commercial break

19 July 2012

Sahabat Sang Anjing

Assalamualaikum

Apa khabar? Harap sejahtera semua. Hari ni, GR terlihat satu peristiwa yang buatkan GR terharu dan terfikir mengenai nilai persahabatan GR selama ni. Apa yang GR lihat?


GR terlihat 2 ekor anjing yang berjalan bersama. Apa yang lainnya pada anjing 2 ekor ini? Seekor tempang, dan seekor lagi pula normal. Apa yang buat GR terharu, apabila melihat bagaimana anjing yang normal itu, tekun menanti si anjing yang tempang itu berjalan. Jalannya perlahan, seperti menunggu anjing yang tempang tersebut. Pada waktu itu, tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan GR melihat mereka. Sejenak, teringat rakan-rakan GR.

'Dog is man best friend'

Ayat ini sering GR dengar dan baca, tak kira di dalam buku mahupun di dalam filem-filem. Agaknya, benarlah anjing itu sifatnya setia. Sebab itu, banyak anjing yang dibela menjadi pengawal kepada tuan mereka.

Bagaimana pula anda semua? Ada rakan-rakan yang berkongsi susah dan senang bersama? Saat ini, siapa yang bermain di fikiran? 

p/s: entri pendek, saja nak kemaskini entri. tengok url blog sikit, hihi.

16 July 2012

Derma darah: Kelebihan dan syarat-syaratnya

Assalamualaikum.

Kita sering mendengar bahawa menderma darah akan menyebabkan seseorang menjadi gemuk, berkemungkinan untuk mendapat penyakit HIV dan juga ada yang takut darahnya tak cukup apabila menderma darah. Jadi, hari ini GR nak senaraikan sedikit kelebihan menderma darah dan juga syarat-syarat bagi penderma darah.


Kelebihan menderma darah:-

1. Meransang tubuh badan untuk menghasilkan banyak sel-sel darah yang baru. Secara tidak langsung, menyihatkan tubuh badan memandangkan sel-sel darah baru berkeupayaan membawa oksigen dengan lebih berkesan.

2. Kecekapan badan menggunakan zat besi dalam badan akan meningkat kerana ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang baru. Proses ini membantu mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelakkan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang boleh menyebabkan sakit jantung.

3Secara purata tahap zat besi dalam badan seseorang lelaki ialah kira-kira 1,000 miligram tetapi pada wanita (sebelum menopaus atau putus haid) hanyalah 300 miligram saja. Pengeluaran zat besi pada wanita berlaku ketika haid dan inilah sebabnya wanita muda terlindung daripada sakit jantung. Risiko sakit sama dengan lelaki apabila wanita menopaus kerana zat besi mula terkumpul banyak dalam badan mereka.

4. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).

Itu adalah antara kebaikan-kebaikan menderma darah. Jadi, mari lihat apa pula syarat-syarat yang diperlukan untuk melayakkan anda menderma darah.

Syarat-syarat untuk menderma darah:-

1. Berumur 18-60 tahun dan mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram.

2. Tahap Haemoglobin melebihi 12.5 peratus.

3. Tiada penyakit kronik.

4. Tidak mengambil preskripsi atau ubat-ubatan seperti aspirin, pain killer dan sebagainya.

5. Tidur yang mencukupi, 5 jam atau lebih.

6. Sudah makan dan minum yang mencukupi sebelum menderma darah.

Itu saja rasanya senarai yang dapat GR beri kali ini. Seruan GR untuk semua, janganlah takut untuk menderma darah. Anda mampu membantu untuk menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan darah. Bayangkan, kalau keluarga anda sendiri yang mengalami kekurangan darah, dan anda tidak mampu untuk menderma, bagaimana perasaannya? Setiap titis darah yang anda derma tu, amat berharga. Hihi, jadi dermalah darah anda kepada yang memerlukan. Tapi pastikan anda makan dan minum secukupnya sebelum menderma darah, kalau tak jadi seperti GR yang hampir pitam selepas menderma. Nak kata tak makan, baru selesai makan tengahari, tapi mungkin kerana makan tak mencukupi, hampir pitam jadinya. Jatuh saham depan jururawat-jururawat cantik tu, hihi.

Sumber rujukan:-


03 July 2012

Fanatik

Assalamualaikum.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau merunsingkan kepala.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau menyempitkan minda.

Fanatik.
Aku benci fanatik.
Fanatik melampau mata hatinya buta.

Fanatik.
Nyah kau fanatik.
Jangan berbicara dengan aku kalau kau fanatik.

Fanatik.
Nyah kau fanatik.
Jangan bawa ideologi fanatik kau ke sini.

Aku bukan tak ambil tahu.
Aku bukan tak ambil kisah.
Aku bukan tak peka.

Aku juga tahu mana salah.
Aku juga tahu mana benar.
Tapi aku juga tahu tak ada yang sempurna.

Fanatik.
Sekali lagi aku ingatkan.
Jangan bawa ideologi fanatikmu kepada aku.

Sejujurnya, 100% aku benci.
Aku benci sikap fanatik.


p/s: aku tak benci justin bieber, aku cuma benci fanatik justin bieber

02 July 2012

Coretan untuk semua

Assalamualaikum.

Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Namun, apalah erti pemandangan yang luas, kalau fikiran tak terbuka?

Berpeluang untuk merantau di negeri orang semenjak tahun 2006, banyak memberi peluang kepada GR untuk mempelajari bagaimana sebenarnya erti kehidupan. Apa yang paling ketara adalah, keluarga lebih kuat menjelma di dalam ingatan. Benarlah, apabila di depan mata, kita selalu abaikan. Apabila sudah berjauhan pula, baru nak rindu-rinduan.

Walaupun mungkin 2006 hingga 2012 itu hanyalah tempoh yang sementara, jika dibandingkan dengan mereka yang merantau lebih jauh seperti ke luar negara, namun ianya tetap memberi kesan yang mendalam terhadap mentaliti dan persepsi GR kepada makna hidup.

Berpeluang untuk mengenali budaya dan lenggok bahasa di tempat yang asing bagi kita, berpeluang untuk bertemu dengan rakan-rakan yang berasal dari latar belakang yang pelbagai, dan juga berpeluang untuk merentas sempadan negeri ke utara Malaysia, merupakan titik mula yang membawa perubahan di dalam kehidupan GR sekarang.

Tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di UiTM Arau, Perlis membuka langkah GR untuk merantau di negeri orang. Tempoh 3 tahun yang dilalui dipenuhi dengan suka dan duka, tangis dan tawa, susah dan senang, dan pelbagai pengalaman yang tidak tergambar dek kata-kata. Dalam 3 tahun itu jugalah, GR mengenali rakan-rakan yang tiada galang gantinya.

di sini segalanya bermula

Tamat pengajian peringkat diploma, GR menyambung pengajian di peringkat ijazah pula. Kali ini lokasinya lebih dekat dengan kampung halaman, iaitu di Selangor. 2 tahun setengah tempoh pengajian, kali ini lebih 'tough' cabarannya. Sebenarnya bukan mudah untuk mengharungi pengajian di peringkat ijazah kalau tak kental semangat. 2009 sehinggalah Februari 2012, merupakan tempoh yang mencipta sejarah suka dan duka dalam hidup GR.

Pada peringkat ijazah, GR mengenal ertinya bangun dari kegagalan. Bangkit dari kejatuhan semangat. Terus terang GR katakan, hampir saja GR berputus asa di semester akhir pengajian gara-gara projek yang amat mencabar. Mencabar bukan kerana apa, cuma kerana pelbagai dugaan yang menimpa dalam proses untuk menyiapkan projek tersebut. Alhamdulillah, tuhan masih memberikan kekuatan kepada GR untuk bersabar. Sudahnya, GR sekarang sudah bergelar graduan secara rasmi setelah selesai konvokesyen pada bulan Mei yang lepas.

sekali kamu mengalah, seumur hidup kamu menyesal

Kini, GR sedang berusaha untuk membina kerjaya di dalam bidang kejuruteraan. 4 bulan sudah berlalu sejak GR menceburkan diri di dalam bidang pembinaan, dan hari ini 2/7/12, GR telah menerima tawaran sebagai pekerja tetap. InsyaAllah, GR tidak akan sia-siakan peluang yang ada untuk mempelajari lebih mendalam di dalam bidang ini. Mungkin bukan sekarang, rezeki untuk GR berkhidmat di negeri sendiri. Sekiranya diizinkan, GR teringin untuk menetap di kampung halaman sendiri sambil membina karier di negeri sendiri. Tapi, kita cuma merancang, Allah jua yang menentukannya. 

GR bukanlah ingin menceritakan pengalaman dengan niat yang sia-sia, cuma mungkin ada sesetengah perkara dapat dijadikan pengajaran. Moral dari pengalaman GR ini adalah:-

1. Kalau nak mengenal bagaimana rasanya hidup susah dan sunyi, pergilah merantau.
2. Merantau ke tempat orang dapat membuka minda dan fikiran kita, bahawa tak ada gunanya kalau setakat jadi jaguh di gelanggang sendiri.
3. Jangan menyerah kalah, selagi mana usaha tak dikerah sehabis mungkin.
4. Apa yang kita rancangkan tak semestinya terbaik untuk kita, kerana sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.

Sekian sahaja perkongsian tak seberapa ini. Harap bermanfaat pada semua.

p/s: gedungrasa.com bakal menyusul, insyaAllah =)

17 June 2012

Ibadah di Facebook

Assalamualaikum

Semua orang tahu apa itu 'facebook'.
Sekarang ini siapa yang tak kenal 'facebook' dikatakan ketinggalan zaman.
Hebatnya penangan 'facebook' sehingga boleh menyebabkan perceraian, menyebabkan pembunuhan, menjalinkan hubungan dan bermacam-macam lagi.

Sekarang ni ramai yang berebut-rebut untuk beribadah di 'facebook'.
Menaip status-status yang berunsur dakwah.
Menyebarkan ayat-ayat Al-Quran.
Menyebarkan video-video berunsurkan islam sekaligus berdakwah.
Tapi antara yang paling banyak disebarkan adalah kisah-kisah pelik yang mempunyai daya tarikan dan 'like' beserta 'share' yang tinggi.

Kisah itu dan ini.
Kisah yang ajaib.
Kisah yang sedih.
Kisah menginsafkan.
Kisah dan seribu kisahnya.

Tahukah kita sejauh mana kesahihannya?
Tahukah kita kebenarannya?

Apa yang paling menarik, 'trend' untuk 'share' gambar.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan Islam.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan Allah.
'Like' gambar ini jika anda sayangkan keluarga.
"Like' gambar ini jika anda sayangkan GR (ok ini propa)

Kalau tak 'like' adakah GR tak sayangkan semua di atas?
Fikirkan sendiri.

15 June 2012

Roda hidup

Assalamualaikum.

Hidup ini ibarat roda, kadang di atas, kadang di bawah.
Hidup ini ibarat roda, kadang keras di jalanraya, kadang pancit tak bermaya.
Hidup ini ibarat roda, bunga masih ada, masih ada harganya, bila hilang bunganya, tukun tiruanlah tempatnya.

Roda kehidupan, kadang kita berjaya, kadang kita gagal.
Roda kehidupan, kadang kita bersemangat waja, kadang pula putus asa tak semena.
Roda kehidupan, sewaktu berguna, kudrat dikerah, sewaktu tiba tempohnya, mula dilupa.

Roda kehidupan itu memang tak pernah dijangka. Perkara yang tak terjangka itu akan selalu muncul. Bersedia untuk hidup, bermakna bersedia untuk menempuh ujian kehidupan. Selamat berusaha menempuh hidup yang pelik-pelik belaka.

19 March 2012

Posmen Ke Syurga? Apa itu?

Assalamualaikum.


Hai, bersama GR kembali. Nada frekuensi penulisan GR nampaknya semakin kurang jelas dari hari ke hari. Almaklumlah, orang dah berkerjaya. Baru tahu bagaimana sibuknya mencari rezeki untuk sesuap nasi. Ayat sangat klise bukan?

Ok, tujuan entri kali ini adalah untuk memperkenalkan kepada sesiapa yang membaca blog ini tentang kewujudan sebuah blog baru dengan genre unik dan berbeza. Tak tahulah samada GR ini buta dunia internet atau tidak, tetapi GR belum pernah jumpa blog yang bergenre sebegini. Blog ini mengandungi surat-surat hasil penulisan 10 orang penulis. 9 daripada penulis-penulis tersebut adalah hebat dan mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Seorang lagi penulis yang berbekalkan subjek penulisan peringkat sekolah rendah sehingga darjah 6 dahulu, iaitu GR sendiri, hehe.

Apa yang menarik mengenai blog ini, semua penulisan merupakan surat yang ditulis khas kepada penerima-penerima yang tertentu. Anda sebagai pembaca juga boleh mengirimkan surat anda kepada kami, untuk disiarkan. Mungkin ada di antara anda yang mahukan surat yang selama ini tersimpan, dibaca oleh orang lain bukan? Inilah caranya. Anda boleh melawat blog ini di http://posmankesyurga.blogspot.com/.

Nak cerita lebih lanjut pun tak guna, tembak pun tak kena. Apa kata anda lihat sendiri di dalam blog ini, apa yang ada. Mampukah juadah yang tersedia memuaskan selera anda semua? 

nota kaki kiri: blog ini baru bertapak, jadi masih belum punya identiti yang konsisten. teruskan memberi sokongan, kami akan menyediakan yang terbaik untuk anda semua =)

04 March 2012

180 darjah putaran

Tanggal disember 1988, seorang budak lelaki dilahirkan ke dunia. 

Setelah 6 tahun membesar penuh suka duka kenakalan dan kisah tersendiri, tahun 1995 budak lelaki ini memasuki alam persekolahan. Banyak kejadian sedih dan gembira yang dia lalui, ramai kawan-kawan yang dia kenali.

6 tahun berlalu, dia kini memasuki alam sekolah menengah. Buat pertama kalinya dia dihantar masuk ke asrama, terasa hiba pada awalnya. Namun dek kerana kawan-kawan yang ramai, hilang rasa itu menjadi kebiasaan.

Selepas 3 tahun, dia berpindah ke sekolah lain pula. Jarak dari asrama ke rumah bertambah, namun dia tidak gundah. Hidup di asrama sudah menjadi permainannya pula. 

Tahun 2006, dia sudah menamatkan sesi persekolahannya. Kini dia mencuba untuk bekerja, sementara menanti keputusan spmnya. Ya, dia sudah merasa pelbagai jenis pekerjaan. Mula bekerja ketika tingkatan 3 lagi. 

Selepas keputusan spmnya diumumkan, dia membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya. Nah, diploma kejuruteraan selama 3 tahun. Masa bukan masalahnya, tetapi jaraknya, nah nun di hujung utara malaysia. Utara ke selatan menjadi pemisah dia dan keluarga. Namun, dia masih tenang sahaja. Sekali sekala teringat keluarga di kampung. Namun, itu kan adatnya hidup berjauhan?

Tamat pengajian di peringkat diploma, dia berhasrat pula untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah, sementara semangat untuk belajar masih kuat. Maka, tempoh pengajian bertambah lagi selama 2 tahun setengah. Namun, jarak kali ini lebih dekat berbanding dahulu. 

Sekarang, setelah lebih kurang sebulan memburu pekerjaan, dia ditawarkan bekerja di bandaraya besar Johor Bahru. Mimpinya untuk menjadi seorang jurutera sudah hampir terlaksana. Misinya kali ini adalah belajar lebih mendalam mengenai selok belok dunia kejuruteraan.

Ya! Ini adalah kisah hidup GR secara ringkasnya. Sudah tertulis takdir GR untuk terus merantau ke negeri orang. GR sudah diterima untuk bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat kontraktor. Doakan GR agar berjaya mengharungi semuanya dengan baik ya! Sayang anda semua yang membaca =P

InsyaAllah jika ada rezekinya, GR ingin kembali berbakti di negeri sendiri satu hari nanti (alasan orang 'homesick', haha).

Lebih sibuk selepas ini. Bilakah blog ini akan aktif kembali? Mungkin tidak, emm.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails