Assalamualaikum.
Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Namun, apalah erti pemandangan yang luas, kalau fikiran tak terbuka?
Berpeluang untuk merantau di negeri orang semenjak tahun 2006, banyak memberi peluang kepada GR untuk mempelajari bagaimana sebenarnya erti kehidupan. Apa yang paling ketara adalah, keluarga lebih kuat menjelma di dalam ingatan. Benarlah, apabila di depan mata, kita selalu abaikan. Apabila sudah berjauhan pula, baru nak rindu-rinduan.
Walaupun mungkin 2006 hingga 2012 itu hanyalah tempoh yang sementara, jika dibandingkan dengan mereka yang merantau lebih jauh seperti ke luar negara, namun ianya tetap memberi kesan yang mendalam terhadap mentaliti dan persepsi GR kepada makna hidup.
Berpeluang untuk mengenali budaya dan lenggok bahasa di tempat yang asing bagi kita, berpeluang untuk bertemu dengan rakan-rakan yang berasal dari latar belakang yang pelbagai, dan juga berpeluang untuk merentas sempadan negeri ke utara Malaysia, merupakan titik mula yang membawa perubahan di dalam kehidupan GR sekarang.
Tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di UiTM Arau, Perlis membuka langkah GR untuk merantau di negeri orang. Tempoh 3 tahun yang dilalui dipenuhi dengan suka dan duka, tangis dan tawa, susah dan senang, dan pelbagai pengalaman yang tidak tergambar dek kata-kata. Dalam 3 tahun itu jugalah, GR mengenali rakan-rakan yang tiada galang gantinya.
di sini segalanya bermula |
Tamat pengajian peringkat diploma, GR menyambung pengajian di peringkat ijazah pula. Kali ini lokasinya lebih dekat dengan kampung halaman, iaitu di Selangor. 2 tahun setengah tempoh pengajian, kali ini lebih 'tough' cabarannya. Sebenarnya bukan mudah untuk mengharungi pengajian di peringkat ijazah kalau tak kental semangat. 2009 sehinggalah Februari 2012, merupakan tempoh yang mencipta sejarah suka dan duka dalam hidup GR.
Pada peringkat ijazah, GR mengenal ertinya bangun dari kegagalan. Bangkit dari kejatuhan semangat. Terus terang GR katakan, hampir saja GR berputus asa di semester akhir pengajian gara-gara projek yang amat mencabar. Mencabar bukan kerana apa, cuma kerana pelbagai dugaan yang menimpa dalam proses untuk menyiapkan projek tersebut. Alhamdulillah, tuhan masih memberikan kekuatan kepada GR untuk bersabar. Sudahnya, GR sekarang sudah bergelar graduan secara rasmi setelah selesai konvokesyen pada bulan Mei yang lepas.
sekali kamu mengalah, seumur hidup kamu menyesal |
Kini, GR sedang berusaha untuk membina kerjaya di dalam bidang kejuruteraan. 4 bulan sudah berlalu sejak GR menceburkan diri di dalam bidang pembinaan, dan hari ini 2/7/12, GR telah menerima tawaran sebagai pekerja tetap. InsyaAllah, GR tidak akan sia-siakan peluang yang ada untuk mempelajari lebih mendalam di dalam bidang ini. Mungkin bukan sekarang, rezeki untuk GR berkhidmat di negeri sendiri. Sekiranya diizinkan, GR teringin untuk menetap di kampung halaman sendiri sambil membina karier di negeri sendiri. Tapi, kita cuma merancang, Allah jua yang menentukannya.
GR bukanlah ingin menceritakan pengalaman dengan niat yang sia-sia, cuma mungkin ada sesetengah perkara dapat dijadikan pengajaran. Moral dari pengalaman GR ini adalah:-
1. Kalau nak mengenal bagaimana rasanya hidup susah dan sunyi, pergilah merantau.
2. Merantau ke tempat orang dapat membuka minda dan fikiran kita, bahawa tak ada gunanya kalau setakat jadi jaguh di gelanggang sendiri.
3. Jangan menyerah kalah, selagi mana usaha tak dikerah sehabis mungkin.
4. Apa yang kita rancangkan tak semestinya terbaik untuk kita, kerana sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.
Sekian sahaja perkongsian tak seberapa ini. Harap bermanfaat pada semua.
p/s: gedungrasa.com bakal menyusul, insyaAllah =)
3 comments:
mesti best kan dapat merantau di negeri org? org pun teringin juga nak merantau tapi bila apply xdpt yg jauh2.. tang dekat tu juga dpt, masih lagi belum berpeluang & rasa untuk menimba pengalaman merantau di negeri org, insyaAllah satu hari nanti bila dah berkahwin dan ikut suami, eh? HAHA
selamat bekerja! semoga terus berjaya :)
semoga berjaya yer......
do visit n follow mine ok
http://myaleo.blogspot.com/2012/07/orang-kata-kami-kembar.html
Post a Comment