commercial break

Showing posts with label sedikit.pengajaran. Show all posts
Showing posts with label sedikit.pengajaran. Show all posts

06 August 2011

Proses Pelupusan Sampah

Assalamualaikum.

Hai, salam ramadhan untuk hari ke 6. Apa khabar anda semua? Ramai tak yang dah mula mengalami penurunan berat badan? Atau ramai yang mengalami kenaikan? Hehe. Semoga ramadhan kali ini membawa seribu barakah buat kita semua ya.

Hari-hari kita buang sampah. Ada yang sampahnya dibuang lalu dibakar. Ada yang dikumpul dan kemudian diletakkan ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan perumahan. Ada juga yang mengumpulkan sampah di hadapan rumah dan kemudian sampah itu dipungut oleh pihak majlis perbandaran. Semua orang tahu cara untuk membuang sampah dan di mana patut kita buang. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana sampah-sampah yang dikutip itu dilupuskan? Mari GR terangkan serba sedikit proses pelupusan sampah.

********

Anda biasa mendengar orang menyebut tapak pembuangan sampah? Atau anda biasa dengar perkataan tapak pelupusan sampah? Ya, kedua-duanya mempunyai perbezaan. Mari kita mulakan dengan tapak pembuangan sampah.

tapak pembuangan sampah di Langkawi

Gambar yang anda lihat di atas adalah di kawasan tapak pembuangan sampah (Dumping Site). Tapak pembuangan sampah merupakan tempat sampah-sampah yang dipungut dari kawasan yang terlibat akan dibuang. Di tapak ini, sampah-sampah ini akan dikumpulkan dan kemudian dimampatkan di dalam tanah. Apabila sudah mencapai tahap ketinggian tertentu, sampah ini akan dikambus dengan lapisan tanah. Lapisan tanah itu juga akan dimampatkan menggunakan compactor. Ketinggian tanah yang ditetapkan bergantung kepada pihak yang menjaga tapak pembuangan sampah ini. 

Proses di tapak ini kelihatan mudah bukan? Tetapi ianya mendatangkan bahaya kepada alam sekitar. Sebelum kita sentuh mengenai itu, kita teliti dulu proses pelupusan sampah pula.

tapak pelupusan sampah di Johor

Ok, gambar ini adalah di kawasan tapak pelupusan sampah. Nampak sama saja bukan? Apa yang membezakan keadaan di tapak pembuangan dan pelupusan sampah adalah di sini terdapat sistem untuk menguruskan gas dan juga leachate (air sampah)

Proses yang sama pada awalnya, sampah-sampah akan dimampatkan di dalam lapisan dengan ketinggian tertentu. Oh ya, di sini juga ada mengamalkan proses kitar semula (pengasingan), di mana sebelum memasuki tapak pelupusan, lori-lori sampah meninggalkan sampah di kawasan kitar semula. Sampah-sampah yang sudah diasingkan akan dibawa ke tapak pelupusan.

Apabila sudah mencapai had ketinggian yang ditetapkan, lapisan ini akan ditutup dengan tanah. Tetapi sebelum itu, pekerja-pekerja akan menyembur EM (effective microorganisms) untuk mempercepatkan proses pereputan sampah. 

maaf gambar kabur

Mereka juga akan meletakkan lapisan HDPE Liner untuk mengelakkan lapisan sampah itu terganggu. Jika anda lihat di dalam gambar, HDPE liner tersebut yang berwarna hitam.

Kualiti udara dan juga air bawah tanah akan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar. Jadi, pengurusan tapak akan memastikan tiada leachate yang akan meresap ke sumber air terdekat.

Berbeza dengan tapak pembuangan sampah, di sini mereka mempunyai paip yang dibuat untuk menyalurkan gas dan juga leachate yang terhasil. Gas-gas yang terhasil adalah berbahaya dan perlu dirawat untuk mengelakkan ianya terlepas ke udara. Contoh gas adalah metana (methane). Leachate pula adalah air yang terhasil daripada sampah-sampah yang berair yang dikumpulkan. Ianya berbahaya dan mengandungi partikel-partikel berbahaya seperti metal yang boleh mencemarkan air bawah tanah yang berdekatan.

Adalah penting bagi sesuatu tapak pelupusan sampah untuk menjaga kedua-dua perkara ini kerana ianya menjadi keutamaan. Lihatlah apa yang terjadi sebelum ini di Bachok, Kelantan, apabila air bawah tanah di sekitar kawasan tapak pembuangan sampah sudah tercemar dan membuatkan air di situ berbahaya kepada penduduk.

inilah dia leachate

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja penerangan yang GR beri. Semuanya adalah berdasarkan umum saja, tiada fakta teknikal. Sekadar untuk berkongsi serba sedikit pengetahuan yang ada. Semoga ada manfaat di sebalik entri ini.

Seeloknya kita kurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan mengamalkan amalan kitar semula, kerana walaupun nampak terjaga dengan sistem pelupusan sampah, hakikatnya ianya mendatangkan banyak masalah kepada alam sekitar. Lagipun, kawasan yang sedia ada semakin berkurangan. Sama-samalah kita manfaatkan bumi hijau kita ini.

Sekian, terima kasih sudi baca. Wassalam.

23 May 2011

| Tahukah anda | Proses rawatan air yang anda gunakan untuk kehidupan seharian

Assalamualaikum.

Fuh, lamanya tak menaip entri baru. Maaflah kalau ada yang tunggu entri baru dari GR (ada ke?), hehe. GR sekarang dalam musim praktikal, hujung minggu pula GR sudah mula bekerja. Kerja sambilan saja, di kedai makan di kampung GR, gaji taklah mahal, sekadar cukup buat bekalan untuk praktikal cukuplah. Jadi penat tu agak penat jugalah. Ya lah, 7 hari berturut-turut bekerja kan, mestilah penat. Jadi sekarang ni, mungkin blog ini akan kurang dikemaskini dengan entri baru.

sumber google
Apa perasaan anda apabila melihat gambar di atas? Adakah anda berselera untuk minum air seperti di dalam gambar tersebut? Mana mungkin anda berselera kan? Hehe. Ok, kali ini GR ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai air yang digunakan di dalam kehidupan seharian kita, samada untuk minum, masak, mandi mahupun membasuh. Semuanya datang dari punca yang sama, air paip.

Adakah anda tahu bagaimana air yang anda gunakan seharian menjadi seperti yang anda lihat sekarang? Apa yang GR maksudkan adalah, anda menggunakan air yang tidak berwarna seperti lumpur, seperti yang anda lihat di sungai, air yang anda gunakan adalah bersih, walaupun ada masanya air itu sedikit kotor. Jadi, hari ini GR ingin ceritakan serba-sedikit mengenai proses rawatan air yang dijalankan supaya anda tidak samar-samar mengenai air yang dirawat itu.

Proses rawatan bermula dengan proses pengambilan air atau intake. Untuk proses ini, pam diperlukan untuk mengepam air masuk ke pusat rawatan. Proses seterusnya adalah:

kalau tak jelas boleh klik
Apa yang anda lihat di dalam gambar di atas adalah proses pengudaraan atau aeration. Proses ini bertujuan untuk menyingkirkan bahan-bahan organik dengan memberi aliran udara kepada air tersebut. Hidupan-hidupan organik yang terkandung di dalam air tersebut akan mula mengalami proses penguraian apabila menerima oksigen.


Proses seterusnya adalah proses koagulasi (coagulation) di mana proses ini bertujuan untuk mengumpul bahan-bahan terampai. Prosesnya adalah melalui penambahan bahan kimia yang berfungsi untuk memberi daya tarikan kepada partikel-partikel terampai tersebut. 

klik untuk lebih jelas lukisan yang buruk ini :P

Seterusnya adalah proses flokulasi (flocculation). Proses ini adalah kesinambungan daripada proses sebelum ini. Tujuannya adalah untuk membenarkan floc terbentuk. Floc adalah keadaan di mana partikel-partikel itu membentuk kumpulan yang lebih besar dan berat.

lebih besar bila diklik
Kita beralih kepada proses yang seterusnya iaitu pemendapan (sedimentation). Proses ini bertujuan untuk memendapkan partikel-partikel berat yang terhasil daripada 2 proses sebelum ini. Partikel-partikel itu kemudiannya boleh dibuang daripada air tersebut. 

sumber google
Ok, ini adalah proses seterusnya iaitu penapisan (filtration). Proses ini rasanya semua orang boleh faham, iaitu untuk menapis air tersebut. Tetapi tujuannya adalah untuk saja-saja menapis, tetapi untuk menapis bahan-bahan yang tidak boleh dibuang melalui proses sebelum ini. Bahan-bahan yang terlepas akan ditapis dan dibuang di proses ini.

Ok, proses yang terakhir adalah proses penambahan klorin (chlorination) di mana klorin ditambah untuk membunuh kuman-kuman yang terdapat di dalam air tersebut. Tetapi bukan semua kuman dapat dibunuh, dan disebabkan itu kita perlu untuk memasak air sebelum dibunuh kerana bakteria-bakteria dapat dibunuh apabila suhu air mencapai tahap yang tertentu seperti 100 darjah celcius. 

Jadi, jika anda tertanya-tanya mengapa air yang didapati di rumah kita kadangkala berbau klorin, penjelasannya adalah kadang-kadang, dos klorin yang ditambah melebihi paras yang secukupnya. Untuk masalah air yang kekuningan seperti warna karat pula adalah kerana paip yang digunakan untuk membekalkan air adalah jenis lama iaitu besi dan telah berkarat. 

Oleh kerana masalah kos juga, sistem rawatan air di negara kita bukanlah seperti negara jiran kita iaitu Singapura yang menggunakan proses osmosis berbalik (reverse osmosis) yang menghasilkan kualiti yang sangat baik. Kita menggunakan sistem konvesional yang mengutamakan proses-proses asas. Tetapi kualiti air masih lagi mencapai tahap yang dibenarkan. Jika mampu, anda boleh menggunakan sistem penapis RO di rumah anda, tetapi anda harus memahami dahulu bagaimana penapis itu berfungsi. Jangan nanti anda sendiri tidak berpuas hati dengan kualiti air tersebut.

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja. Penjelasan GR hanyalah secara umum dan bukannya secara mendalam. Jika anda berminat untuk mengetahui secara mendalam anda bolehlah mencari maklumat di internet, atau juga boleh bertanya di laman facebook gedungrasa. GR akan cuba menjawab sekadar yang termampu. 

Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: tak rugi kalau kita berkongsi ilmu
lukisan yang buruk sila abaikan ok! haha

12 December 2010

1.0 Ingin melancong ke Jepun?



Ohaiyou Gozaimasu. Watashi wa Mohd Fitri desu. Onamae wa nan desu ka. Watashi wa mainichi blog o kakimasu. Minna-san wa watashi no blog o kimasen ka.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar ya anda? Harap semua sihat-sihat belaka. Anda faham apa yang saya bicarakan di atas? Hah, hari ini saya nak kongsi sedikit pengetahuan dengan anda semua mengenai bahasa Jepun. Sebenarnya saya sedang mempelajari bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga. Hampir setahun jugalah dan tinggal satu semester lagi untuk belajar. Rasanya tak salah kalau saya kongsikan apa yang saya pelajari. Tidak mampu banyak, serba sedikit dapat juga untuk diberitahu. Lagipun, dengan berkongsi saya dapat juga turut sama mengingati apa yang saya belajar.

Ok, kita mulakan dengan perkara asas dahulu ya.
Struktur ayat Bahasa Jepun berbeza sedikit dengan struktur ayat Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Susunannya berbeza dan sebab itulah rakyat Jepun agak sukar untuk berbahasa Inggeris.

Sebagai contoh.
Dalam bahasa Melayu:
Selamat pagi, saya Mohd Fitri

Bahasa Jepun:
Ohaiyou gozaimasu. Watashi wa Mohd Fitri desu
(Selamat pagi. Saya ialah Mohd Fitri) - desu tidak membawa maksud apa-apa, tetapi perkataan wajib letak pada akhiran untuk mengiyakan.

Jika ianya adalah untuk menyatakan tidak, contohnya:
Saya tidak pegi ke sekolah  pada hari ahad atau
Saya bukan Mohd Fitri

ianya adalah seperti berikut:
Watashi wa nichi-yobi gakko e kimasen (perkataan asas akan ditukar kepada sen, kimasu kepada kimasen)
Watashi wa Mohd Fitri dewa arimasen (desu ditukar kepada dewa arimasen)

Ayat ini boleh juga diubah menjadi pertanyaan, sebagai contoh
Anata wa nichi-yobi gakko e kimasen ka (Awak pergi ke sekolah pada hari Ahad?)
O-namae wa nan desu ka ( Siapa nama awak?)
Penambahan perkataan ka pada hujung ayat akan mengubah maksud

Mungkin anda agak sukar untuk memahaminya.
Jadi, untuk memudahkan rasanya lebih baik jika saya memberi maksud beberapa perkataan dahulu

Ucapan

Ohaiyou gozaimasu - Selamat Pagi
Sumimasen - Minta maaf, (excuse me)
Konnichiwa - Selamat tengahari
Kombanwa - Selamat Petang
Oyasuminasai - Selamat Malam
O-Genki desu ka - Apa khabar?
Tadaima - Saya dah pulang
Okaerinasai - Selamat pulang
Moshi moshi - Helo (untuk panggilan telefon sahaja)

Perkataan

Watashi - saya
Anata - awak
Minna-san - semua (ramai)
Tomodachi - kawan


Ok, cukup untuk entri kali ini. Lain kali, saya akan tambah lagi serba sedikit semampu saya pengajaran seterusnya ya. Selamat mencuba bahasa Jepun! :)

nota kaki kiri: semua ayat yang dinyatakan hanyalah untuk perbualan formal dan sama sekali berbeza dengan drama-drama jepun yang disiarkan kerana penggunaan rasmi adalah jarang diaplikasi oleh rakyat jepun.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails