commercial break

04 December 2014

Tempat-tempat beriadah di Johor Bahru bahagian 1

Assalamualaikum.

Hai semua. Kali ni GR nak berkongsi sedikit tempat-tempat yang boleh dikatakan sesuai untuk melepak ataupun beriadah di waktu hujung minggu di Johor Bahru. Memandangkan sudah hampir 3 tahun GR bekerja di sini, jadi GR dengan suka hati nak berkongsi tempat-tempat yang anda boleh singgah sekiranya berada di Johor Bahru. Mana tahu, ada yang tercari-cari tempat untuk dikunjungi namun tak tahu kan.

1) DANGA BAY

Danga Bay merupakan tempat yang tidak asing lagi di Johor Bahru. Dahulu ianya merupakan pusat tumpuan bagi pengunjung samada dari Johor sendiri ataupun dari luar. Namun, kewujudan tempat-tempat baru di kawasan sekitar dan juga pembangunan dan penambakan laut menyebabkan Danga Bay sedikit terjejas. Tetapi, anda semua masih boleh mengunjungi tempat ini untuk menghilangkan stress dan mengambil angin. 

Bagi GR, waktu paling sesuai untuk mengunjungi Danga Bay adalah pada waktu malam di mana terdapat permainan-permainan dan juga karnival di kawasan tersebut. Kawasan tersebut juga meriah dan anda boleh menyaksikan gelagat orang ramai yang berkunjung. Jika anda datang ke Johor Bahru untuk melawat keluarga, anda boleh berkunjung ke sini.


Funfair. Boleh cuba nasib

Tak tahu apa namanya ni

Yang ni paling mencabar di sini

2) BAZAR KARAT

Tempat kedua adalah Bazar Karat. Bagi mereka yang ingin membeli barang secara lambak dan dalam keadaan santai, bolehlah berkunjung ke sini. Sekali-sekala ada juga persembahan jalanan ataupun busking yang menghiburkan pengunjung. Bagi GR, tempat ini lebih santai berbanding Uptown Pandan yang berada dalam ruang tertutup dan agak melemaskan Anda juga boleh membeli kraftangan di sini.




3)BUKIT LAYANG-LAYANG PASIR GUDANG

Lokasi ketiga agak jauh dari kawasan bandar iaitu Bukit Layang-Layang di Pasir Gudang. Perjalanan dari Pusat Bandar ke sini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kawasan ini sesuai untuk mereka yang ingin beriadah dan bersenam pada waktu siang (lebih sesuai pada waktu petang). Tempat ini juga sesuai untuk kanak-kanak bermain bersama ibu bapa malah terdapat ramai orang yang bermain layang-layang di sini. 

Di sini juga ada sebuah muzium layang-layang yang menceritakan asal-usul layang dan kisah layang-layang di seluruh dunia. Setahun sekali, Bukit Layang-Layang ini juga akan menjadi tumpuan untuk Karnival Layang-Layang Sedunia. Jika anda berkesempatan, boleh cuba untuk hadir ketika festival itu berlangsung nanti.Jom tengok gambar-gambar di sekitar kawasan Bukit Layang-Layang pula.


Kawasan hijau dan menyegarkan untuk berjoging

Ada juga taman permainan untuk kanak-kanak beriadah

Pemandangan matahari terbenam yang indah di kawasan tasik

Muzium layang-layang




Sekian sahaja untuk kali ini. InsyaAllah untuk bahagian dua akan ada sambungannya. 

notakakikiri:- masih lagi tercari-cari tempat lain untuk disinggahi. ada cadangan?

02 December 2014

Tasik Biru Johor

Assalamualaikum.

Kali ini GR nak berkongsi sedikit info mengenai salah satu tempat yang sedang viral media sosial iaitu Tasik Biru di Johor. 

Tasik Biru Johor
GR pun sebenarnya baru tahu kewujudan tasik ini baru-baru ini apabila ternampak post di facebook. Tasik ini terletak di Seri Alam, Johor berhadapan dengan Unikl. Menurut info yang GR terima, tasik ini sebenarnya bekas kawasan kuari yang ditutup kerana berlakunya tragedi letupan yang mengorbankan nyawa seorang pekerja pada tahun 2013. Mungkin kerana kawasan ini dibiarkan tanpa ada apa-apa aktiviti, maka terhasilnya tasik ini.

Kawasan larangan sebenarnya
Awas, bagi sesiapa yang ingin pergi ke  kawasan ini, anda harus menanggung risikonya sendiri kerana ianya adalah kawasan larangan. GR tak tahu berapa lama kawasan ini akan dibiarkan tanpa pengawasan, namun sebaiknya anda berjaga-jaga dan faham akan risiko berkunjung ke tempat ini.

Trek mendaki yang agak curam
Untuk sampai di kawasan atas, anda perlu melakukan sedikit pendakian yang bagi GR agak curam kawasannya. Sila berhati-hati dan pakai pakaian yang sesuai. Kalau pakai dress ataupun skirt, mungkin sukar bagi anda semua untuk naik ke atas.

Kawasan tinggi dan berbahaya


Kawasan di atas juga berbahaya bagi kanak-kanak dan seeloknya pantau sebaik mungkin sekiranya anda membawa anak-anak kecil. Ketinggiannya GR anggarkan dalam 70 meter untuk ke bawah tanpa ada sedikit halangan pun. Jadi sila berjaga-jaga. Apa pun, tempat ini memang cantik dan sesuai untuk mengambil gambar.Sekian saja sedikit perkongsian dari GR untuk kali ini.

notakakikiri:- Penat juga nak daki sebenarnya, huhuhu.

11 November 2014

Kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lepas GR ada terbaca satu artikel dari blog yang GR sudah lupa namanya mengenai betapa murahnya jika kita membina rumah sendiri berbanding jika kita membeli rumah daripada pemaju. Jadi malam ini GR terfikir untuk menaip entri berkenaan dengan isu ini samada ianya benar ataupun tidak dan juga kelebihan dan kekurangannya. Sebelum anda memulakan pembacaan, ingin GR ingatkan dahulu bahawa apa yang diberitahu bukanlah 100% fakta, tetapi hanya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman GR sendiri yang bekerja di bidang pembinaan sebagai jurutera tapak (site engineer).

sumber google

Memang benar sekiranya kita membina rumah sendiri, banyak kos dapat dijimatkan berbanding membeli rumah sedia siap daripada pemaju SEKIRANYA anda mempunyai pengetahuan mengenai pembinaan (construction) dan juga prosedur untuk melakukan pembinaan serta MEMPUNYAI TANAH SENDIRI. Sebelum GR senaraikan serba sedikit mengenai kelebihan dan kekurangan membina rumah sendiri, GR akan terangkan mengenai prosedur utama dalam membina rumah.

Seterusnya kita perlu mempunyai kebenaran untuk membina yang diakui oleh majlis perbandaran. Kita ketepikan kes-kes membina rumah di kawasan luar bandar kerana kebanyakannya tidak tertakluk dengan pihak majlis perbandaran. Kita fokus kepada kes-kes untuk membina rumah di kawasan yang tertakluk di bawah kawasan majlis perbandaran. Untuk mendapatkan kebenaran, kita harus mempunyai pelan pembinaan yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Jadi, untuk itu arkitek dan juga perunding (consultant) perlu dilantik. Perlantikan arkitek adalah untuk mendapatkan rekaan asas rumah anda berdasarkan konsep yang anda pilih. Untuk perunding pula, ianya ada beberapa bahagian iaitu perunding struktur, mekanikal dan elektrikal, juga perunding juruukur bahan (Quantity surveyor). 

Sesetengah kes sekiranya inginkan hiasan dalaman yang cantik, pemilik perlu untuk melantik perunding hiasan dalaman (interior designer). Pemilik perlu mengambil kira bajet untuk melantik mereka. Perlu diingatkan, peringkat ini merupakan salah satu peringkat yang kritikal dalam menentukan kos pembinaan rumah anda. Adalah penting untuk memastikan semua rekaan mematuhi bajet yang anda tetapkan terutamanya untuk bahagian hiasan dalaman. Untuk hiasan dalaman anda seharusnya tahu untuk mengawal mereka daripada mengeluarkan rekaan yang berlebihan (excessive design) yang mana kadangkala boleh membuatkan anda menggeleng kepala.

sumber google
Sekiranya peringkat awal sudah selesai, peringkat kritikal yang seterusnya adalah ketika memilih kontraktor untuk membina rumah anda. Pemilihan ini adalah penting untuk memastikan kontraktor yang anda pilih berpengalaman dalam membina rumah berkualiti dengan harga yang mematuhi bajet anda dan juga tempoh pembinaan (construction period). Peringkat terakhir sekiranya pembinaan sudah selesai adalah anda harus menunggu kebenaran menduduki yang diakui oleh pihak majlis perbandaran. Perkara ini akan diselesaikan oleh arkitek dan juga perunding-perunding yang anda lantik. Sekiranya selesai, anda sudah boleh menduduki rumah yang anda sendiri bina, mengikut kemampuan.

Jadi, jika anda sudah faham mengenai prosedur utama yang GR nyatakan di atas, sekarang anda mungkin sudah tahu apa kelebihan dan kekurangannya sekiranya kita membina rumah sendiri berbanding membeli daripada pemaju.

Kelebihan membina rumah sendiri:-
  1. Bajet pembinaan dikawal oleh anda sendiri bergantung kepada kemampuan
  2. Segala keuntungan yang mampu diambil oleh pemaju menjadi milik anda
  3. Anda bebas menentukan konsep dan rekaan rumah yang anda mahu
Kekurangan membina rumah sendiri:-
  1. Anda wajib memiliki tanah sendiri terlebih dahulu dan ini selalunya menjadi halangan bagi mereka yang ingin membina rumah sendiri
  2. Anda harus mempunyai pengetahuan mengenai bidang pembinaan walaupun serba sedikit.
  3. Pemilihan arkitek, perunding dan kontraktor adalah kritikal dalam menentukan kekemasan rumah anda, terutamanya dalam memilih kontraktor binaan.
  4. Anda terlibat dalam risiko pertambahan kos sekiranya tidak mampu untuk mengawal keinginan dalam mereka terutamanya hiasan dalaman.
  5. Sekiranya pembinaan terhenti akibat masalah kontraktor (lari, bankrup atau sebaliknya), kos kerugian akan ditanggung oleh anda sendiri.
Jadi, itu sahaja yang dapat GR ceritakan berdasarkan pengalaman yang ada. Semoga mampu membantu sesiapa yang memerlukan.

nota kaki kiri:- GR pun teringin nak bina rumah sendiri, insyaAllah kalau ada rezeki.

10 November 2014

Review Filem Interstellar

Assalamualaikum

Hai. Lamanya tak menulis entri dalam blog ni. Kali ni GR nak menulis review mengenai filem Interstellar yang bermula tayangannya pada 6 November 2014.



Interstellar merupakan sebuah filem arahan Christoper Nolan yang sebelum ini telah mengarah filem yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio iaitu Inception. Interstellar adalah sebuah filem yang bergenrekan Sains Fiksyen (Sci-Fi). FIlem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Matthew McConaughey dan Anne Hathaway.

Ianya mengisahkan kehidupan Cooper (Matthew McConaughey) yang merupakan seorang bekas juruterbang Nasa yang sudah bersara daripada kerjayanya dan hidup bersama dua orang anaknya iaitu Tom dan Murphy berserta ayahnya Donald. Plot utama filem ini adalah mengenai keadaan di bumi yang sudah mengalami fasa kritikal apabila ruang atmosfera semakin berkurang dengan lapisan oksigen dan dipenuhi dengan nitrogen sebanyak 80%. Keadaan di bumi amat kritikal pada waktu itu dan bekalan makanan semakin berkurang di mana hanya tanaman jagung sahaja yang mampu hidup dan menjadi makanan asasi.

Pengembaraan Cooper bermula apabila secara tidak sengajanya dia dan anak perempuannya Murphy menemui pengkalan NASA selepas berlakunya ribut debu yang pertama. Bermula dari itu Cooper bertemu dengan Dr Brand (Anne Hathaway) dan kembali berkhidmat kepada NASA sebagai angkasawan untuk memulakan pengembaraannya untuk mencari planet di galaksi lain yang berkemungkinan sesuai untuk menjadi tempat tinggal kedua bagi menggantikan bumi. Saksikan pengembaraan hebat Cooper dan Dr Brand di angkasa lepas dalam misi menjejaki planet lain untuk kesinambungan hidup spesis manusia.

Secara keseluruhannya, GR amat berpuas hati dengan penceritaan filem ini yang mampu untuk membuka mata penonton untuk kembali berimaginasi mengenai angkasa lepas. Filem ini menghidupkan semula keinginan GR untuk membaca dan menonton dokumentari mengenai sistem solar kita dan galaksi-galaksi lain. Perjalanan cerita tersusun dengan baik dari permulaan filem sehingga ke penghujung cerita. Grafik filem ini juga memuaskan hati para penonton. Pengakhiran cerita ini mungkin nampak tipikal, namun diselitkan dengan jalan cerita yang tak disangka dan mungkin tersasar dari prinsip sains. 

Filem ini berbeza dengan filem sains fiksyen yang lain kerana ianya bukanlah semata-mata tertumpu kepada kisah fiksyen sebaliknya berasaskan fakta sains astronomi dan fizik yang baik. Bagi peminat-peminat wayang yang ingin mencari kelainan, GR sarankan untuk tonton filem ini dan anda pasti akan berpuas hati.

nota kaki kiri:- GR mampu untuk katakan filem ini layak mendapat 4/5 bintang

*******

29 January 2014

Hobi baru untuk orang bujang

Assalamualaikum.

Nostalgik rasanya bila menaip entri dalam blog ni. Mana taknya dah lama tak ada entri baru. Jangan katakan bersawang, kalau tikus boleh bersarang entah dah berapa keturunan, hehe. Entah ada atau tak orang yang baca entri ni nanti.

Jadi, tak ada apa sangat pun nak diceritakan. Biasalah karier dalam bidang pembinaan sibuknya dan tekanan tu lain macam. Nak taip entri baru pun tak mampu. Cuma baru-baru ni GR cuba luangkan masa untuk kembali mempunyai hobi. Kalau tidak rasa macam hidup ni sama setiap hari, langsung tak ada apa yang menarik, huhu.

Jadi, sekarang harapan GR nak konsisten dengan hobi yang baru dapat terlaksana walaupun dah lama teringin nak buat, huhu. Sekarang dah ada kamera sendiri, jadi senanglah. Minat untuk ambil gambar ni memang dah ada lama, cuma tak mampu nak beli kamera, hehe.

Sekarang kalau agak-agak ada masa terluang sikit, memang kameralah yang jadi peneman, sementara belum kahwin, hehe. Gambar-gambar pertama yang akan disiarkan dalam blog ni lokasinya di Pasir Gudang. Mula-mulanya ingatkan Taman Tasik Pasir Gudang, tapi bila dah google balik macam tak sama je. Tak tahulah ini tasik apa namanya, yang penting kawasan Pasir Gudang jugak, haha.





Oklah, kawasan ni cantik dan selesa jugaklah untuk berjoging atau beriadah. Ada juga yang memancing. Memang kena dengan selera GR lah tempat-tempat tenang macam ni. Agenda seterusnya di lain hari, nak ke kawasan rekreasi Muzium Layang-Layang pulak. Berhadapan dengan kawasan ni aje sebenarnya, tapi tak sempat nak singgah tadi. Ok semoga bertemu lagi di lain entri. Harap dah ada kamera ni bolehlah nak curahkan bakti kat blog ni, kasihan dia, hehe.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails