commercial break

26 July 2011

Senang Ke Nak Kahwin?

Assalamualaikum, selamat pagi. Entri awal pagi kali ni. Dah lama rasanya tak menaip waktu pagi macam ni, sebab sibuk dengan kerja.

Dulu GR pernah ceritakan mengenai seronoknya berkahwin. Sekarang pun GR nak cerita sedikit mengenai perkahwinan, sambil nak menjemput anda semua ke majlis perkahwinan GR nanti. Tarikh akan diberitahu pada akhir entri nanti ya.

Berkahwin, memang seronok. Tanyalah siapa pun, rata-ratanya akan menjawab ya, jika ada yang bertanya samada ingin berkahwin atau tidak. Malah kita biasa dengar ayat macam ni:

"Janganlah weh, aku belum kahwin lagi"

Ya, berkahwin memang seronok. Siapa yang tak mahu berkahwin? Bagi lelaki, apa yang paling diinginkan adalah kehidupan yang baik, dijaga oleh seorang isteri solehah. Balik kerja isteri sambut, makan isteri hidangkan, kalau letih isteri tolong urutkan badan, kalau sakit isteri tolong jagakan, dan macam-macam lagilah. Eh, terkeluar cerita impian sendiri pula, hehe.

Bagi perempuan pula, mahukan seorang suami yang bertanggungjawab. Belai isteri sebaiknya, penuhi permintaan isteri, mungkin belikan rantai emas, melindungi isteri bila dalam bahaya, dan banyak lagi. GR tak tahu sebab GR bukan perempuan, huhu.

Seronok kan? Bila diceritakan perkahwinan yang bahagia, tengoklah cerita-cerita romantis kat television pasti mendapat sambutan. Itu buktinya bahawa majoriti kita memang inginkan sebuah perkahwinan yang bahagia. Tapi, hakikatnya perkahwinan memerlukan persediaan yang rapi.

Bagi seorang suami, dia perlu bersedia untuk menerima tanggungan, bersedia untuk menjadi imam kepada keluarga dan perlu melengkapkan diri untuk menjadi pembimbing. Lelaki perlu bersedia untuk bertanggungjawab menjadi seorang ketua keluarga. Perlu belajar untuk membuat keputusan penting. Perlu bersedia untuk menjadi pelindung, dan semestinya perlu bersedia untuk mendidik isteri dan anak-anak.

Lelaki perlu bersedia untuk membahagikan kepentingan. Maklumlah, lelaki bertanggungjawab kepada keluarganya dan isterinya. Tugas sebagai seorang anak tak boleh dilupakan, malah tugas sebagai seorang suami juga harus ditunaikan. Hanyut atau tidak sesebuah keluarga itu, semuanya berdasarkan kepimpinan seorang suami itu sendiri. Tanggungjawab menjadi bebanan sebagai seorang suami, anak, dan bapa.

Bagi seorang isteri, dia perlu bersedia untuk menjadi tanggungan. Maksudnya di sini, dia perlu bersedia untuk patuh dengan seorang suami. Perlu bersedia untuk dikongkong kehidupannya. Perlu bersedia untuk menjadi seorang peneman, seorang pelayan (melayan suami dengan cara yang diharuskan), menjadi tukang masak, dan menjadi pekerja yang berdedikasi. Maksudnya di sini, sebagai seorang ibu yang saban hari bekerja menjaga isi rumahnya. Ya lah, mengemas rumah, memasak, menjaga anak-anak dan macam-macam lagi. Bukankah ianya juga satu pekerjaan?

Apa yang penting, si isteri juga sepatutnya bersedia untuk menjaga maruah keluarganya. Jangan diceritakan kepada sesiapa pun mengenai masalah dalaman keluarganya, hatta kepada ibu bapa sendiri. Seharusnya perkara itu mesti dibincangkan dengan suami dahulu. Keizinan seorang suami juga adalah penting bagi seorang isteri dalam melakukan sesuatu. Banyakkan tugas seorang isteri? Sebab itu dijanjikan syurga bagi wanita yang berjaya menjadi seorang muslimah, ibu dan juga isteri yang baik.

Jadi kalau kita lihat di sini, perkahwinan bukannya berdasarkan keseronokan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab menjadi tunjang kebahagiaan. Sebab itulah pentingnya untuk kita benar-benar bersedia sebelum melaksanakan perkahwinan. Jangan nanti sudah berkahwin beberapa tahun, sudah mula bosan dengan keluarga. Sebab itu banyak kes-kes perceraian yang kita lihat sekarang ini. 

Jadi berusahalah kita untuk mendapatkan sebuah perkahwinan yang mengikut garis panduan islam. Tak perlu perkahwinan yang terlalu membazir, buat majlis sana sini, belanja sampai tak cukup duit, semata-mata untuk majlis perkahwinan. Cukup dengan persediaan rapi untuk menjadi seorang suami dan seorang isteri yang baik. Boleh buat majlis, tapi tak perlu keterlaluan, macam perkahwinan artis, VIP dan golongan yang sewaktu dengan mereka.

Ok, sebenarnya entri ni GR buat sebab ada 2 orang rakan yang bercerita mengenai perkahwinan dengan GR malam tadi, huhu. Jadi, dapatlah idea serba sedikit untuk entri ni. Terima kasih kat mereka, walaupun pening nak melayan soalan semalam, haha.

Oh ya, untuk tarikh perkahwinan tu, GR pun tak tahu bila sebenarnya, hehe. Tunggu sajalah jodoh tiba, sambil berusaha mencari. Nanti kalau dah nak kahwin, GR jemput ya. InsyaAllah, harap-harap masa tu nanti, blog ini ada lagi, huhu. Apapun, ajal, maut, dan jodoh di tangan tuhan. Jangan kita risau tak bertemu jodoh ya, hehe.

Sekian saja untuk entri kali ini, wassalam.

nota kaki kiri: bila tengok anak-anak kecil, rasa teringin nak kahwin, hehe

*GR akan mengikuti program anak angkat selama 6 hari. Tapi disebabkan urusan-urusan lain juga, GR akan sepi dari blog selama lebih kurang 9 hari, mungkin. 

4 comments:

Anonymous said...

yup mmg seronok. lg2 bile dgr org cerite psl perkahwinan yg bahagia. rase x saba je. haha

tp sebenanye mcm yg gedung ckp tu la. hehe panjang betul cerita nye. thumbsup~

ZORA said...

wahh..nak kwin da...tahniah..:)

GR said...

silah: ya, persediaan yang rapi sangat penting. terima kasih.

zora: erk, belum lagilah. huhu

cik kompas said...

kita kena la mulakan dari sekarang utk tarbiah diri utk hadapi alam tu..

http://kompaspecah.blogspot.com/2010/05/09052010-hari-ini-ada-kenduri-kat-rumah.html

http://kompaspecah.blogspot.com/2011/07/cinta.html

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails