commercial break

26 July 2011

Senang Ke Nak Kahwin?

Assalamualaikum, selamat pagi. Entri awal pagi kali ni. Dah lama rasanya tak menaip waktu pagi macam ni, sebab sibuk dengan kerja.

Dulu GR pernah ceritakan mengenai seronoknya berkahwin. Sekarang pun GR nak cerita sedikit mengenai perkahwinan, sambil nak menjemput anda semua ke majlis perkahwinan GR nanti. Tarikh akan diberitahu pada akhir entri nanti ya.

Berkahwin, memang seronok. Tanyalah siapa pun, rata-ratanya akan menjawab ya, jika ada yang bertanya samada ingin berkahwin atau tidak. Malah kita biasa dengar ayat macam ni:

"Janganlah weh, aku belum kahwin lagi"

Ya, berkahwin memang seronok. Siapa yang tak mahu berkahwin? Bagi lelaki, apa yang paling diinginkan adalah kehidupan yang baik, dijaga oleh seorang isteri solehah. Balik kerja isteri sambut, makan isteri hidangkan, kalau letih isteri tolong urutkan badan, kalau sakit isteri tolong jagakan, dan macam-macam lagilah. Eh, terkeluar cerita impian sendiri pula, hehe.

Bagi perempuan pula, mahukan seorang suami yang bertanggungjawab. Belai isteri sebaiknya, penuhi permintaan isteri, mungkin belikan rantai emas, melindungi isteri bila dalam bahaya, dan banyak lagi. GR tak tahu sebab GR bukan perempuan, huhu.

Seronok kan? Bila diceritakan perkahwinan yang bahagia, tengoklah cerita-cerita romantis kat television pasti mendapat sambutan. Itu buktinya bahawa majoriti kita memang inginkan sebuah perkahwinan yang bahagia. Tapi, hakikatnya perkahwinan memerlukan persediaan yang rapi.

Bagi seorang suami, dia perlu bersedia untuk menerima tanggungan, bersedia untuk menjadi imam kepada keluarga dan perlu melengkapkan diri untuk menjadi pembimbing. Lelaki perlu bersedia untuk bertanggungjawab menjadi seorang ketua keluarga. Perlu belajar untuk membuat keputusan penting. Perlu bersedia untuk menjadi pelindung, dan semestinya perlu bersedia untuk mendidik isteri dan anak-anak.

Lelaki perlu bersedia untuk membahagikan kepentingan. Maklumlah, lelaki bertanggungjawab kepada keluarganya dan isterinya. Tugas sebagai seorang anak tak boleh dilupakan, malah tugas sebagai seorang suami juga harus ditunaikan. Hanyut atau tidak sesebuah keluarga itu, semuanya berdasarkan kepimpinan seorang suami itu sendiri. Tanggungjawab menjadi bebanan sebagai seorang suami, anak, dan bapa.

Bagi seorang isteri, dia perlu bersedia untuk menjadi tanggungan. Maksudnya di sini, dia perlu bersedia untuk patuh dengan seorang suami. Perlu bersedia untuk dikongkong kehidupannya. Perlu bersedia untuk menjadi seorang peneman, seorang pelayan (melayan suami dengan cara yang diharuskan), menjadi tukang masak, dan menjadi pekerja yang berdedikasi. Maksudnya di sini, sebagai seorang ibu yang saban hari bekerja menjaga isi rumahnya. Ya lah, mengemas rumah, memasak, menjaga anak-anak dan macam-macam lagi. Bukankah ianya juga satu pekerjaan?

Apa yang penting, si isteri juga sepatutnya bersedia untuk menjaga maruah keluarganya. Jangan diceritakan kepada sesiapa pun mengenai masalah dalaman keluarganya, hatta kepada ibu bapa sendiri. Seharusnya perkara itu mesti dibincangkan dengan suami dahulu. Keizinan seorang suami juga adalah penting bagi seorang isteri dalam melakukan sesuatu. Banyakkan tugas seorang isteri? Sebab itu dijanjikan syurga bagi wanita yang berjaya menjadi seorang muslimah, ibu dan juga isteri yang baik.

Jadi kalau kita lihat di sini, perkahwinan bukannya berdasarkan keseronokan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab menjadi tunjang kebahagiaan. Sebab itulah pentingnya untuk kita benar-benar bersedia sebelum melaksanakan perkahwinan. Jangan nanti sudah berkahwin beberapa tahun, sudah mula bosan dengan keluarga. Sebab itu banyak kes-kes perceraian yang kita lihat sekarang ini. 

Jadi berusahalah kita untuk mendapatkan sebuah perkahwinan yang mengikut garis panduan islam. Tak perlu perkahwinan yang terlalu membazir, buat majlis sana sini, belanja sampai tak cukup duit, semata-mata untuk majlis perkahwinan. Cukup dengan persediaan rapi untuk menjadi seorang suami dan seorang isteri yang baik. Boleh buat majlis, tapi tak perlu keterlaluan, macam perkahwinan artis, VIP dan golongan yang sewaktu dengan mereka.

Ok, sebenarnya entri ni GR buat sebab ada 2 orang rakan yang bercerita mengenai perkahwinan dengan GR malam tadi, huhu. Jadi, dapatlah idea serba sedikit untuk entri ni. Terima kasih kat mereka, walaupun pening nak melayan soalan semalam, haha.

Oh ya, untuk tarikh perkahwinan tu, GR pun tak tahu bila sebenarnya, hehe. Tunggu sajalah jodoh tiba, sambil berusaha mencari. Nanti kalau dah nak kahwin, GR jemput ya. InsyaAllah, harap-harap masa tu nanti, blog ini ada lagi, huhu. Apapun, ajal, maut, dan jodoh di tangan tuhan. Jangan kita risau tak bertemu jodoh ya, hehe.

Sekian saja untuk entri kali ini, wassalam.

nota kaki kiri: bila tengok anak-anak kecil, rasa teringin nak kahwin, hehe

*GR akan mengikuti program anak angkat selama 6 hari. Tapi disebabkan urusan-urusan lain juga, GR akan sepi dari blog selama lebih kurang 9 hari, mungkin. 

25 July 2011

Jangan Pernah Berhenti Mencintai Aku

Assalamualaikum.

"Aku tak perlu cinta-cinta ni. Tak ada istilah cinta dalam kamus hidup aku" lantang suara seorang anak muda meluahkan rasanya.

Apa itu cinta? Cinta itu terhasil daripada hubungan. Ada dua jenis hubungan yang wujud dalam dunia. Hubungan sesama makhluk, dan hubungan dengan pencipta kita yang satu, Allah S.W.T.

Seringkali kita melontarkan luahan rasa terhadap cinta sesama makhluk. Cinta kita kepada manusia khususnya. Apabila kecewa, terus sahaja meluat dengan cinta. Muncul juga kata-kata, aku tak percaya cinta, no more love, dan sebagainya. 

Mati kerana kecewa dengan cinta, berikrar sehidup semati atas dasar cinta, dan berubah atas dasar cinta sesama kita, manusia. Perkara ini adalah lumrah yang sering kita lihat. Lihat saja betapa banyak kes bunuh diri akibat cinta tak diterima, kes bunuh kerana cemburu dengan cinta yang tak kesampaian, kes-kes keterlanjuran akibat terlalu cinta kononnya, dan ada juga yang berubah hala nafsunya, akibat kecewa kerana cinta, Astaghfirullah.

Hakikatnya, satu lagi cinta sering kita abaikan. Cinta kita dengan pencipta, Allah S.W.T. Kita lupa bahawa sebenarnya kita dicintai setiap hari. Tanpa cinta dariNya, kita tak akan sesekali mampu untuk hidup. Sesaat cinta dariNya hilang, kita takkan mampu lagi untuk meneruskan kehidupan yang tak kekal ini. Bayangkan, jika Allah melupakan kita, dapatkah kita bernafas? Dapatkah kita bergerak? Tak mungkin sama sekali. 

Lebih teruk lagi jika Allah tidak lagi mengambil berat mengenai kita. Maka akan terjadilah istidraj. Apa saja yang kita pinta mungkin akan diperkenankan. Kita akan senang, mewah, kaya di dunia. Tapi hakikatnya itu semua kerana kita tiada lagi dalam pemerhatianNya. Kelak, meranalah kita dalam alam kedua.

Sedih jika dikenangkan semua ini. GR sendiri takut kerana sedar, GR bukan seorang hamba yang baik. Harapan agar dapat berubah menjadi hamba yang lebih baik selepas ini, agar cinta Allah sentiasa ada terhadap GR. Juga harapannya untuk semua umat islam, keluarga, rakan-rakan, dan semua.

Sama-sama kita pelihara cinta Allah kepada kita. Allah, tolong jangan pernah berhenti mencintai aku, hambaMu yang hina ini.

Sekian, wassalam.


23 July 2011

Jangan Kau Halang Aku Berubah

Assalamualaikum
*****

"Aku ingin berubah"

"Berubah yang macam mana lagi?"

"Tentunya untuk menjadi lebih baik"

"Kau tak rasa terlalu awal untuk berubah?"

"Tidak, tiada istilah terlalu awal. Sebaliknya kita sentiasa lewat untuk berubah"

"Tapi kau masih muda. Berseronoklah sepuasnya dahulu"

"Belum tentu aku sempat tua"

"Apa pula pandangan orang bila melihat kau tiba-tiba berubah. Pasti ada yang akan berkata buruk. Menuduh kau dah berubah atas sebab-sebab tertentu"

"Kalau orang berkata, biarkan. Mereka tak tahu apa-apa, Allah lebih mengetahui"

"Kau akan hilang keseronokan yang kau rasai selama ini"

"Tapi aku takut tak seronok di alam yang satu lagi"

Bila saat hati inginkan perubahan, pasti ada saja yang akan menghalang. Syaitan, penghasut besar yang tentunya gusar jika seseorang ingin berubah menjadi lebih baik. Sering saja alasan-alasan yang dinyatakan dalam dialog di atas akan terdetik di dalam hati kita.

Sampai saat kita inginkan perubahan ke arah yang lebih baik, berusahalah untuk menjayakannya. Itu tandanya hati kita telah diberi sinar. Usah risau dengan halangan yang bakal wujud. Usah risau dengan apa yang akan terjadi esok hari, sebaliknya usahakan yang terbaik untuk hari ini. Persepsi orang lain? Ah, abaikan jika ada yang menghindarimu kerana kau menjadi lebih baik. Itu tandanya mereka bukan teman yang baik.

Bilakah saatnya kita perlu berubah? Entah, mungkin setiap saat setelah terjaga dari tidur. Berubah, berubah dan teruslah berubah. Moga perubahan itu membahagiakan kita di 'sana' kelak. Sekian, wassalam.

Lagi entri tentang perubahan di sini

nota kaki kiri: ingin berubah jadi yang lebih baik, setiap hari!

21 July 2011

Berkecil hati dengan ibu bapa

Assalamualaikum.
****

"Mak ni asyik nak salahkan orang saja. Mak tak pernah nak percayakan orang" lantang suara seorang anak muda meluahkan rasa.

Kecil hati bukan? Jika ibu atau ayah, malah mungkin kedua-duanya asyik ingin menyalahkan kita. Langsung tidak pernah mahu mempercayai anaknya sendiri. Ya, kecil hati dengan ibu bapa. Ada anak-anak yang tidak teragak-agak untuk meluahkan rasanya itu secara terang-terangan.

"Orang kecil hati dengan mak. Sampai hati mak buat macam ni"

Hai anak. Sebelum kau lantang menyuarakan rasa itu. Mari sini, sama-sama kita renungkan sejenak. Sebelum kau memulakan langkah bicara yang sebegitu, mari sini cuba kau fikirkan. 

Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak-anak mereka? Kita pinggirkan sejenak kes-kes buang anak, itu satu pengecualian. Tapi bercakap tentang hakikat, ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, jangan dikisahkan dengan teguran mereka. Jangan dikisahkan sekiranya mereka mungkin menuduh tanpa usul periksa. Mungkin kamu tidak senang kerana mereka tidak berusaha mempercayai kamu. Hakikatnya anak, ibu bapa sentiasa percayakan anak-anak mereka sedari kecil lagi.

Ketika kau kecil, ibu bapa percaya dengan kata-katamu. Ketika kau bersekolah, ibu bapa sentiasa percaya dengan setiap penceritaanmu. Malah mungkin ada antara kamu yang menipu mereka, dan tanpa pengetahuan mereka, mereka percaya dengan penipuanmu. Pernah tak kamu ponteng sekolah, sedang pada hakikatnya kamu mengatakan kamu bersekolah. Pernah tak kamu mengatakan tugasanmu sudah siap, sedang pada hakikatnya kamu langsung tidak menyiapkan?

Jadi, bagaimana yang kamu katakan mereka tidak percaya kepada kamu? Oh, mungkin kamu tidak sedar, bahawa sebenarnya kamu yang merobek kepercayaan mereka. Kamu lakukan sesuatu yang mereka tidak sama sekali suka. Kamu lakukan sesuatu yang melukakan hati mereka. Jadi bermula dari saat itu, kepercayaan mereka terhadap kamu sudah mulai pudar. Sekarang ini, siapa sebenarnya yang berkecil hati, adakah kamu ataupun mereka?

Buang rasa kecil hati dengan ibu bapamu, kerana percayalah, kadangkala kita tidak sedar bahawa terlalu banyak perkara yang membuatkan ibu bapa berkecil hati dengan kita. Pendamlah, sabarlah, dan teruskan menghormati perasaan ibu bapamu. Selagi mana teguran mereka itu betul dan tidak melawan agama kita, kunyahlah perlahan-lahan meskipun sukar untuk dihadam. Jagalah tingkah lakumu terhadap mereka.

Jika tidak, mungkin di saat ketiadaan mereka nanti baru kamu rasa menyesal. Maka, tidak ada gunanya lagi. 

Salah satu pesanan lukman Al-hakim kepada anaknya:

Wahai anakku yang ku sayangi

Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.

Sekian sahaja, wassalam.

nota kaki kiri: sungguh, ku inginkan diri ini untuk menjadi anak yang soleh.

rujukan sini



20 July 2011

#Cerpen- Jangan Kau Persoalkan



“Kau tahu, aku sampai sekarang sedih mengenangkan nasib aku. Tuhan tak adil dengan aku”

“Kenapa kau kata begitu? Jangan bercakap ikut perasaan, kelak tergadai iman”

“Entahlah, kadang-kadang aku runsing fikirkan jalan hidup aku. Kenapa terlalu banyak masalah yang aku terima? Kenapa mesti aku terima semua masalah ni, bukannya orang lain?”

“Boleh jadi kau tak menyukai sesuatu, tapi ianya perkara terbaik untuk kau?”

“Apa yang terbaiknya, kalau hati aku tak senang, jiwa aku tak tenang?”

“Kau kena ingat, percaturan tuhan itu bukan sebarang. DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNya”

“Entahlah, aku pening”

Uzair meluahkan perasaannya kepada Kamal, kawan baiknya. Dua orang remaja lelaki ini bersahabat di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan di selatan tanah air. Kedua-duanya adalah pelajar semester 6 yang menuntut dalam jurusan dan kelas yang sama. Sungguhpun latar belakang dan sikap mereka tidak sama, namun mereka bersahabat baik. Uzair, seorang yang pendiam dengan orang yang tidak rapat dengannya. Bijak dalam berkata-kata, namun kadangkala suka mengatakan sesuatu yang berlebihan. Kamal pula seorang yang ceria dan disenangi ramai. Perbezaan sikap tidak menghalang mereka untuk bersahabat baik, walaupun kadang-kadang berbeza pendapat sesama mereka.

Hari itu seperti biasa, Uzair dan Kamal ke kelas bersama-sama. Kedua-duanya menetap di kolej kediaman yang disediakan untuk pelajar. Perbualan mereka tadi berlaku ketika mereka di dalam perjalanan ke kelas. Uzair tampak runsing saja pagi itu, mengenangkan masalah di dalam sesi pengajiannya. Meskipun tidak secara terus membicarakan mengenai masalah tersebut, Uzair tetap meluahkan keresahannya kepada Kamal.

“Banyak-banyak berdoa kepada Allah. Ujian yang diturunkan ke atas hambaNya menunjukkan bahawa DIA sayangkan mereka. Cuba untuk yakin dengan perkara itu” Kamal tenang menasihati. Dia sudah masak dengan perangai Uzair yang gemar meminta pendapat kepadanya.

“Terima kasih. Aku cuba. Dah sampai kelas dah ni. Jom masuk” Uzair cuba mengelakkan dari terlihat resah di wajahnya oleh kawan-kawannya yang lain.

Kedua mereka kini berada di semester 6 pengajian, hanya menanti detik untuk menamatkan pengajian di peringkat diploma selama 3 tahun. Kursus yang diambil adalah Diploma Kejuruteraan Awam. Memandangkan mereka kini di semester akhir pengajian, semuanya kurang sibuk dengan kelas, tetapi sibuk dengan projek semester akhir.

Lain pula halnya dengan Uzair. Disebabkan dia gagal subjek di semester 4 dahulu, membuatkan dia terpaksa lewat mengambil subjek di semester 5, memandangkan subjek tersebut mempunyai pra-syarat. Jadi, subjek itu hanya dapat diambil ketika di semester 6. Ini bermakna, dia sekarang mempunyai lebihan 1 subjek berbanding rakan-rakannya yang lain. Hampir saja dia berputus asa, kerana agak sukar untuk dia menyeimbangkan masa untuk memahami teori-teori kedua-dua subjek itu, yang seharusnya digunakan untuk menyiapkan projek semester akhir.

Perkara ini juga membuatkan dia selalu berasa rendah diri, kerana tidak seperti rakan-rakannya yang lain, dia gagal dalam 2 subjek. Malahan, dia kini terkial-kial untuk menyiapkan projeknya, kerana kurang memahami subjek tersebut. Lebih teruk lagi, kadangkala dia mengeluh mengenai nasibnya, dirasakan tuhan tidak adil kepadanya.

“What are you doing Uzair? Don’t you give attention to my class? Didn’t I say earlier, you need to consider all of the loading from the roof finishes, before you can conclude your dead load value!” suasana tegang di dalam bilik pensyarah Uzair, Encik Amran.

“Sorry sir, I don’t really understand this part, but I’ll try it once again sir” Uzair menjawab perlahan.

“Remember, we are in week 5 now. You need to finish this part in this week. If not, you might not finish your project in time. I don’t think you want to extend your semester, don’t you?”

Uzair menggeleng perlahan. Sunyi seketika.

Pulang ke kolej kediaman, Uzair hanya mendiamkan diri. Rakan sebiliknya tidak ditegur langsung, sambil mukanya masam mencuka. Teguran dari Encik Amran tadi benar-benar membuatkan dia lemah.

“Sampai bila aku nak bertahan? Aku dah penat usaha, tak ada hasilnya. Mungkin aku layak gagal saja” rungut hatinya sendirian.
*****

“Macam mana dengan projek kau? Ada masalah? Aku punya ada sikit perubahan. Kena tukar saiz beam, sebab aku guna besar sangat” pertanyaan Kamal menghentikan lamunan Uzair.

“Entahlah, aku pun tak pasti dengan apa yang aku buat. Aku dah submit yang terbaru pada Encik Amran. Nasib baiklah dia terima. Dah 3 kali aku tukar nilai loading dan saiz beam aku. Penatlah aku macam ni. Masalah ujian Structure Analysis lagi, masalah projek ni lagi nak kejar masa. Entahlah, aku kadang-kadang rasa macam nak extend pun ada” 

“Sabar. Jangan mudah putus asa. Kau dah sampai semester 6. Takkan nak mengalah?”

“Entah, aku penat. Penat berusaha sedangkan hasilnya tak ada”

“Nak dengar satu kisah? Aku ni nak bercerita mengenai sahabat-sahabat nabi taklah pandai, tapi aku ada satu kisah benar yang mungkin boleh buat kau berfikir sejenak mengenai hidup kau ni” Kamal cuba memancing Uzair.

“Apa dia?”

“Aku ada tonton satu video. Mengenai seorang lelaki yang luar biasa. Nak tahu apa luar biasanya dia? Dia tidak sempurna seperti kita. Tangannya kudung sejak lahir. Tapi luar biasanya kehidupan dia ni, setiap hari dia hidup berdikari. Solat 5 waktu sehari sekali pun tak ditinggalkan. Bekerja sendiri membuat kraftangan. Bila ditanya samada dia tak bersedih dengan nasib dia, kau tahu apa jawapannya?”

“Entah?” bahu Uzair diangkat tanda tidak tahu.

“Saya tak pernah bersedih dengan nasib saya, malah saya bersyukur. Walaupun mungkin tangan saya tiada, tapi tuhan beri saya kekuatan dan akal untuk menjalani hidup saya dengan cara saya tersendiri. Ya, bagi saya, selagi saya mampu untuk hidup, tak akan sekali-kali saya mengatakan saya tidak mampu melakukan sesuatu” tersenyum Kamal menceritakannya.

“Em” hening seketika.

“Berhentilah dari berputus asa. Sedangkan orang yang tidak cukup anggota boleh berkata begitu, kenapa tidak kita?” Kamal mengakhiri nasihatnya.

“Tapi, mungkin aku tak sekuat itu. Kenapa tuhan tak beri saja aku akal yang bijak? Kenapa mesti aku seorang yang gagal? Kau pun tahu macam mana aku berusaha. Bukannya sedikit, tapi”

“Kau kena faham, lain orang lain kemampuannya. Yang penting kita kena sabar, dan yakin dengan percaturan tuhan”

“Em”

“Macam ni lah. Daripada kau selalu merungut kenapa tuhan beri kau ujian, sekali sekala kau tukar persepsi kau. Kau bangun setiap hari, kau masih bernyawa. Kenapa tak kau persoalkan, mengapa kau masih bernafas? Mengapa kau masih mampu menerima makanan? Kalau kau tak persoalkan nikmat Allah, kenapa kau harus mempersoalkan ujianNya?”

“Mungkin betul kata kau. Aku selalu merungut mengenai masalah aku. Tapi bila terima nikmat, tak pula aku persoalkan. Takkan tak boleh untuk aku diuji, selepas nikmat-nikmat yang lain aku terima? Terima kasih Mal, kau ingatkan aku tentang hal ni”

Kamal tersenyum.

Kini sudah minggu ke 8. Fasa projek semester akhir sudah memasuki fasa-fasa terakhir. Masing-masing sibuk menyiapkan mana-mana bahagian yang belum siap. Projek akhir mesti dihantar selewat-lewatnya hari Jumaat minggu ke 10. Uzair masih bertungkus lumus menyiapkan projeknya. Hasil dari usahanya, dia berjaya menyiapkan bahagian-bahagian lain mengikut masa yang dijadualkan. Mujur dia tidak putus asa dari awal. Jika tidak, pasti sukar pada minggu-minggu akhir tugasan.

Projek semester akhir memerlukan pelajar menyiapkan rekaan sebuah struktur bangunan bermula dari bahagian bumbung sehingga ke bahagian asas. Apa yang menjadi kesukaran buat Uzair adalah dia tidak memahami teori analisis sepenuhnya, kerana sewaktu membuat projek itu, dia baru mengambil subjek itu. Analisis itu adalah penting untuk mengetahui nilai beban yang akan ditampung oleh komponen struktur bangunan.

Semenjak projeknya berjalan lancar, Uzair semakin mampu untuk tersenyum riang. Meskipun dari luarannya kelihatan seperti seorang yang sombong, dia sebenarnya sangat ramah dengan rakan-rakannya. Kecoh dan bising, itulah perangainya. Cuma dengan orang yang baru dikenali, dia kurang bercakap. Ketika tertekan dengan masalah projeknya itu, dia semakin kurang bercakap dengan rakan-rakannya. Perubahannya itu menimbulkan persoalan kepada mereka, namun hanya didiamkan sahaja, takut mencampuri urusan peribadinya.

Kini sikapnya kembali berubah seperti sediakala. Perubahannya itu membuatkan rakan-rakannya senang hati, kerana tiada apa yang perlu dirisaukan oleh mereka lagi.
*****

“I want to congratulate all of you guys for your presentation. There are some of you who really grab my attention with your project. There are also some who doing just fine. But overall, I am satisfied with your project. I think you guys are ready to enter the job market outside. Congratulations!” En Amran menghabiskan ucapannya, usai semua pelajar menyudahkan pembentangan mereka.

Pembentangan projek sudah pun selesai. Kini hanya tinggal peperiksaan akhir yang harus diharungi oleh pelajar-pelajar tersebut. Peperiksaan akhir bakal menjelang seminggu saja lagi. Mereka kini hanya tinggal selangkah untuk menamatkan pengajian mereka. 

“Minggu depan dah final exam. Lepas tu kita dah habis belajar. Aku tak sangka yang aku mampu siapkan projek aku. Alhamdulillah” Uzair meluahkan rasa gembiranya. Syukur tak terhingga, itu yang dirasakannya saat ini. Tanpa disangka-sangka, dia mampu menyiapkan projek tersebut, meskipun berdepan dengan masalah pada awalnya.

“Seperti yang aku kata. Jangan berputus asa. Kalau tak, kita sendiri yang menyesal kan?” Kamal mengingatkan kembali rakannya itu mengenai pesanannya sebelum ini.

“Terima kasih Kamal. Kalau tak kerana dorongan kau, aku dah putus asa dengan projek aku. Terima kasih banyak sebab kau dah ubah persepsi dan pendirian aku”

“Kita kan kawan. Kawan harus ada waktu susah dan juga senang. Kan begitu? Mungkin hari ni aku tolong kau, esok lusa kau pula yang akan bantu aku, siapa tahu?” tenang bicara Kamal.

“Ya, terima kasih sekali lagi. Dah jom kita makan. Perut aku dah mengeluarkan alunan muzik ni” seloroh Uzair.

Sambil ketawa, mereka berlalu pergi.

“Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, aku pohon agar kau terangkan hatiku untuk menjawab soalan peperiksaan ini. Aku mencuba sekadar yang termampu, dan selebihnya aku bertawakal kepadaMu. Kau tahu apa yang terbaik untukku Ya Allah, sedang sifatMu adalah Maha Mengetahui. Apapun keputusanku nanti, aku redha, kerana apa yang terbaik untukku walaupun tidak dalam kalangan yang terbaik, ada di dalam genggamanMu” doa Uzair sebelum mula menjawab peperiksaan.

Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan. Hanya 3 sahaja subjek yang mempunyai peperiksaan bagi pelajar semester 6. Subjek terakhir peperiksaan mereka adalah Water and Wastewater Engineering

Usai peperiksaan tamat, masing-masing keluar dengan pelbagai reaksi. Uzair hanya tenang dan tersenyum. Dia langsung tidak memikirkan samada dia akan gagal atau tidak. Baginya, mencuba yang terbaik adalah cukup. Seterusnya dia harus bertawakal kepada Allah S.W.T. 

Kini, apa yang pasti, biar apapun keputusan peperiksaannya nanti, dia redha. Itulah ertinya bertawakal. Menyerahkan segalanya pada tangan Allah, selepas berusaha sedaya yang mungkin. Jangan mengharap sesuatu yang berlebihan, cukup meminta apa yang terbaik untuk diri.

*cerpen suka-suka saja. sebelum ni ada buat blog untuk menulis cerita, tapi tak mampu nak teruskan. jadi buat macam ni saja. ada idea, ada lah ceritanya nanti. hehe. nak kritik? dialu-alukan. tak serius pun dalam bidang penulisan ni. hehe. terima kasih kerana membaca =)

15 July 2011

Malaysia tidak lagi selamat

Assalamualaikum.

Ini entri pantas. Sekadar nak meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan apa yang berada di sekeliling kita sekarang. Keamanan yang kita lihat diuar-uarkan sebenarnya terbatas dari pandangan kita. Tak percaya? Lihat saja berapa banyak kes-kes bunuh yang berleluasa, kes-kes rompak, rogol dan sebagainya. Bagaimana yang dikatakan aman sekiranya jenayah-jenayah seperti ini boleh dilakukan secara terang-terangan?

"Ala, kes macam tu bukan kat semua tempat ada, tempat-tempat tertentu saja"

Bolehlah kita kata sebegitu, kerana belum ada ahli keluarga atau kenalan kita yang terkena. Cuba jika ada yang kita kenal terkena semua tu, mesti kita akan rasa kesal dan kecewa dengan keadaan sekeliling yang tak selamat kan?

Penjenayah berani melakukan semuanya secara terang-terangan, kenapa ya? Beraninya mereka meragut di tengah2 orang ramai, memukul orang lain di kawasan umum, malah perbuatan yang tengah hangat sekarang adalah menyimbah asid. Menyimbah asid seolah-olah sudah menjadi satu perbuatan popular pula, apabila ramai perempuan menjadi mangsa akibat dari simbahan asid ini.

Adakah penjenayah ini tidak takut dengan hukuman yang bakal mereka terima? Apakah faktor yang menyebabkan mereka berani untuk melakukan jenayah secara terang-terangan? Mungkinkah kerana ketidakperihatinan masyarakat, kerana sikap sambil lewa kaum perempuan dalam menjaga keselamatan mereka, ataupun ada faktor lain? Entahlah, GR sendiri risau memikirkan perkara ini.

Jadi, kepada anda semua, berhati-hatilah ketika berada di luar sana. Kalau boleh, hadkanlah pergaulan anda, untuk mengelakkan perkara yang tak diingini. Jika dah terkena kepada kita sendiri, barulah menyesal nanti, tak berguna. 

GR ingin mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada mangsa kes simbahan asid baru-baru ini di Shah Alam. Bersabar dengan dugaan itu. Terkilan sebab GR kenal dengan mereka, walaupun tak rapat. Harap mereka tabah dan semoga cepat sembuh.

Sekian saja, wassalam.

nota kaki kiri: harap dijauhi dari semua ini.

kredit kepada afifi untuk maklumat

10 July 2011

Kawal kemarahan anda

Assalamualaikum.

Marah, dimarahi dan memarahi. Biasakah kita dengan sifat ini dalam kehidupan seharian? Ya, kita semua tidak terlepas dengan sifat marah, samada kita sendiri yang memarahi, ataupun kita dimarahi dalam hidup kita seharian.   Apa yang pasti, GR hari-hari kena marah, hehe. 

Kadangkala GR takut dengan sifat pemarah, kerana ada orang yang marahnya melampau-lampau. Meninggikan suara setiap kali marah, malah lebih teruk lagi, kemarahannya itu pula selalu saja timbul. Senang cerita, asyik nak marah saja.  Ya, normal jika kita berasa marah apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini atau disukai. Tapi seharusnya rasa marah itu dikawal seelok yang mungkin, untuk mengelakkan pelbagai kesan buruk yang akan berlaku.

Cuba bayangkan jika anda dan rakan anda sedang bertelagah kerana berlakunya perselisihan faham. Jika kedua-duanya berada dalam keadaan marah dan tidak ada yang mahu mengalah, pertengkaran akan menjadi lebih teruk lagi bukan? Mungkin boleh berakhir dengan aksi pukul memukul, maki hamun dan sebagainya. Marah itu sifat syaitan, syaitan diciptakan daripada api. Jadi, mana mungkin api dapat memadamkan api?

Sebab itu, ada dinasihatkan agar kita mengambil wudhu' setiap kali berasa marah, kerana wudhu' itu air, dan air dapat memadamkan api. Dari situ jugalah kita dapat lihat, bagaimana sebenarnya sifat sabar ini tidak merugikan.

"Aku penat bersabar, asyik aku saja yang bersabar, dia langsung tak pernah nak mengalah dengan aku"

Tak mengapa jika kita bersabar, kerana sabar itu sifat orang-orang yang beriman. Contohilah sifat Rasulullah itu sendiri yang sangat penyabar orangnya.

"Itu Nabi, aku ni manusia biasa saja, mana mungkin dapat meniru sifat baginda"

Memang, kita tidak akan dapat menjadi sepertimana baginda, tetapi sifat dan perbuatan baginda harus dicontohi dan dijadikan sebagai amalan hidup kita. Sebab itulah, kita diajar dengan hadis dan sunah daripada Rasulullah S.A.W, untuk mencontohi sifat-sifat baginda.

Selain daripada Rasulullah, kita juga boleh melihat bagaimana sabarnya Nabi Adam A.S dalam mencari Siti Hawa, sabarnya Nabi Nuh A.S dalam mengajar umatnya, malahan anaknya sendiri yang tidak patuh kepada ajarannya, sabarnya Nabi Lut A.S dalam mendidik umatnya, sedangkan isterinya sendiri juga terjebak dalam permasalahan yang sama, dan banyak lagi contoh sirah para nabi dan rasul yang boleh kita lihat.

Mungkin sukar untuk memupuk perasaan sabar, maka ada sedikit tips yang GR rasa sesuai untuk diamalkan bagi mengatasi rasa marah dan memupuk perasaan sabar.

1. Setiap kali berasa marah, lafazkan istighfar, untuk melembutkan hati kita. (Biasa disebut-sebut)

2. Setiap kali berasa marah, alihkan tumpuan kemarahan kita dengan melakukan perkara yang dapat menenangkan kita. (Contohnya, jika anda suka mendengar muzik, mainkan pemain muzik anda)

3. Setiap kali berasa marah, cari dulu sebab musabab kenapa kita berasa marah. (Kadangkala perasaan marah itu datangnya tak tentu hala, di mana sebabnya adalah dari kita sendiri.)

4. Ambil wudhu' ketika marah. (Sudah pun disebutkan awal tadi)

5. Lakukan sesuatu yang mampu memberi kepuasan, contohnya bermain permainan video, bermain alat muzik dan sebagainya. Kemarahan dapat disalurkan secara baik dengan cara ini, apabila tiada orang yang akan menerima kesan buruk.

Rasa marah jika tak dikawal juga akan mendatangkan pelbagai kesan buruk. Jadi, kita lihat apa kesan-kesan buruk yang boleh terhasil akibat dari sifat marah:

1. Darah tinggi. Semestinya, penyakit darah tinggi sering dikaitkan dengan sifat marah yang melampau-lampau.

2. Tekanan berlebihan. Orang yang selalu marah biasanya menghadapi tekanan perasaan, apabila fikiran mereka berkecamuk.

3. Perkelahian sesama rakan, ahli keluarga, malahan mungkin dengan orang-orang yang tak dikenali. Seperti yang disebutkan sebelum ini, perkelahian akan menjadi lebih buruk jika kemarahan tak dapat dikawal dengan baik.

4. Dijauhi oleh orang lain. Ibu bapa yang selalu memarahi anaknya secara membabi buta akan digeruni, dan bukannya dihormati sepertimana yang diinginkan oleh setiap ibu dan bapa, dan rakan-rakan yang selalu memarahi orang lain secara terang-terangan akan mula kehilangan kawan-kawan.

Apa yang telah GR nyatakan diatas adalah serba sedikit dari pengalaman, pembacaan dan penelitian GR yang diterjemahkan dalam bentuk pendapat (perlu ke ayat berbelit-belit ni? haha). Jika ada yang kurang di sini, janganlah dimarahi, sebaliknya ditegur. Yang baik boleh diikuti, yang jahat boleh dijauhi. Sekian sahaja untuk entri pertama bulan Julai dan Syaaban. Terima kasih kerana membaca. Wassalam.

nota kaki kiri: senyum, tak perlu kata apa-apa =)

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails