commercial break

Showing posts with label kata-kata. alam sekitar. Show all posts
Showing posts with label kata-kata. alam sekitar. Show all posts

06 August 2011

Proses Pelupusan Sampah

Assalamualaikum.

Hai, salam ramadhan untuk hari ke 6. Apa khabar anda semua? Ramai tak yang dah mula mengalami penurunan berat badan? Atau ramai yang mengalami kenaikan? Hehe. Semoga ramadhan kali ini membawa seribu barakah buat kita semua ya.

Hari-hari kita buang sampah. Ada yang sampahnya dibuang lalu dibakar. Ada yang dikumpul dan kemudian diletakkan ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan perumahan. Ada juga yang mengumpulkan sampah di hadapan rumah dan kemudian sampah itu dipungut oleh pihak majlis perbandaran. Semua orang tahu cara untuk membuang sampah dan di mana patut kita buang. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana sampah-sampah yang dikutip itu dilupuskan? Mari GR terangkan serba sedikit proses pelupusan sampah.

********

Anda biasa mendengar orang menyebut tapak pembuangan sampah? Atau anda biasa dengar perkataan tapak pelupusan sampah? Ya, kedua-duanya mempunyai perbezaan. Mari kita mulakan dengan tapak pembuangan sampah.

tapak pembuangan sampah di Langkawi

Gambar yang anda lihat di atas adalah di kawasan tapak pembuangan sampah (Dumping Site). Tapak pembuangan sampah merupakan tempat sampah-sampah yang dipungut dari kawasan yang terlibat akan dibuang. Di tapak ini, sampah-sampah ini akan dikumpulkan dan kemudian dimampatkan di dalam tanah. Apabila sudah mencapai tahap ketinggian tertentu, sampah ini akan dikambus dengan lapisan tanah. Lapisan tanah itu juga akan dimampatkan menggunakan compactor. Ketinggian tanah yang ditetapkan bergantung kepada pihak yang menjaga tapak pembuangan sampah ini. 

Proses di tapak ini kelihatan mudah bukan? Tetapi ianya mendatangkan bahaya kepada alam sekitar. Sebelum kita sentuh mengenai itu, kita teliti dulu proses pelupusan sampah pula.

tapak pelupusan sampah di Johor

Ok, gambar ini adalah di kawasan tapak pelupusan sampah. Nampak sama saja bukan? Apa yang membezakan keadaan di tapak pembuangan dan pelupusan sampah adalah di sini terdapat sistem untuk menguruskan gas dan juga leachate (air sampah). 

Proses yang sama pada awalnya, sampah-sampah akan dimampatkan di dalam lapisan dengan ketinggian tertentu. Oh ya, di sini juga ada mengamalkan proses kitar semula (pengasingan), di mana sebelum memasuki tapak pelupusan, lori-lori sampah meninggalkan sampah di kawasan kitar semula. Sampah-sampah yang sudah diasingkan akan dibawa ke tapak pelupusan.

Apabila sudah mencapai had ketinggian yang ditetapkan, lapisan ini akan ditutup dengan tanah. Tetapi sebelum itu, pekerja-pekerja akan menyembur EM (effective microorganisms) untuk mempercepatkan proses pereputan sampah. 

maaf gambar kabur

Mereka juga akan meletakkan lapisan HDPE Liner untuk mengelakkan lapisan sampah itu terganggu. Jika anda lihat di dalam gambar, HDPE liner tersebut yang berwarna hitam.

Kualiti udara dan juga air bawah tanah akan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar. Jadi, pengurusan tapak akan memastikan tiada leachate yang akan meresap ke sumber air terdekat.

Berbeza dengan tapak pembuangan sampah, di sini mereka mempunyai paip yang dibuat untuk menyalurkan gas dan juga leachate yang terhasil. Gas-gas yang terhasil adalah berbahaya dan perlu dirawat untuk mengelakkan ianya terlepas ke udara. Contoh gas adalah metana (methane). Leachate pula adalah air yang terhasil daripada sampah-sampah yang berair yang dikumpulkan. Ianya berbahaya dan mengandungi partikel-partikel berbahaya seperti metal yang boleh mencemarkan air bawah tanah yang berdekatan.

Adalah penting bagi sesuatu tapak pelupusan sampah untuk menjaga kedua-dua perkara ini kerana ianya menjadi keutamaan. Lihatlah apa yang terjadi sebelum ini di Bachok, Kelantan, apabila air bawah tanah di sekitar kawasan tapak pembuangan sampah sudah tercemar dan membuatkan air di situ berbahaya kepada penduduk.

inilah dia leachate

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja penerangan yang GR beri. Semuanya adalah berdasarkan umum saja, tiada fakta teknikal. Sekadar untuk berkongsi serba sedikit pengetahuan yang ada. Semoga ada manfaat di sebalik entri ini.

Seeloknya kita kurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan mengamalkan amalan kitar semula, kerana walaupun nampak terjaga dengan sistem pelupusan sampah, hakikatnya ianya mendatangkan banyak masalah kepada alam sekitar. Lagipun, kawasan yang sedia ada semakin berkurangan. Sama-samalah kita manfaatkan bumi hijau kita ini.

Sekian, terima kasih sudi baca. Wassalam.

10 May 2011

Rupanya ini punca hari-hari kita makin panas

Assalamualaikum w.b.t.

Hai, selamat malam kepada anda yang membaca entri ini. Tapi ini khusus untuk yang baca sewaktu GR baru siap siarkan entri ini. Kalau yang baca waktu lain tu, selamat waktu lainlah, hehehe. Ok, hari ni GR kurang sihat sikit sebenarnya. Rasanya sebab banyak minum minuman sejuk agaknya. Lagipun sekarang ni GR berada di pejabat waktu siang, duduk dalam bilik berpenghawa dingin, sejuk sangat. Bila keluar rehat atau balik pula, cuaca kat luar terlampau panas. Tu yang sampai rasa nak demam tu.

Anda semua perasan kan, sekarang ni cuaca di Malaysia panas sangat. Eh, seluruh Malaysia ke? Tak pasti pula, hehe. Tapi di Melaka ni cuaca panas terik setiap hari. Agak-agak anda semualah, kenapa perkara ni terjadi? Tak tahulah kalau-kalau hari ini atau dalam minggu ni ada keluar berita untuk penjelasan tentang masalah cuaca ni, sebab GR memang jarang tengok berita sebenarnnya, huhuhu. Ok, GR nak kongsikan masalah alam sekitar yang kalau dilihat ada perkaitan dengan masalah perubahan cuaca atau lebih selalu disebut dengan climate change.

Climate change berkaitan dengan masalah pemanasan global yang hangat diperkatakan sekarang ini, di mana ianya mengenai masalah peningkatan suhu bumi sejak akhir-akhir ini. Agak-agaknyalah, apa punca pemanasan global ni? Ada sesiapa yang tahu? Ok, masa dah tamat, biar GR beri jawapan, hehe. Punca utama pemanasan global adalah daripada masalah kesan rumah hijau (greenhouse effect). Apa itu kesan rumah hijau? 

sumber google
Kesan rumah hijau adalah masalah di mana pancaran cahaya matahari yang disinarkan ke bumi tidak dapat dipantulkan semula ke angkasa kerana dihalang oleh gas Karbon Dioksida. Sebagaimana yang anda lihat di dalam gambar di atas, cahaya Ultra Ungu yang dipancarkan ke bumi oleh matahari mengandungi kadar radiasi yang boleh membawa bahaya kepada manusia. Sebab itu peningkatan suhu global berlaku sekarang, kerana cahaya matahari itu tak dapat dipantulkan semula ke angkasa. Apabila suhu meningkat, masalah yang berlaku adalah banyak seperti pencairan ais di benua antartika, kemarau panjang dan lain-lain.

sumber google

Bagaimana gas karbon dioksida terhasil dengan banyak? Masalah-masalah seperti pembakaran sampah secara terbuka dan asap kenderaan serta rokok merupakan antara punca penghasilan utama gas karbon dioksida. Keadaan menjadi lebih teruk apabila masalah penebangan hutan berlaku secara berleluasa menyebabkan penghasilan karbon dioksida menjadi tidak terkawal malah, penghasilan gas oksigen juga semakin berkurangan.

abaikan lukisan yang terlampau buruk itu, haha
Nampak tak perkaitannya di situ? Jadi, langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida ini adalah dengan kurangkan penggunaan kenderaan, hentikan pembakaran terbuka dan juga amalkan kitar semula. Sebab itu kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan awam, selain dari untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, ianya juga bertujuan untuk mengurangkan kadar pencemaran udara dengan mengurangkan kadar penggunaan kenderaan di jalanraya. Tapi rasanya sistem pengangkutan awam di negara kita belum cukup efektif lagi bukan?

Jadi di sini, GR bukan saja berpesan untuk anda semua, malah GR juga berpesan pada diri sendiri. Untuk kurangkan penggunaan kenderaan, bermakna kurangkan aktiviti bersiar-siar anda, dan utamakan untuk berada di rumah, hehe. Itu GR amalkan dalam kehidupan seharian GR. Bukan saja memberi kesan yang baik kepada bumi, malah kepada keluarga juga bukan? 

Kesan pemanasan global ini akan bertambah teruk lagi saban hari, malahan sehingga mungkin akan menjejaskan generasi akan datang nanti? Fikirlah demi kebaikan anak-anak yang bakal menemui dunia di masa akan datang. Sekian saja, pesanan ikhlas dari GR. Wassalam.

nota kaki kiri: nak selamatkan bumi kita bukan mudah tau.
*entri ini dimampatkan untuk memendekkan kandungan. jika mahu diceritakan secara mendalam, akan mengambil masa yang panjang. =)

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails