pada anjing 2 ekor ini? Seekor tempang, dan seekor lagi pula normal. Apa yang buat GR terharu, apabila melihat bagaimana anjing yang normal itu, tekun menanti si anjing yang tempang itu berjalan. Jalannya perlahan, seperti menunggu anjing yang tempang tersebut. Pada waktu itu, tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan GR melihat mereka. Sejenak, teringat rakan-rakan GR.

'Dog is man best friend'

Ayat ini sering GR dengar dan baca, tak kira di dalam buku mahupun di dalam filem-filem. Agaknya, benarlah anjing itu sifatnya setia. Sebab itu, banyak anjing yang dibela menjadi pengawal kepada tuan mereka.

Bagaimana pula anda semua? Ada rakan-rakan yang berkongsi susah dan senang bersama? Saat ini, siapa yang bermain di fikiran? 

p/s: entri pendek, saja nak kemaskini entri. tengok url blog sikit, hihi.

16 July 2012

Derma darah: Kelebihan dan syarat-syaratnya

Assalamualaikum.

Kita sering mendengar bahawa menderma darah akan menyebabkan seseorang menjadi gemuk, berkemungkinan untuk mendapat penyakit HIV dan juga ada yang takut darahnya tak cukup apabila menderma darah. Jadi, hari ini GR nak senaraikan sedikit kelebihan menderma darah dan juga syarat-syarat bagi penderma darah.


Kelebihan menderma darah:-

1. Meransang tubuh badan untuk menghasilkan banyak sel-sel darah yang baru. Secara tidak langsung, menyihatkan tubuh badan memandangkan sel-sel darah baru berkeupayaan membawa oksigen dengan lebih berkesan.

2. Kecekapan badan menggunakan zat besi dalam badan akan meningkat kerana ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang baru. Proses ini membantu mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelakkan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang boleh menyebabkan sakit jantung.

3Secara purata tahap zat besi dalam badan seseorang lelaki ialah kira-kira 1,000 miligram tetapi pada wanita (sebelum menopaus atau putus haid) hanyalah 300 miligram saja. Pengeluaran zat besi pada wanita berlaku ketika haid dan inilah sebabnya wanita muda terlindung daripada sakit jantung. Risiko sakit sama dengan lelaki apabila wanita menopaus kerana zat besi mula terkumpul banyak dalam badan mereka.

4. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).

Itu adalah antara kebaikan-kebaikan menderma darah. Jadi, mari lihat apa pula syarat-syarat yang diperlukan untuk melayakkan anda menderma darah.

Syarat-syarat untuk menderma darah:-

1. Berumur 18-60 tahun dan mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram.

2. Tahap Haemoglobin melebihi 12.5 peratus.

3. Tiada penyakit kronik.

4. Tidak mengambil preskripsi atau ubat-ubatan seperti aspirin, pain killer dan sebagainya.

5. Tidur yang mencukupi, 5 jam atau lebih.

6. Sudah makan dan minum yang mencukupi sebelum menderma darah.

Itu saja rasanya senarai yang dapat GR beri kali ini. Seruan GR untuk semua, janganlah takut untuk menderma darah. Anda mampu membantu untuk menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan darah. Bayangkan, kalau keluarga anda sendiri yang mengalami kekurangan darah, dan anda tidak mampu untuk menderma, bagaimana perasaannya? Setiap titis darah yang anda derma tu, amat berharga. Hihi, jadi dermalah darah anda kepada yang memerlukan. Tapi pastikan anda makan dan minum secukupnya sebelum menderma darah, kalau tak jadi seperti GR yang hampir pitam selepas menderma. Nak kata tak makan, baru selesai makan tengahari, tapi mungkin kerana makan tak mencukupi, hampir pitam jadinya. Jatuh saham depan jururawat-jururawat cantik tu, hihi.

Sumber rujukan:-


03 July 2012

Fanatik

Assalamualaikum.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau merunsingkan kepala.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau menyempitkan minda.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau mata hatinya buta.

Fanatik.
Nyah kau fanatik.
Jangan berbicara dengan aku kalau kau fanatik.

Fanatik.
Nyah kau fanatik.
Jangan bawa ideologi fanatik kau ke sini.

Aku bukan tak ambil tahu.
Aku bukan tak ambil kisah.
Aku bukan tak peka.

Aku juga tahu mana salah.
Aku juga tahu mana benar.
Tapi aku juga tahu tak ada yang sempurna.

Fanatik.
Sekali lagi aku ingatkan.
Jangan bawa ideologi fanatikmu kepada aku.

Sejujurnya, 100% aku benci.
Aku benci sikap fanatik.


p/s: aku tak benci justin bieber, aku cuma benci fanatik justin bieber

02 July 2012

Coretan untuk semua

Assalamualaikum.

Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Namun, apalah erti pemandangan yang luas, kalau fikiran tak terbuka?

Berpeluang untuk merantau di negeri orang semenjak tahun 2006, banyak memberi peluang kepada GR untuk mempelajari bagaimana sebenarnya erti kehidupan. Apa yang paling ketara adalah, keluarga lebih kuat menjelma di dalam ingatan. Benarlah, apabila di depan mata, kita selalu abaikan. Apabila sudah berjauhan pula, baru nak rindu-rinduan.

Walaupun mungkin 2006 hingga 2012 itu hanyalah tempoh yang sementara, jika dibandingkan dengan mereka yang merantau lebih jauh seperti ke luar negara, namun ianya tetap memberi kesan yang mendalam terhadap mentaliti dan persepsi GR kepada makna hidup.

Berpeluang untuk mengenali budaya dan lenggok bahasa di tempat yang asing bagi kita, berpeluang untuk bertemu dengan rakan-rakan yang berasal dari latar belakang yang pelbagai, dan juga berpeluang untuk merentas sempadan negeri ke utara Malaysia, merupakan titik mula yang membawa perubahan di dalam kehidupan GR sekarang.

Tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di UiTM Arau, Perlis membuka langkah GR untuk merantau di negeri orang. Tempoh 3 tahun yang dilalui dipenuhi dengan suka dan duka, tangis dan tawa, susah dan senang, dan pelbagai pengalaman yang tidak tergambar dek kata-kata. Dalam 3 tahun itu jugalah, GR mengenali rakan-rakan yang tiada galang gantinya.

di sini segalanya bermula

Tamat pengajian peringkat diploma, GR menyambung pengajian di peringkat ijazah pula. Kali ini lokasinya lebih dekat dengan kampung halaman, iaitu di Selangor. 2 tahun setengah tempoh pengajian, kali ini lebih 'tough' cabarannya. Sebenarnya bukan mudah untuk mengharungi pengajian di peringkat ijazah kalau tak kental semangat. 2009 sehinggalah Februari 2012, merupakan tempoh yang mencipta sejarah suka dan duka dalam hidup GR.

Pada peringkat ijazah, GR mengenal ertinya bangun dari kegagalan. Bangkit dari kejatuhan semangat. Terus terang GR katakan, hampir saja GR berputus asa di semester akhir pengajian gara-gara projek yang amat mencabar. Mencabar bukan kerana apa, cuma kerana pelbagai dugaan yang menimpa dalam proses untuk menyiapkan projek tersebut. Alhamdulillah, tuhan masih memberikan kekuatan kepada GR untuk bersabar. Sudahnya, GR sekarang sudah bergelar graduan secara rasmi setelah selesai konvokesyen pada bulan Mei yang lepas.

sekali kamu mengalah, seumur hidup kamu menyesal

Kini, GR sedang berusaha untuk membina kerjaya di dalam bidang kejuruteraan. 4 bulan sudah berlalu sejak GR menceburkan diri di dalam bidang pembinaan, dan hari ini 2/7/12, GR telah menerima tawaran sebagai pekerja tetap. InsyaAllah, GR tidak akan sia-siakan peluang yang ada untuk mempelajari lebih mendalam di dalam bidang ini. Mungkin bukan sekarang, rezeki untuk GR berkhidmat di negeri sendiri. Sekiranya diizinkan, GR teringin untuk menetap di kampung halaman sendiri sambil membina karier di negeri sendiri. Tapi, kita cuma merancang, Allah jua yang menentukannya. 

GR bukanlah ingin menceritakan pengalaman dengan niat yang sia-sia, cuma mungkin ada sesetengah perkara dapat dijadikan pengajaran. Moral dari pengalaman GR ini adalah:-

1. Kalau nak mengenal bagaimana rasanya hidup susah dan sunyi, pergilah merantau.
2. Merantau ke tempat orang dapat membuka minda dan fikiran kita, bahawa tak ada gunanya kalau setakat jadi jaguh di gelanggang sendiri.
3. Jangan menyerah kalah, selagi mana usaha tak dikerah sehabis mungkin.
4. Apa yang kita rancangkan tak semestinya terbaik untuk kita, kerana sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.

Sekian sahaja perkongsian tak seberapa ini. Harap bermanfaat pada semua.

p/s: gedungrasa.com bakal menyusul, insyaAllah =)

17 June 2012

Ibadah di Facebook

Assalamualaikum

Semua orang tahu apa itu 'facebook'.
Sekarang ini siapa yang tak kenal 'facebook' dikatakan ketinggalan zaman.
Hebatnya penangan 'facebook' sehingga boleh menyebabkan perceraian, menyebabkan pembunuhan, menjalinkan hubungan dan bermacam-macam lagi.

Sekarang ni ramai yang berebut-rebut untuk beribadah di 'facebook'.
Menaip status-status yang berunsur dakwah.
Menyebarkan ayat-ayat Al-Quran.
Menyebarkan video-video berunsurkan islam sekaligus berdakwah.
Tapi antara yang paling banyak disebarkan adalah kisah-kisah pelik yang mempunyai daya tarikan dan 'like' beserta 'share' yang tinggi.

Kisah itu dan ini.
Kisah yang ajaib.
Kisah yang sedih.
Kisah menginsafkan.
Kisah dan seribu kisahnya.

Tahukah kita sejauh mana kesahihannya?
Tahukah kita kebenarannya?

Apa yang paling menarik, 'trend' untuk 'share' gambar.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan Islam.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan Allah.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan keluarga.
"Like' gambar ini jika anda sayangkan GR (ok ini propa)

Kalau tak 'like' adakah GR tak sayangkan semua di atas?
Fikirkan sendiri.

15 June 2012

Roda hidup

Assalamualaikum.

Hidup ini ibarat roda, kadang di atas, kadang di bawah.
Hidup ini ibarat roda, kadang keras di jalanraya, kadang pancit tak bermaya.
Hidup ini ibarat roda, bunga masih ada, masih ada harganya, bila hilang bunganya, tukun tiruanlah tempatnya.

Roda kehidupan, kadang kita berjaya, kadang kita gagal.
Roda kehidupan, kadang kita bersemangat waja, kadang pula putus asa tak semena.
Roda kehidupan, sewaktu berguna, kudrat dikerah, sewaktu tiba tempohnya, mula dilupa.

Roda kehidupan itu memang tak pernah dijangka. Perkara yang tak terjangka itu akan selalu muncul. Bersedia untuk hidup, bermakna bersedia untuk menempuh ujian kehidupan. Selamat berusaha menempuh hidup yang pelik-pelik belaka.

19 March 2012

Posmen Ke Syurga? Apa itu?

Assalamualaikum.


Hai, bersama GR kembali. Nada frekuensi penulisan GR nampaknya semakin kurang jelas dari hari ke hari. Almaklumlah, orang dah berkerjaya. Baru tahu bagaimana sibuknya mencari rezeki untuk sesuap nasi. Ayat sangat klise bukan?

Ok, tujuan entri kali ini adalah untuk memperkenalkan kepada sesiapa yang membaca blog ini tentang kewujudan sebuah blog baru dengan genre unik dan berbeza. Tak tahulah samada GR ini buta dunia internet atau tidak, tetapi GR belum pernah jumpa blog yang bergenre sebegini. Blog ini mengandungi surat-surat hasil penulisan 10 orang penulis. 9 daripada penulis-penulis tersebut adalah hebat dan mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Seorang lagi penulis yang berbekalkan subjek penulisan peringkat sekolah rendah sehingga darjah 6 dahulu, iaitu GR sendiri, hehe.

Apa yang menarik mengenai blog ini, semua penulisan merupakan surat yang ditulis khas kepada penerima-penerima yang tertentu. Anda sebagai pembaca juga boleh mengirimkan surat anda kepada kami, untuk disiarkan. Mungkin ada di antara anda yang mahukan surat yang selama ini tersimpan, dibaca oleh orang lain bukan? Inilah caranya. Anda boleh melawat blog ini di http://posmankesyurga.blogspot.com/.

Nak cerita lebih lanjut pun tak guna, tembak pun tak kena. Apa kata anda lihat sendiri di dalam blog ini, apa yang ada. Mampukah juadah yang tersedia memuaskan selera anda semua? 

nota kaki kiri: blog ini baru bertapak, jadi masih belum punya identiti yang konsisten. teruskan memberi sokongan, kami akan menyediakan yang terbaik untuk anda semua =)

04 March 2012

180 darjah putaran

Tanggal disember 1988, seorang budak lelaki dilahirkan ke dunia. 

Setelah 6 tahun membesar penuh suka duka kenakalan dan kisah tersendiri, tahun 1995 budak lelaki ini memasuki alam persekolahan. Banyak kejadian sedih dan gembira yang dia lalui, ramai kawan-kawan yang dia kenali.

6 tahun berlalu, dia kini memasuki alam sekolah menengah. Buat pertama kalinya dia dihantar masuk ke asrama, terasa hiba pada awalnya. Namun dek kerana kawan-kawan yang ramai, hilang rasa itu menjadi kebiasaan.

Selepas 3 tahun, dia berpindah ke sekolah lain pula. Jarak dari asrama ke rumah bertambah, namun dia tidak gundah. Hidup di asrama sudah menjadi permainannya pula. 

Tahun 2006, dia sudah menamatkan sesi persekolahannya. Kini dia mencuba untuk bekerja, sementara menanti keputusan spmnya. Ya, dia sudah merasa pelbagai jenis pekerjaan. Mula bekerja ketika tingkatan 3 lagi. 

Selepas keputusan spmnya diumumkan, dia membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya. Nah, diploma kejuruteraan selama 3 tahun. Masa bukan masalahnya, tetapi jaraknya, nah nun di hujung utara malaysia. Utara ke selatan menjadi pemisah dia dan keluarga. Namun, dia masih tenang sahaja. Sekali sekala teringat keluarga di kampung. Namun, itu kan adatnya hidup berjauhan?

Tamat pengajian di peringkat diploma, dia berhasrat pula untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah, sementara semangat untuk belajar masih kuat. Maka, tempoh pengajian bertambah lagi selama 2 tahun setengah. Namun, jarak kali ini lebih dekat berbanding dahulu. 

Sekarang, setelah lebih kurang sebulan memburu pekerjaan, dia ditawarkan bekerja di bandaraya besar Johor Bahru. Mimpinya untuk menjadi seorang jurutera sudah hampir terlaksana. Misinya kali ini adalah belajar lebih mendalam mengenai selok belok dunia kejuruteraan.

Ya! Ini adalah kisah hidup GR secara ringkasnya. Sudah tertulis takdir GR untuk terus merantau ke negeri orang. GR sudah diterima untuk bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat kontraktor. Doakan GR agar berjaya mengharungi semuanya dengan baik ya! Sayang anda semua yang membaca =P

InsyaAllah jika ada rezekinya, GR ingin kembali berbakti di negeri sendiri satu hari nanti (alasan orang 'homesick', haha).

Lebih sibuk selepas ini. Bilakah blog ini akan aktif kembali? Mungkin tidak, emm.

31 December 2011

Kisah ubat yang hancur

Assalamualaikum w.b.t.

Wah lamanya tak menaip di blog ni. Gara-gara terlalu sibuk dengan tugasan sebagai pelajar tahun akhir. Sekarang ni GR hanya menanti detik peperiksaan sebelum tamat segala usaha sebagai seorang pelajar. Lepas ini kena cari kerja pula. Jadi apa khabar anda semua? Masih ada yang membaca blog ini? Huhu. Sekarang ni GR tak berapa sihat. Doktor sahkan GR demam dan terkena jangkitan. Err jangkitan apa itu tak pastilah pula, tapi kena ambil darah jugalah. Adalah sesuatu tu agaknya. 

Banyaknya ubat yang harus dimakan!
Sebenarnya ilham untuk entri kali ini datang daripada ubat-ubatan yang GR dapat semalam. Teringat zaman kecil dahulu, punyalah susah nak makan ubat. Kalau dulu, GR memang tak boleh nak makan ubat. Walaupun ubat itu hanya perlu diminum, memang susah nak habiskan. Setiap kali makan ubat saja, pasti muntah kembali. Pelik jugalah, kenapa jadi macam tu kan. Sampaikan kena marah dengan mak GR sebab susah sangat nak makan ubat, hehe.

Jadi terpaksalah guna alternatif lain untuk makan ubat. Nak tahu apa caranya? Malu jugalah nak cerita, sebab GR tak pernah cerita kat sesiapa pun sebelum ni. Kira pembaca blog ni beruntung jugalah, haha. Macam ni caranya, kalau ubat yang berbentuk pil, mak GR kena hancurkan ubat tu jadi serbuk, letak atas sudu. Tapi kena tambah air sedikit. Buat macam tu, senanglah pula nak makan. Tapi sebenarnya, kalau dah dihancurkan, ubat tu jadi lebih pahit. 

Sumber Google
Hah, ubat yang berbentuk kapsul di atas ni lagi memberi masalah kepada GR. Lagi susah nak telan. Jadi, terpaksalah mak keluarkan serbuk yang ada dalam kapsul tu, lantas dimakan dengan cara yang sama sepeti sebelum ni. Ubat yang ni lebih pahit daripada pil biasa, huhu. Kalau ubat cecair pula, tak boleh diminum secara terus, kena diselang-seli dengan minum air. Susah kan? Hehe.

Tapi itu semua dululah, waktu kecil lagi. Sekarang dah senang nak makan ubat. Bila teringat balik, tersenyum jugalah, huhu. Apa puncanya susah nak makan, mungkin sebab GR sendiri dah selitkan dalam fikiran yang ubat ni pahit. Walhal, makan dengan cara macam tu lebih pahit.

Itu sajalah cerita kali ini. Dah lama sangat tak menulis blog, tak mampu nak tulis panjang-panjang. Nantilah kalau ada kesempatan lagi, blog ini akan kembali aktif. Mungkin tak seperti dulu, tapi mungkin dapat peluang dalam seminggu dua atau tiga kali pun jadilah. Kepada yang masih membaca blog ini, terima kasih GR ucapkan. Kepada yang baru baca blog ini, terima kasih juga sebab sudi singgah di blog picisan ini. GR harapkan agar semua orang berada dalam keadaan sihat sejahtera. Sekian, terima kasih.

nota kaki kiri: Kalau sakit tu, makanlah ubat ya. Jangan harapkan sakit tu nak sembuh sendiri tanpa berusaha =)

08 November 2011

Mengapa Harus Dibantah Seksualiti Merdeka?

Assalamualaikum

Hai, apa khabar semua? Lama sudah tak menaip entri baru di blog ni. Maaf ya, sibuk dengan banyak perkara. Maklumlah pelajar tahun akhir kan, banyak kerja nak disiapkan. Ini pun tak pasti samada sempat siapkan projek atau tak. 

Baru-baru ni kita digemparkan dengan Seksualiti Merdeka. Apa itu Seksualiti Merdeka?

Seksualiti Merdeka adalah suatu acara tahunan mengenai hak seksualiti yang diadakan di Kuala Lumpur, dengan kerjasama segabungan NGO Malaysia (di antaranya Malaysian Bar Council, SUARAM, Empower, PT Foundation, United Nations, Amnesty International) dan individu-individu. Kami mengadakan bengkel-bengkel, perbincangan, pemutaran filem, penulisan surat dan hal-hal yang lain berkaitan seksualiti. Kami menggunakan istilah 'Seksualiti Merdeka' untuk mengingatkan bahawa walaupun kita telah berpuluh tahun Merdeka, namun tidak semua rakyat Malaysia yang dapat melahirkan diri mereka yang sebenar.

Kami percaya bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk bebas dari diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi seksual dan identiti jantina mereka. Kami percaya bahawa kita semua berhak untuk bertanggungjawab terhadap tubuh kita sendiri. Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, pansexual dan sebagainya.

PS: LGBT = Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender!

Contact us
seksualitimerdeka@gmail.com
Facebook Seksualiti Merdeka

sumber dari seksualitimerdeka.org

Seksualiti Merdeka telah dimulakan sejak 29 Aug 2008. Mereka memperjuangkan hak bagi golongan LGBT seperti yang diberitahu di atas. Walaupun telah lama penganjuran ini dimulakan, baru-baru ini ianya telah menimbulkan kekecohan dengan pendedahan oleh media massa. Bagi golongan yang menyokong penganjuran ini merasakan bahawa tiada salahnya untuk mereka meneruskan aktiviti ini. Mengapa harus mereka dihalang sedangkan mereka tidak menghasut sesiapa untuk menyertai mereka, cuma membela kaum-kaum minor yang 'didiskriminasi' oleh majoriti yang lain.

Jadi mengapa harus mereka disekat? Ini adalah jawapan dari GR sebagai salah seorang rakyat yang membantah penganjuran ini.

1. Secara terang-terangan berlawan dengan normaliti baik dari segi agama, budaya dan moraliti.

Manusia dicipta dengan norma mencintai pasangan yang berlainan jantina. Biarpun ada sesetengah golongan yang dicipta dengan sedikit perbezaan, di mana ada lelaki yang berperwatakan lembut dan ada wanita yang bersifat kasar, tapi itu tidak bermakna mereka tidak diberi pilihan untuk berpasangan dengan wanita/lelaki normal. Malah seperti semua rakyat sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan majoriti rakyatnya sendiri adalah muslim. 

Jadi, secara terang-terangan ianya tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat yang tidak mempersetujui perkara ini kerana berlawanan dengan apa yang digariskan oleh agama. Berpasangan dengan sesama jantina adalah haram di sisi agama Islam. Adakah ianya menghairankan apabila orang-orang muslim menentang semua ini? Langsung tidak menghairankan, tetapi lebih menghairankan apabila ada orang Islam yang bersetuju malah menyokong kuat penganjuran Seksualiti Merdeka ini.

Sesuatu perkara kalau dah terang-terangan luar daripada kebiasaan pasti akan ditolak oleh semua orang. Contohnya, kalau kita terjumpa seseorang berjalan di khalayak ramai tanpa berpakaian langsung, adakah kita akan biarkan dia? Pasti semua orang tak selesa, tapi dia ada hak untuk berkelakuan sebegitu. Jadi mengapa dia tak diberi hak tersebut? Perkara yang sama juga berlaku kepada kami sebagai orang-orang muslim. Bahkan rasanya orang bukan muslim juga ramai yang tidak bersetuju dengan perkara ini.

2. Diskriminasi kepada golongan gay dan lesbian? Apa itu?

Sebelum membeli tiket komuter, adakah kita diminta untuk mendedahkan kecenderungan seksual kita? Semasa mendaftar di institusi pengajian tinggi atau sekolah, adakah ditanya mengenai kehendak seksual? Adakah golongan homoseksual dan biseksual diasingkan dalam pusat pengajian yang berasingan, kenderaan awam yang berasingan, dan sebagainya? Langsung tidak, bukan? Jadi, dari segi apa yang dikatakan ada diskriminasi ke atas mereka?

Dari segi sikap orang ramai? Cuba bayangkan, kalau orang ramai jumpa seorang lelaki yang berpakaian sepenuhnya seperti wanita, adakah boleh diterima? Itu yang sebenarnya berlaku. Mereka ini sudahlah mengamalkan kecenderungan seksual yang berbeza, malah sengaja menunjukkan sikap mereka secara terang-terangan. Berpakaian seperti wanita sedangkan mereka lelaki. GR sendiri mempunyai pengalaman yang sama. Langsung tidak bercakap dengan seorang lelaki lembut walaupun selalu jumpa. Mana taknya, kalau dah berpakaian seperti perempuan di kawasan kolej lelaki. Bukannya tak ada kawan-kawan lain yang lembut, tetapi taklah seteruk dia.

Kesimpulannya, masyarakat ini bukannya sengaja nak menghina atau bersikap dingin dengan golongan seperti ini, tetapi masyarakat sendiri tidak selesa dengan sikap mereka. Kalau ingin diterima dengan selesa, mereka sendiri harus menerima masyarakat. Malah sepatutnya mereka sendiri menerima kejadian diri mereka sendiri. Kalau dah lelaki tu, lelaki juga. Tak perlulah nak jadi wanita, dan kalau dah jadi seorang lelaki kenalah berpasangan dengan wanita. Sama juga dengan wanita. 

3. Pengaruh kuat yang mampu ditimbulkan oleh Seksualiti Merdeka

Siapa kata penganjuran Seksualiti Merdeka ini tidak menghasut orang lain untuk mengubah kecenderungan mereka? Seandainya Seksualiti Merdeka ini diteruskan, makin ramai golongan homoseksual dan biseksual yang akan dilahirkan. Cuba bayangkan, jika sebelum ini ada golongan yang takut untuk menyatakan kecenderungan seksual mereka malah dengan perlahan-lahan cuba untuk kembali menerima hakikat melihat penganjuran Seksualiti Merdeka terus berjaya. Mereka ini sudah pastinya akan cuba untuk kembali kepada sikap yang lama, kerana melihat ramai golongan yang mampu untuk bertahan.

Pengaruh itu tetap ada, walaupun tidak terlihat secara zahir. Maka, sepatutnya penganjuran ini dihalang daripada diteruskan. 

Itu saja 3 pendapat daripada GR. Maaf sebab dah lama tak menulis, jadi semuanya rasa asing. Nak sampaikan isi pun dah tak biasa, huhu. Jadi kalau rasa macam susah nak baca tu harap maklumlah ya, hehe. Apa-apapun, GR memang secara keras membantah Seksualiti Merdeka ini daripada diteruskan. Tolonglah jangan mencetuskan provokasi sesama rakyat. Isu ini seharusnya diselesaikan dengan bijak. Kemarahan saja tidak akan dapat membuahkan hasil. Di samping membantah, kita sendiri harus mengingatkan generasi kecil yang sedang membesar mengenai perkara ini, agar mereka mampu untuk hidup dalam generasi yang lebih sihat akal dan mindanya.

nota kaki kiri:
1. Teringat kisah kaum Nabi Lut a.s yang dihancurkan kerana mengamalkan seks sesama jantina.
2.sedangkan haiwan pun pandai berpasangan dengan yang berlawanan jantina, inikan pula manusia yang berakal. #sigh

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails