commercial break

11 November 2014

Kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lepas GR ada terbaca satu artikel dari blog yang GR sudah lupa namanya mengenai betapa murahnya jika kita membina rumah sendiri berbanding jika kita membeli rumah daripada pemaju. Jadi malam ini GR terfikir untuk menaip entri berkenaan dengan isu ini samada ianya benar ataupun tidak dan juga kelebihan dan kekurangannya. Sebelum anda memulakan pembacaan, ingin GR ingatkan dahulu bahawa apa yang diberitahu bukanlah 100% fakta, tetapi hanya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman GR sendiri yang bekerja di bidang pembinaan sebagai jurutera tapak (site engineer).

sumber google

Memang benar sekiranya kita membina rumah sendiri, banyak kos dapat dijimatkan berbanding membeli rumah sedia siap daripada pemaju SEKIRANYA anda mempunyai pengetahuan mengenai pembinaan (construction) dan juga prosedur untuk melakukan pembinaan serta MEMPUNYAI TANAH SENDIRI. Sebelum GR senaraikan serba sedikit mengenai kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri, GR akan terangkan mengenai prosedur utama dalam membina rumah.

Seterusnya kita perlu mempunyai kebenaran untuk membina yang diakui oleh majlis perbandaran. Kita ketepikan kes-kes membina rumah di kawasan luar bandar kerana kebanyakannya tidak tertakluk dengan pihak majlis perbandaran. Kita fokus kepada kes-kes untuk membina rumah di kawasan yang tertakluk di bawah kawasan majlis perbandaran. Untuk mendapatkan kebenaran, kita harus mempunyai pelan pembinaan yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Jadi, untuk itu arkitek dan juga perunding (consultant) perlu dilantik. Perlantikan arkitek adalah untuk mendapatkan rekaan asas rumah anda berdasarkan konsep yang anda pilih. Untuk perunding pula, ianya ada beberapa bahagian iaitu perunding struktur, mekanikal dan elektrikal, juga perunding juruukur bahan (Quantity surveyor). 

Sesetengah kes sekiranya inginkan hiasan dalaman yang cantik, pemilik perlu untuk melantik perunding hiasan dalaman (interior designer). Pemilik perlu mengambil kira bajet untuk melantik mereka. Perlu diingatkan, peringkat ini merupakan salah satu peringkat yang kritikal dalam menentukan kos pembinaan rumah anda. Adalah penting untuk memastikan semua rekaan mematuhi bajet yang anda tetapkan terutamanya untuk bahagian hiasan dalaman. Untuk hiasan dalaman anda seharusnya tahu untuk mengawal mereka daripada mengeluarkan rekaan yang berlebihan (excessive design) yang mana kadangkala boleh membuatkan anda menggeleng kepala.

sumber google
Sekiranya peringkat awal sudah selesai, peringkat kritikal yang seterusnya adalah ketika memilih kontraktor untuk membina rumah anda. Pemilihan ini adalah penting untuk memastikan kontraktor yang anda pilih berpengalaman dalam membina rumah berkualiti dengan harga yang mematuhi bajet anda dan juga tempoh pembinaan (construction period). Peringkat terakhir sekiranya pembinaan sudah selesai adalah anda harus menunggu kebenaran menduduki yang diakui oleh pihak majlis perbandaran. Perkara ini akan diselesaikan oleh arkitek dan juga perunding-perunding yang anda lantik. Sekiranya selesai, anda sudah boleh menduduki rumah yang anda sendiri bina, mengikut kemampuan.

Jadi, jika anda sudah faham mengenai prosedur utama yang GR nyatakan di atas, sekarang anda mungkin sudah tahu apa kelebihan dan kekurangannya sekiranya kita membina rumah sendiri berbanding membeli daripada pemaju.

Kelebihan membina rumah sendiri:-
  1. Bajet pembinaan dikawal oleh anda sendiri bergantung kepada kemampuan
  2. Segala keuntungan yang mampu diambil oleh pemaju menjadi milik anda
  3. Anda bebas menentukan konsep dan rekaan rumah yang anda mahu
Kekurangan membina rumah sendiri:-
  1. Anda wajib memiliki tanah sendiri terlebih dahulu dan ini selalunya menjadi halangan bagi mereka yang ingin membina rumah sendiri
  2. Anda harus mempunyai pengetahuan mengenai bidang pembinaan walaupun serba sedikit.
  3. Pemilihan arkitek, perunding dan kontraktor adalah kritikal dalam menentukan kekemasan rumah anda, terutamanya dalam memilih kontraktor binaan.
  4. Anda terlibat dalam risiko pertambahan kos sekiranya tidak mampu untuk mengawal keinginan dalam mereka terutamanya hiasan dalaman.
  5. Sekiranya pembinaan terhenti akibat masalah kontraktor (lari, bankrup atau sebaliknya), kos kerugian akan ditanggung oleh anda sendiri.
Jadi, itu sahaja yang dapat GR ceritakan berdasarkan pengalaman yang ada. Semoga mampu membantu sesiapa yang memerlukan.

nota kaki kiri:- GR pun teringin nak bina rumah sendiri, insyaAllah kalau ada rezeki.

10 November 2014

Review Filem Interstellar

Assalamualaikum

Hai. Lamanya tak menulis entri dalam blog ni. Kali ni GR nak menulis review mengenai filem Interstellar yang bermula tayangannya pada 6 November 2014.



Interstellar merupakan sebuah filem arahan Christoper Nolan yang sebelum ini telah mengarah filem yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio iaitu Inception. Interstellar adalah sebuah filem yang bergenrekan Sains Fiksyen (Sci-Fi). FIlem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Matthew McConaughey dan Anne Hathaway.

Ianya mengisahkan kehidupan Cooper (Matthew McConaughey) yang merupakan seorang bekas juruterbang Nasa yang sudah bersara daripada kerjayanya dan hidup bersama dua orang anaknya iaitu Tom dan Murphy berserta ayahnya Donald. Plot utama filem ini adalah mengenai keadaan di bumi yang sudah mengalami fasa kritikal apabila ruang atmosfera semakin berkurang dengan lapisan oksigen dan dipenuhi dengan nitrogen sebanyak 80%. Keadaan di bumi amat kritikal pada waktu itu dan bekalan makanan semakin berkurang di mana hanya tanaman jagung sahaja yang mampu hidup dan menjadi makanan asasi.

Pengembaraan Cooper bermula apabila secara tidak sengajanya dia dan anak perempuannya Murphy menemui pengkalan NASA selepas berlakunya ribut debu yang pertama. Bermula dari itu Cooper bertemu dengan Dr Brand (Anne Hathaway) dan kembali berkhidmat kepada NASA sebagai angkasawan untuk memulakan pengembaraannya untuk mencari planet di galaksi lain yang berkemungkinan sesuai untuk menjadi tempat tinggal kedua bagi menggantikan bumi. Saksikan pengembaraan hebat Cooper dan Dr Brand di angkasa lepas dalam misi menjejaki planet lain untuk kesinambungan hidup spesis manusia.

Secara keseluruhannya, GR amat berpuas hati dengan penceritaan filem ini yang mampu untuk membuka mata penonton untuk kembali berimaginasi mengenai angkasa lepas. Filem ini menghidupkan semula keinginan GR untuk membaca dan menonton dokumentari mengenai sistem solar kita dan galaksi-galaksi lain. Perjalanan cerita tersusun dengan baik dari permulaan filem sehingga ke penghujung cerita. Grafik filem ini juga memuaskan hati para penonton. Pengakhiran cerita ini mungkin nampak tipikal, namun diselitkan dengan jalan cerita yang tak disangka dan mungkin tersasar dari prinsip sains. 

Filem ini berbeza dengan filem sains fiksyen yang lain kerana ianya bukanlah semata-mata tertumpu kepada kisah fiksyen sebaliknya berasaskan fakta sains astronomi dan fizik yang baik. Bagi peminat-peminat wayang yang ingin mencari kelainan, GR sarankan untuk tonton filem ini dan anda pasti akan berpuas hati.

nota kaki kiri:- GR mampu untuk katakan filem ini layak mendapat 4/5 bintang

*******

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails