commercial break

29 August 2011

Lagenda Ketupat Bahagian 2

Assalamualaikum.

GR sangat pasti bahawa semuanya sedang teruja untuk berhari raya pada esok hari, insyaAllah kan? GR juga begitu, walaupun sebelum ni tak ada rasa teruja sangat, tapi dah tinggal 1 hari nak raya tu terasa jugalah, hehe. Sekarang GR sedang menunggu ketupat lemak yang GR ceritakan sebelum ini untuk masak. Memang tak sabar rasanya nak makan, huhu.

Jadi, kita teruskan dengan kisah seterusnya. Apa yang membezakan ketupat lemak dan biasa adalah, ketika direbus, ketupat ini akan ditambah dengan santan dan juga garam bagi meninggalkan rasa lemaknya itu. Itu je perbezaannya sebenarnya, huhu. Tapi kalau dari segi rasa, memang jauh berbeza antara kedua-duanya. Ketupat lemak jauh lebih sedap dari ketupat tawar. Ini bukan nak cakap lebih-lebih punya, hakikat ni, hehehe.

sarung ketupat yang telah siap diisi dengan beras

proses menambahkan santan. tambah garam tadi tak ambil gambar pulak, huhu
masa mula-mula masak tadi
20 minit sebelum entri ni ditaip

Ok, ketupat ni tak masak lagi. Jadi tak dapat nak tunjuk. Kalau tunjuk pun bukan dapat rasa kan, haha. Ya, lagi sekali nak beritahu, ketupat ni sedap, huhuhu. Dah dah, ada yang terliur pulak nanti, hehe. Ketupat ni sedap dimakan sama seperti ketupat biasa, iaitu dengan rendang, sambal ayam, dan sewaktu dengannya. Jadi kepada yang nak mencuba buat tu tahun hadapan, bolehlah cuba ya. Tentang sukatan, err Gr tak tahu, huhu. Mak yang sukat semua. 

Kalau nak rasa tahun ni, jemputlah datang ke rumah ya, hehe. Tapi biasanya ketupat paling lama tahan 2 hari, sebab cepat habis. Buat pun bukan banyak sangat kan. Jadi, jemputlah datang ke rumah ya kalau nak rasa. 

Ok, dalam kesempatan ini GR nak mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri 1432 Hijrah kepada semua yang membaca. Maaf dipinta jika ada terkasar bahasa dan tersilap kata. Semoga semua dapat beraya dengan suasana ceria dan bahagia. Raya biar dalam keadaan sederhana. jangan terlalu membazir ok. Jaga diri juga buat semua.

Di bawah ni GR sediakan satu video istimewa, hehe. Sepintas lalu bagaimana untuk anyam ketupat. GR tak pandai sangat pun, biasa-biasa saja. Sebab dah janji nak tunjuk sebelum ni, jadi GR buatlah video ni. Sepintas lalu saja tau, huhu. 

video

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja. Bercuti dari talian internet untuk beberapa hari. InsyaAllah akan kembali mengunjungi blog rakan-rakan yang lain selepas ini. Berhati-hati ketika beraya ok, jangan terlalu ikut nafsu. Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: raya kali ni lama kat rumah, hehehe

24 August 2011

Lagenda Ketupat Bahagian 1

Assalamualaikum.

Ketupat. Satu makanan warisan turun temurun yang wajib ada ketika hari raya. Eh? Tak tahulah betul ke tak, hehe. Tapi kalau untuk kampung GR, biasanya memang hidangan wajib kan. Mungkin ada tempat-tempat yang tak sediakan ketupat, tapi digantikan dengan lemang. Ah tak apalah, teruskan saja dengan ketupat, hehe.

Setiap kali menjelang raya, ketupat memang antara hidangan yang akan membuatkan GR bersemangat untuk melantak di pagi raya, hehe. Kalau kat kampung GR, ada 2 jenis ketupat yang akan dihidangkan. 2 ketupat tersebut adalah ketupat lemak dan ketupat tawar. Hah, ada tak antara anda semua yang tahu ketupat lemak? Tak sama dengan ketupat palas, tapi lebih kurang saja dengan ketupat tawar. Ketupat tawar tu kira ketupat biasalah.

Ketupat lemak dibuat biasanya menggunakan pucuk nipah. Hah, tahu tak pokok nipah? Pokok nipah ni ada kat tepi laut saja. Kat tepi rumah pun mungkin ada, tapi dengan syarat rumah tu kat tepi lautlah, hehehe. Laut pun, bukan kat kawasan pantai biasa. Hanya kawasan pantai yang mempunyai pokok bakau. Kalau pantai tanjung bidara atau port dickson tu, jenuhlah nak cari pokok nipah. Tempat orang mandi tak ada tau, jangan cari pulak.

Ok kejap, GR tunjukkan macam mana rupanya pokok nipah tu.

hah, inilah pokok nipah.
Hah, kenal tak? Pernah nampak tak? Kalau nak tahu maklumat mengenai pokok nipah, anda boleh baca di sini. Ok, jadi ini adalah bahan utama bagi membuat ketupat lemak ni. Pucuk pokok nipah yang kita akan ambil, akan digunakan untuk membuat sarung ketupat. Tapi, bukan sebarang pucuk yang boleh diambil. Hanya pucuk yang muda, maksudnya dia belum kembang lagi.

inilah rupa pucuk nipah yang sesuai diambil
Hah, hanya pucuk yang sebegitu saja yang layak diambil untuk digunakan. Mesti hairan kan, macam mana daripada batang yang serupa buluh tu boleh diambil daun? Hah, daunnya harus dikeluarkan dengan menetak batang itu. Mari, tengok lebih dekat.

yang ini ketika sedang ditetak
Hah, kita kena tetak pada batangnya itu, untuk keluarkan daun yang ada. Senang saja kerjanya tu. Tapi jangan pulak tetak bahagian belakang, cuma bahagian depan, yang mempunyai daun saja.


Kalau nak mudah, tetak bagi senget sikit, supaya mudah nak cabut lepas tetak nanti. Ada demo sekali dalam gambar tu, hehe. Selepas tetak tu, maka akan dapatlah hasilnya, daun-daun untuk dibuat sarung ketupat.

ini dia, daun untuk buat ketupat
Ok, dah ada bahan utama nak menganyam sarung ketupat. Jadi, bolehlah diteruskan dengan prosedur itu. Masalahnya, sarung ketupat belum sempat anyam lagi sekarang ni, tak boleh nak cerita, hehe. Sebab kalau nak seronok, biar ada gambar sekali, baru terang dan jelas kan?

Jadi, GR akan ceritakan sambungannya nanti insyaAllah, untuk cara anyam ketupat (sama je sebenarnya macam ketupat biasa), dan kenapa ianya dipanggil ketupat lemak. Untuk yang dah biasa dengar, makan, tengok dan pegang ketupat lemak ni, diam-diam sudahlah, hehe.

Sekian saja, terima kasih sudi baca. Wassalam.

nota kaki kiri: perasaan nak raya tak kuat tahun ni. emm

21 August 2011

Wahai Masyarakat! Bantulah Kami!

Assalamualaikum.

Salam ramadhan buat semua. Sudah masuk 10 pengakhiran ramadhan sekarang ini. Apa yang kita lakukan? Bagaimana ibadah kita? Semoga lebih baik hendaknya. Menjelang ramadhan, dapat kita lihat ramai yang akan berebut-rebut menyeru ke arah kebaikan, menyatakan hasrat perubahan diri, merebut tempat dalam melakukan ibadah dan macam-macam lagi perkara baik.

Bagaimana reaksi kita semua terhadap perkara ini? Terus-terang GR katakan, hajat GR buat ramadhan kali ini adalah amat besar sekali. Hajat untuk menjadikan ramadhan kali ini sebagai sisi transformasi kepada diri untuk berubah menjadi lebih baik. Pendek kata, GR mengharapkan agar ramadhan kali ini mampu mentarbiyahkan diri yang selama ini hanyut dalam kelekaan duniawi, agar berubah menjadi lebih baik lagi. Sebab itu, ada yang melihat di status facebook GR, bagi yang mengenalilah, banyak menulis mengenai status yang baik-baik. Sejujurnya, niat di hati bukan untuk berlakon baik, tapi sekadar untuk memotivasikan diri sendiri. Sebabnya, jujur kata, GR terlalu banyak online di facebook. Jadi, sedikit demi sedikit ianya mampu untuk mengingatkan diri GR sendiri.

Jadi, jika dilihat kepada perkara sebegini, seringkali kita akan mendengar keluhan-keluhan mengenai pandangan orang lain mengenai perubahan yang cuba dilakukan.

"Alah, bulan puasa je. Nanti dah habis puasa, jadi balik macam dulu"

"Tak usah buat-buat baiklah, nak berlakon baik pulak"

"Aku confirm, lepas bulan puasa kau mesti buat jahat balik kan?"

Ya, reaksi seperti ini adalah perkara biasa. Tidak menafikan, ada juga yang mengikut-ikut budaya berbuat kebaikan semasa bulan ramadhan. Jadi, berpuasa hanya sebagai adat. Tetapi apalah salahnya, jika kita menyokong kebaikan yang dilakukan itu, agar ianya mampu dikekalkan secara berterusan selepas tamat latihan pada bulan ramadhan ini? Orang-orang yang seperti ini, sebenarnya mempunyai sedetik rasa dalam hati mereka, bahawa mereka ingin benar-benar berubah, Seperti GR sendiri juga, penat rasanya menyelam dalam lautan kelekaan dunia ini. Jadi, perubahan amat diperlukan, untuk mengembalikan keseimbangan bagi dunia dan juga akhirat. 

Apa yang GR ingin ketengahkan adalah, cubalah untuk memandang sisi positif sesuatu perubahan itu, terutamanya jika ianya berlaku di bulan ramadhan. Bukan semua orang mampu untuk menerima hidayah Allah, kerana semuanya adalah berdasarkan kehendakNya. Hidayah Allah juga tidak boleh hanya ditunggu, sebaliknya harus dicari dan dipohon. InsyaAllah, akan ditunjukkan jika ada izin daripadaNya.

Sebagaimana firman Allah:

"Barangsiapa yang Allah kehendaki akan diberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatanNya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah dia sedang naik ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang yang tidak beriman"
Al-An'am : 125

Semuanya berlaku dengan izinNya. Jika bersungguh-sungguh mahu berubah, insyaAllah Allah akan mengkabulkan. Malah Allah akan menghantar petunjuk dengan memperkenalkan kepada kita orang-orang yang mampu membantu kita. Jadi, apa salahnya jika masyarakat sekeliling memberi sokongan kepada orang-orang yang sedang cuba untuk melakukan perubahan, agar mereka ini terus menerus berubah, dan semoga menerima hidayah Allah, insyaAllah.

Satu harapan GR adalah, jangan sesekali mencemuh orang yang ingin berubah ke arah kebaikan. Kami memerlukan sokongan dan dorongan agar kehendak hati yang ada itu terus menjadi tetap. Malah tidak berbolak-balik. Kerana ada orang yang pada mulanya ingin berubah, tetapi kerana faktor orang sekeliling, perubahan itu menjadi sementara dan terhenti di tengah jalan. Masyarakat sekeliling, keluarga, dan rakan-rakan memainkan peranan yang besar dalam perkara ini.

InsyaAllah, kita mampu menjadi umat yang lebih baik. Sekian saja, sekadar renungan buat diri sendiri dan juga untuk semua yang membaca. Wassalam.

nota kaki kiri: Hidayah Allah boleh datang dengan pelbagai cara, samada kita sedar atau tidak, perkara yang dianggap remeh dalam kehidupan seharian juga boleh menjadi punca hidayah itu tiba.

17 August 2011

Apa yang blogger perlu buat?

Assalamualaikum.

Sepatutnya entri-entri dalam blog ini sudah mengurangkan isi-isi yang berkaitan dengan dunia blog, tapi ada sebabnya kenapa GR terpanggil untuk menulis serba sedikit. Salah satunya adalah kerana seorang pembaca dan penulis blog yang sangat budiman. Apa yang membuatkan GR terharu adalah, isi kandungan dalam entri dia yang INI. Tak sangka ada pembaca yang sangat baik sebegini, malahan dia merupakan seorang penulis blog yang GR kira bagus, kerana entri-entri yang dihasilkannya juga berkualiti pada perkiraan GR. Tak percaya? Cuba lihat sendiri dalam blog dia. Baca dan hayati entri-entri dia ok.

Saja nak berkongsi, walaupun mungkin tak ada yang nak ambil tahu pun, mengenai serba sedikit sejarah mengenai pembabitan GR dalam dunia blog dan juga apa nasihat yang GR rasa patut para penulis blog amalkan.

GR mula membabitkan diri dalam penulisan blog sekitar awal 2010 dan sebelum ini ada satu blog lain. Tapi blog itu telah dibuang, atas sebab-sebab tertentu. Jadi blog ini diwujudkan untuk menggantikan blog itu. Sebab utama adalah kerana GR memang suka menulis, dan memang GR sangat lain ketika menulis. Maksudnya, bila menulis, apa yang GR tak dapat fikirkan sewaktu berkata-kata semuanya terluah. Jadi, medan penulisan memang membuatkan GR dapat berfikir lebih luas.

Ok, awal penulisan, GR agak hanyut tanpa arah tujuan dan sangat naif dari segi penulisan, di mana tiada mesej-mesej yang disampaikan, sekadar menulis ikut suka hati, menyertai segmen, contest, dan sebagainya. GR akui, bukan salah untuk menyertai semua itu, tapi ada hadnya. Kalau setakat menyertai dunia blog semata-mata untuk menyertai segmen, contest, dan mencari follower semata-mata, usahlah teruskan. Kerana bagi GR, dunia blog ini boleh dimanfaatkan dengan lebih baik. Sebab itu, GR sudah berhenti menyertai semua itu, atas alasan inilah. Setelah melalui beberapa fasa perubahan, baik dari segi penulisan, identiti dan juga motif, terhasillah entri-entri sebagaimana yang ada sekarang. Bukanlah hebat, tetapi insyaAllah punya mesej dan identiti tersendiri.

Jadi, pesanan untuk Cik Kompas yang sanggup untuk baca entri-entri lama blog ini, harap jangan diketawakan kelemahan yang ada ya, hehe.

Oh ya, sedikit renungan buat para penulis blog yang ada. Ambil masa sejenak untuk anda fikirkan, mengapa anda melibatkan diri dalam dunia blog ini? 

Jika jawapannya untuk kepuasan diri, GR juga menulis untuk kepuasan diri. Tapi apa kata jika kepuasan diri itu disertai dengan hajat untuk menyampaikan mesej-mesej yang baik?

Jika untuk menyuarakan pendapat, seperti blog Rasa Hati, juga dipersilakan, dan cubalah tambah elemen-elemen kebaikan di dalamnya.

Jika jawapannya adalah untuk mencari wang-wang tambahan dengan pelbagai cara yang dihalalkan, baguslah kerana anda mempunyai misi yang bagus. Tetapi, jika anda tambahkan sekali amalan menyebarkan kebaikan, anda dapat lebih daripada duit, ya tak?

Tidak berniat untuk memanjangkan bebelan, sebenarnya GR ingin mengajak anda semua melakukan amal makruf nahi mungkar melalui cara anda yang tersendiri. InsyaAllah, bukan sahaja dapat kepuasan, wang, tetapi anda juga bakal mendapat saham yang baik untuk akhirat, mudah-mudahan. Untuk mendapat pahala, tidak semestinya anda perlu menulis mengenai hukum hakam dalam islam, tetapi dengan menyebarkan kebaikan juga, insyaAllah ada ganjaran yang dijanjikan.

Ok, entri ini dah terlalu panjang rasanya, insyaAllah akan ada bahagian 2, untuk sambungan kepada entri ini. Kesimpulannya, buat masa ini mesejnya adalah cubalah untuk manfaatkan blog dengan menyebarkan kebaikan. Selain dapat menyeru orang lain, kita juga boleh mendapatkan pahala.

Blogger memainkan peranan besar pada zaman sekarang. Cuba lakukan sebagaimana Musafir Ilmu lakukan dalam blognya. Selain berkongsi ilmu, dapat juga ditonjolkan bakat penulisan yang ada. Sekian, insyaAllah ada bahagian kedua. Wassalam.

nota kaki kiri: rasa terharu ok sekarang ni.


14 August 2011

Datang dan Pergi

Assalamualaikum.

Aku duduk diam, renung,
Aku duduk diam, fikir,
Aku duduk diam, ingat,

Masa lepasku bagaimana?
Masa lepasku bergunakah?
Masa lepasku berjasakah?

Aku duduk diam, ingat pada Yang Esa,

Dosa, selama ini aku berdosa,
Dosa, entah berapa tak terkira,
Dosa, jika terfikir aku jadi hiba,

Aku duduk diam, cari,

Jalan itu aku temui,
Jalan itu aku tempuhi,
Jalan itu aku tujui,

Aku berjalan ke sana, mereka ketawa,
Aku berjalan ke sana, mereka menghina,
Aku berjalan ke sana, mereka mencela,

Hati aku berbicara,

Ah, mereka tidak mengerti,
Ah, bukan mereka yang mencari,
Ah, bukan mereka yang ingin aku temui,

Aku jalan lagi, mara dan terus mara,
Terdengar bicara satu suara,

Kau mahu berseorangan di sini?
Tiada rakan?
Tiada keluarga?

Kata mereka yang mendampingi,

Pergilah kau, bawa mereka bersama ke mari,
Pergilah kau, mereka memerlukan kau sekali,
Pergilah kau, biarpun mereka tidak mengerti,

Oh, kini aku mengerti,

Walau dicaci,
Walau dimaki,
Walau dikeji,

Bawalah mereka bersama,
Bimbinglah mereka semua,
Jangan kau biarkan mereka sendiri.

Janji aku janji,
Walau perit aku tak akan berhenti,
Dari mencari dan membawa mereka sekali.



13 August 2011

Keajaiban Taubat

Assalamualaikum.
Sekarang sudah masuk fasa ke-2 10 ramadhan yang merupakan fasa pengampunan.

Terdapat banyak nas di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah yang mengandungi galakan, suruhan, kelebihan dan keagungan mereka yang istiqamah dalam memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:
"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu berjaya".

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa untuk menjadi mukmin yang berjaya di akhirat adalah dengan bertaubat kepada Allah.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Demi (Allah) yang diriku berada di tanganNya, sekiranya kamu tidak melakukan dosa, Allah akan mengambil nyawamu dan membawa sekumpulan manusia yang melakukan dosa, lalu mereka memohon keampunan Allah dan Dia akan mengampunkan mereka" (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan betapa Allah amat suka memberi pengampunan kepada hambaNya dan betapa cintanya Dia kepada golongan yang bertaubat. Ini terbukti melalui nama-namaNya yang agung seperti Al-Afuw (Maha Pemaaf), Al-Ghafur (Maha Memberi Keampunan) dan Al-Ghaffar (Sentiasa Memberi Keampunan).

Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya. Ini telah dijelaskan melalui lidah Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Allah Taala berfirman: "Wahai anak Adam (wahai manusia), sesungguhnya selagi kamu berdoa dan berharap kepadaKu, Aku pasti akan mengampunkan kamu atas apa sahaja dosa yang lahir daripada kamu. Aku juga tidak peduli (samada ia sedikit atau banyak, kecil atau besar). Wahai anak Adam! Kalaulah dosa-dosa kamu sampai awan di langit, kemudian kamu meminta keampunanKu pasti Aku akan mengampunkanmu. Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepadaKu dengan dosa-dosa yang hampit memenuhi bumi, kemudian kamu menemuiKu dalam keadaan kamu tidak menyekutukan sesuatu denganKu, pasti Aku datang kepadamu dengan keampunan yang hampir memenuhi bumi itu." (Riwayat Al-Tarmizi)

Fahamilah sebaik-baiknya hadis di atas, betapa kasihnya Allah kepada kita. Ayuh, marilah kita kembali dan berserah diri kepadaNya sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Zumar. ayat 54 yang bermaksud:
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu, kerana sesudah itu kamu tidak dapat ditolong"

Allah telah menjelaskan tentang kebaikan dan faedah akan diperolehi oleh seseorang hamba, apabila memohon keampunanNya seperti yang disebutkan dalam surah Nuh, ayat 10-12 yang bermaksud:
"Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah keampunan kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang menemui Hasan Al-Basri yang merupakan seorang tabiin terkenal. Lelaki tersebut telah menceritakan tentang kehidupannya yang penuh kemiskinan. Lalu Hasan Al-Basri menasihatkan lelaki itu agar memohon keampunan Allah. Setelah itu datang pula lelaki lain yang mengadu kepada beliau tentang dirinya yang masih lagi tidak memiliki zuriat, lantas dinasihati supaya selalu memohon keampunan Allah. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang tidak subur, lantas dinasihati supaya memohon keampunan Allah sebanyak yang mungkin. Kemudian beliau membacakan Surah Nuh, ayat 10-12 seperti yang disebutkan di atas.

-Ringkasan khutbah jumaat (12/8/2011)-
Surau Platinum Al-Mawaddah, Shah Alam

Begitulah kepentingan bertaubat dalam kehidupan kita. Hendaklah kita sentiasa memohon keampunan kepada Allah, kerana kita manusia memang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri yang telah dijanjikan syurga untuk baginda, selalu memohon keampunan, inikan pula kita manusia biasa yang saban hari melakukan kesilapan, dan belum tentu syurga itu milik kita.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih daripada 70 kali sehari."
(riwayat al-Bukhari)

Sama-sama kita manfaatkan fasa pengampunan dalam bulan ramadhan kali ini, untuk memohon ampun ke atas segala dosa yang telah kita lakukan. Peringatan bersama untuk kita semua. Sekian, wassalam.

10 August 2011

Fitnah dari blogger

Assalamualaikum.


Apa khabar anda yang sudi membaca? Semoga sejahtera hendaknya keadaan anda semua. Bagaimana ramadhan? Ada baik ka? Haha dah terkenal dialog dari filem KL Gangster tu. Sangat ramai orang yang terpengaruh dengan fenomena tersebut. Tapi kali ini GR tak mahu bercerita mengenai filem ini, cuma sedikit renungan kita bersama untuk dunia penulisan blog.

Ok, rata-rata penulis blog berminat untuk menyebarkan sesuatu maklumat kepada pembaca. Ya, itu satu amalan yang bagus. Maklumat dan ilmu yang berguna disalurkan kepada pembaca atas niat yang murni. Tak kisahlah jika ada yang mengambil kesempatan menggunakan teknik SEO sekalipun kerana itu boleh dijadikan kegiatan sampingan untuk mencari sedikit pendapatan, ya tak? Yang penting maklumat-maklumat dan juga ilmu pengetahuan dapat disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain.

Tetapi, dalam keghairahan kita sebagai penulis blog dalam menyebarkan berita, harus kita sedar bahawa semuanya mempunyai had. Apa yang dimaksudkan sebagai mempunyai had? Had di sini adalah untuk memastikan bahawa apa yang kita sampaikan itu adalah perkara yang benar, tanpa ada unsur-unsur fitnah. 

Bagaimana pula boleh timbul isu-isu fitnah? Apabila perkara yang kita sebarkan itu belum mempunyai unsur-unsur kepastian yang pasti, dan juga sekiranya ianya melibatkan tuduhan kepada seseorang. Jika sesuatu tuduhan itu tidak benar, bukankah ianya boleh membawa kepada fitnah? Jadi, untuk mengambil langkah selamat, eloklah sekiranya diteliti dahulu kepastian setiap berita tersebut, samada ianya merupakan daripada unsur-unsur yang boleh dipercayai. Sekiranya anda benar-benar yakin dengan berita tersebut, silakan untuk menyebarkannya, itupun sekiranya ianya membawa kebaikan kepada kita.

Jika tidak, akan terjadilah kes-kes penulis blog disaman, kes-kes penulis blog dikecam kerana menyebarkan berita palsu. Kalau anda mempunyai fakta yang kuat, sila kemukakan, sepertimana yang dilakukan oleh blog aididleaks.

Maklumlah, pada hakikatnya memang penulis blog kebanyakannya suka mengambil kesempatan untuk menggunakan isu-isu panas sebagai daya tarikan blog. Ini adalah hakikat, suka atau tidak, terimalah.

Hadis Rasulullah S.A.W.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

”Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.”
 
(Muslim)

Ibnu Abbas menceritakan :

”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.”
 
(Bukhari)

Dua hadis di atas menunjukkan betapa beratnya kesalahan melakukan fitnah ini. Jadi cubalah untuk kita elakkan daripada melakukan perkara ini, walaupun dalam keadaan tidak sengaja. Elakkan dari menyebarkan tuduhan yang kita sendiri tidak pasti akan kesahihannya, ok?

Pesanan ini ditujukan khas buat semua blogger, termasuk diri GR sendiri, kerana kita memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan maklumat kepada pembaca. Apa saja yang kita sampaikan, ada pembacanya yang tersendiri. Jadi, pilihan di tangan kita, untuk menyampaikan kebaikan ataupun tidak.

Jika anda menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk semua, insyaAllah, ada ganjarannya. Amal Makruf Nahi Mungkar. Semoga berjumpa di lain entri. Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: mungkin ada antara entri GR yang juga menyampaikan tuduhan? :( 

06 August 2011

Proses Pelupusan Sampah

Assalamualaikum.

Hai, salam ramadhan untuk hari ke 6. Apa khabar anda semua? Ramai tak yang dah mula mengalami penurunan berat badan? Atau ramai yang mengalami kenaikan? Hehe. Semoga ramadhan kali ini membawa seribu barakah buat kita semua ya.

Hari-hari kita buang sampah. Ada yang sampahnya dibuang lalu dibakar. Ada yang dikumpul dan kemudian diletakkan ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan perumahan. Ada juga yang mengumpulkan sampah di hadapan rumah dan kemudian sampah itu dipungut oleh pihak majlis perbandaran. Semua orang tahu cara untuk membuang sampah dan di mana patut kita buang. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana sampah-sampah yang dikutip itu dilupuskan? Mari GR terangkan serba sedikit proses pelupusan sampah.

********

Anda biasa mendengar orang menyebut tapak pembuangan sampah? Atau anda biasa dengar perkataan tapak pelupusan sampah? Ya, kedua-duanya mempunyai perbezaan. Mari kita mulakan dengan tapak pembuangan sampah.

tapak pembuangan sampah di Langkawi

Gambar yang anda lihat di atas adalah di kawasan tapak pembuangan sampah (Dumping Site). Tapak pembuangan sampah merupakan tempat sampah-sampah yang dipungut dari kawasan yang terlibat akan dibuang. Di tapak ini, sampah-sampah ini akan dikumpulkan dan kemudian dimampatkan di dalam tanah. Apabila sudah mencapai tahap ketinggian tertentu, sampah ini akan dikambus dengan lapisan tanah. Lapisan tanah itu juga akan dimampatkan menggunakan compactor. Ketinggian tanah yang ditetapkan bergantung kepada pihak yang menjaga tapak pembuangan sampah ini. 

Proses di tapak ini kelihatan mudah bukan? Tetapi ianya mendatangkan bahaya kepada alam sekitar. Sebelum kita sentuh mengenai itu, kita teliti dulu proses pelupusan sampah pula.

tapak pelupusan sampah di Johor

Ok, gambar ini adalah di kawasan tapak pelupusan sampah. Nampak sama saja bukan? Apa yang membezakan keadaan di tapak pembuangan dan pelupusan sampah adalah di sini terdapat sistem untuk menguruskan gas dan juga leachate (air sampah)

Proses yang sama pada awalnya, sampah-sampah akan dimampatkan di dalam lapisan dengan ketinggian tertentu. Oh ya, di sini juga ada mengamalkan proses kitar semula (pengasingan), di mana sebelum memasuki tapak pelupusan, lori-lori sampah meninggalkan sampah di kawasan kitar semula. Sampah-sampah yang sudah diasingkan akan dibawa ke tapak pelupusan.

Apabila sudah mencapai had ketinggian yang ditetapkan, lapisan ini akan ditutup dengan tanah. Tetapi sebelum itu, pekerja-pekerja akan menyembur EM (effective microorganisms) untuk mempercepatkan proses pereputan sampah. 

maaf gambar kabur

Mereka juga akan meletakkan lapisan HDPE Liner untuk mengelakkan lapisan sampah itu terganggu. Jika anda lihat di dalam gambar, HDPE liner tersebut yang berwarna hitam.

Kualiti udara dan juga air bawah tanah akan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar. Jadi, pengurusan tapak akan memastikan tiada leachate yang akan meresap ke sumber air terdekat.

Berbeza dengan tapak pembuangan sampah, di sini mereka mempunyai paip yang dibuat untuk menyalurkan gas dan juga leachate yang terhasil. Gas-gas yang terhasil adalah berbahaya dan perlu dirawat untuk mengelakkan ianya terlepas ke udara. Contoh gas adalah metana (methane). Leachate pula adalah air yang terhasil daripada sampah-sampah yang berair yang dikumpulkan. Ianya berbahaya dan mengandungi partikel-partikel berbahaya seperti metal yang boleh mencemarkan air bawah tanah yang berdekatan.

Adalah penting bagi sesuatu tapak pelupusan sampah untuk menjaga kedua-dua perkara ini kerana ianya menjadi keutamaan. Lihatlah apa yang terjadi sebelum ini di Bachok, Kelantan, apabila air bawah tanah di sekitar kawasan tapak pembuangan sampah sudah tercemar dan membuatkan air di situ berbahaya kepada penduduk.

inilah dia leachate

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja penerangan yang GR beri. Semuanya adalah berdasarkan umum saja, tiada fakta teknikal. Sekadar untuk berkongsi serba sedikit pengetahuan yang ada. Semoga ada manfaat di sebalik entri ini.

Seeloknya kita kurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan mengamalkan amalan kitar semula, kerana walaupun nampak terjaga dengan sistem pelupusan sampah, hakikatnya ianya mendatangkan banyak masalah kepada alam sekitar. Lagipun, kawasan yang sedia ada semakin berkurangan. Sama-samalah kita manfaatkan bumi hijau kita ini.

Sekian, terima kasih sudi baca. Wassalam.

04 August 2011

Ubah Ramadhan Kita

Assalamualaikum w.b.t

Salam ramadhan diucapkan buat semua. Apa kisah anda dan ramadhan pada tahun ini? Mungkin lebih baik dari yang lepas, insyaAllah. Sedar tak sedar hari ini sudah ramadhan ke 4. Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk menjalani ramadhan pada tahun ini. Semoga peluang ini dimanfaatkan oleh kita bersama.

Ramadhan, sebuah bulan yang penuh keberkatan. Pada bulan ini semua amalan yang dilakukan diberi ganjaran berganda, dihadiahkan juga sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan (lailatulqadar), pada bulan ini juga diturunkan Al-Quran untuk kita dan jika pada bulan lainnya kita lemah dan tidak bermaya jika tidak makan pada siang hari tetapi pada bulan ramadhan lain benar rasanya bukan?

Cuba kita renungkan kembali sejarah sikap dan amalan kita semasa bulan ramadhan yang lepas. Adakah kita mengambil peluang untuk menjalankan ibadah? Adakah kita memanfaatkan sepenuhnya hadiah yang dikirmkan kepada kita ini? Jika tidak seperti apa yang dijangkakan, maka seeloknya kita manfaatkan pula peluang yang terus menerus diberi kepada kita kali ini.

Jika sebelum ini kita melakukan pembaziran di bulan ramadhan, dengan membeli juadah yang terlampau banyak untuk berbuka, sehingga kadangkala tidak habis dimakan dan dibuang begitu saja, maka apalah salahnya jika kita buang sikap tersebut. Jika sebelum ini kita tidak mengambil peluang melakukan solat sunat terawih di malam hari, apalah salahnya jika kita cuba untuk menunaikannya semampu yang mungkin. Jika sebelum ini kita tidak membaca Al-Quran setiap malam, apalah salahnya jika kita mengambil peluang membaca sekadar yang termampu.

InsyaAllah, sekiranya dibetulkan niat kita, maka amalan kita akan diterima. Jika diubah sikap kita, nikmatnya pasti lebih terasa. Sesungguhnya ramadhan merupakan bulan keberkatan untuk kita semua, dan boleh juga diibaratkan sebagai bulan hadiah buat kita. Bulan untuk kita mula melakukan perubahan.

Manisnya pasti terasa jika kita berjaya di bulan ramadhan. Dan bahagianya lebih terasa sekiranya kita mampu meneruskan kejayaan itu dalam bulan-bulan seterusnya, insyaAllah. Seperti biasa, pesanan ini juga adalah untuk mengingatkan diri GR sendiri yang juga selalu hanyut dalam kelekaan duniawi. Semoga kita dirahmati dan diberkati Allah S.W.T.

Sekian, wassalam.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails