Assalamualaikum.
Sekarang sudah masuk fasa ke-2 10 ramadhan yang merupakan fasa pengampunan.
Terdapat banyak nas di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah yang mengandungi galakan, suruhan, kelebihan dan keagungan mereka yang istiqamah dalam memohon keampunan kepada Allah S.W.T.
Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:
"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu berjaya".
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa untuk menjadi mukmin yang berjaya di akhirat adalah dengan bertaubat kepada Allah.
Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Demi (Allah) yang diriku berada di tanganNya, sekiranya kamu tidak melakukan dosa, Allah akan mengambil nyawamu dan membawa sekumpulan manusia yang melakukan dosa, lalu mereka memohon keampunan Allah dan Dia akan mengampunkan mereka" (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan betapa Allah amat suka memberi pengampunan kepada hambaNya dan betapa cintanya Dia kepada golongan yang bertaubat. Ini terbukti melalui nama-namaNya yang agung seperti Al-Afuw (Maha Pemaaf), Al-Ghafur (Maha Memberi Keampunan) dan Al-Ghaffar (Sentiasa Memberi Keampunan).
Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya. Ini telah dijelaskan melalui lidah Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Allah Taala berfirman: "Wahai anak Adam (wahai manusia), sesungguhnya selagi kamu berdoa dan berharap kepadaKu, Aku pasti akan mengampunkan kamu atas apa sahaja dosa yang lahir daripada kamu. Aku juga tidak peduli (samada ia sedikit atau banyak, kecil atau besar). Wahai anak Adam! Kalaulah dosa-dosa kamu sampai awan di langit, kemudian kamu meminta keampunanKu pasti Aku akan mengampunkanmu. Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepadaKu dengan dosa-dosa yang hampit memenuhi bumi, kemudian kamu menemuiKu dalam keadaan kamu tidak menyekutukan sesuatu denganKu, pasti Aku datang kepadamu dengan keampunan yang hampir memenuhi bumi itu." (Riwayat Al-Tarmizi)
Fahamilah sebaik-baiknya hadis di atas, betapa kasihnya Allah kepada kita. Ayuh, marilah kita kembali dan berserah diri kepadaNya sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Zumar. ayat 54 yang bermaksud:
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu, kerana sesudah itu kamu tidak dapat ditolong"
Allah telah menjelaskan tentang kebaikan dan faedah akan diperolehi oleh seseorang hamba, apabila memohon keampunanNya seperti yang disebutkan dalam surah Nuh, ayat 10-12 yang bermaksud:
"Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah keampunan kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang menemui Hasan Al-Basri yang merupakan seorang tabiin terkenal. Lelaki tersebut telah menceritakan tentang kehidupannya yang penuh kemiskinan. Lalu Hasan Al-Basri menasihatkan lelaki itu agar memohon keampunan Allah. Setelah itu datang pula lelaki lain yang mengadu kepada beliau tentang dirinya yang masih lagi tidak memiliki zuriat, lantas dinasihati supaya selalu memohon keampunan Allah. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang tidak subur, lantas dinasihati supaya memohon keampunan Allah sebanyak yang mungkin. Kemudian beliau membacakan Surah Nuh, ayat 10-12 seperti yang disebutkan di atas.
-Ringkasan khutbah jumaat (12/8/2011)-
Surau Platinum Al-Mawaddah, Shah Alam
Begitulah kepentingan bertaubat dalam kehidupan kita. Hendaklah kita sentiasa memohon keampunan kepada Allah, kerana kita manusia memang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri yang telah dijanjikan syurga untuk baginda, selalu memohon keampunan, inikan pula kita manusia biasa yang saban hari melakukan kesilapan, dan belum tentu syurga itu milik kita.
Sabda Rasulullah S.A.W:
"Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih daripada 70 kali sehari."
(riwayat al-Bukhari)
Sama-sama kita manfaatkan fasa pengampunan dalam bulan ramadhan kali ini, untuk memohon ampun ke atas segala dosa yang telah kita lakukan. Peringatan bersama untuk kita semua. Sekian, wassalam.
6 comments:
Nabi yang maksum pun istighfar 70 sehari...
ni pulak sheikh2 tarekat yang perasan pegang kunci syurga..
mcm2 unia skrg nih
Nice sharing...sama-samalah kt beramal dan bermuhasabah diri...
kite kecil je di dunie ni. lagi x bermakne jika menoleh dariNya. semoge keampunan milik kita semue..
zulfikar: tahu takpe. apabila merasakan ilmu terlalu tinggi.
TB: sama2 kita bermuhasabah :)
slah: kita ni ibarat zarah yang berterbangan. sekali hilang dari pandangan, langsung tak beri kesan. amin :)
keampunan itu membukti betapa kasihnya ALLAH kepada kita.
cik kompas: Allah Maha Penyayang :)
Post a Comment