commercial break

21 July 2011

Berkecil hati dengan ibu bapa

Assalamualaikum.
****

"Mak ni asyik nak salahkan orang saja. Mak tak pernah nak percayakan orang" lantang suara seorang anak muda meluahkan rasa.

Kecil hati bukan? Jika ibu atau ayah, malah mungkin kedua-duanya asyik ingin menyalahkan kita. Langsung tidak pernah mahu mempercayai anaknya sendiri. Ya, kecil hati dengan ibu bapa. Ada anak-anak yang tidak teragak-agak untuk meluahkan rasanya itu secara terang-terangan.

"Orang kecil hati dengan mak. Sampai hati mak buat macam ni"

Hai anak. Sebelum kau lantang menyuarakan rasa itu. Mari sini, sama-sama kita renungkan sejenak. Sebelum kau memulakan langkah bicara yang sebegitu, mari sini cuba kau fikirkan. 

Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak-anak mereka? Kita pinggirkan sejenak kes-kes buang anak, itu satu pengecualian. Tapi bercakap tentang hakikat, ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, jangan dikisahkan dengan teguran mereka. Jangan dikisahkan sekiranya mereka mungkin menuduh tanpa usul periksa. Mungkin kamu tidak senang kerana mereka tidak berusaha mempercayai kamu. Hakikatnya anak, ibu bapa sentiasa percayakan anak-anak mereka sedari kecil lagi.

Ketika kau kecil, ibu bapa percaya dengan kata-katamu. Ketika kau bersekolah, ibu bapa sentiasa percaya dengan setiap penceritaanmu. Malah mungkin ada antara kamu yang menipu mereka, dan tanpa pengetahuan mereka, mereka percaya dengan penipuanmu. Pernah tak kamu ponteng sekolah, sedang pada hakikatnya kamu mengatakan kamu bersekolah. Pernah tak kamu mengatakan tugasanmu sudah siap, sedang pada hakikatnya kamu langsung tidak menyiapkan?

Jadi, bagaimana yang kamu katakan mereka tidak percaya kepada kamu? Oh, mungkin kamu tidak sedar, bahawa sebenarnya kamu yang merobek kepercayaan mereka. Kamu lakukan sesuatu yang mereka tidak sama sekali suka. Kamu lakukan sesuatu yang melukakan hati mereka. Jadi bermula dari saat itu, kepercayaan mereka terhadap kamu sudah mulai pudar. Sekarang ini, siapa sebenarnya yang berkecil hati, adakah kamu ataupun mereka?

Buang rasa kecil hati dengan ibu bapamu, kerana percayalah, kadangkala kita tidak sedar bahawa terlalu banyak perkara yang membuatkan ibu bapa berkecil hati dengan kita. Pendamlah, sabarlah, dan teruskan menghormati perasaan ibu bapamu. Selagi mana teguran mereka itu betul dan tidak melawan agama kita, kunyahlah perlahan-lahan meskipun sukar untuk dihadam. Jagalah tingkah lakumu terhadap mereka.

Jika tidak, mungkin di saat ketiadaan mereka nanti baru kamu rasa menyesal. Maka, tidak ada gunanya lagi. 

Salah satu pesanan lukman Al-hakim kepada anaknya:

Wahai anakku yang ku sayangi

Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.

Sekian sahaja, wassalam.

nota kaki kiri: sungguh, ku inginkan diri ini untuk menjadi anak yang soleh.

rujukan sini



11 comments:

fatten said...

sedih jer bace entry ni.. ade terase sikit2..really hope that i'll change to being a good daughter...

Anonymous said...

terima kasih.

terkadang terdetik kecil hati...

Fasihah Supian said...

yaa setuju..sedangkan dalam al-Quran lagi dah cakap, jangan kata walaupun perkataan ah pada ibu bapa....jgn meninggikan suara...

GR said...

fatten: bagus, anda boleh, insyaAllah :)

macy: kita juga sama. sama-sama perbaiki diri :)

fasihah: ya, anda benar. ibu bapa harus dihormati dalam apa cara sekalipun, selagi mereka berada di landasan agama.

Anonymous said...

ade terase sikit. but this is true :)) nice entry..

GR said...

dian: terasa membawa makna anda sedar dengan hakikat ini. terima kasih :)

cik kompas said...

hurm...terasa juga.. mungkin sebab nipisnya rasa sabar dlm diri.

"kunyahlah perlahan-lahan meskipun sukar untuk dihadam"

ayat tu sangat bermakna sekali.

http://kompaspecah.blogspot.com/2010/06/sedih-laa.html

GR said...

cik kompas: insyaAllah, sama-sama tingkatkan kesabaran :)

Unknown said...

thankz 4 this nicewarmth entry...mmg tgah terasa pun skrg...hhu!sedey:-(...tpi entry ni mngubat hati saye...*senyum

ladybird said...

assalamualaikum.. sy nak tanya, salahkah saya dan adik saya keluar berdua ? setiap kali kami berdua keluar mak mesti akan cari salah kami sampai ayah marah kami. lagi satu mak saya kalau depan ayah saya akan nangis2 buatkan ayah fikir kami salah. tapi bila ayah pergi kerja, mak akan maki hamun kami siap mencarut lagi. contoh: haram jadah, babi, menyesal lahirkan korang & macam2 kata negatif la. dari saya kecil sampai ke besar ayat tu je mak saya cakap.

GR said...

Waalaikumsalam cik ladybird.

Izinkan saya cuba menjawab pertanyaan cik ini. Saya tak mampu untuk memberi satu jawapan yang tepat, tapi saya cuba member pendapat dan nasihat berdasarkan pemikiran dan pandangan saya sendiri.

Untuk awak dan adik awak keluar berdua, ianya sudah tentu tidak salah namun berkaitan dengan umur awak sekarang. Jika awak masih lagi di bawah umur, sudah semestinya awak harus mendapat kebenaran daripada ibu dan bapa awak. Izinkan saya bertanya jika ianya tidak menjadi satu isu yang peribadi dengan kehidupan awak, adakah ibu awak berkelakuan begitu sejak dari awal ataupun ianya berubah selepas sesuatu ketika? Contohnya ada tragedi yang berlaku yang menyebabkan ibu awak berubah sikap?

Saya tidak mampu untuk menyalahkan sesiapa, namun apa yang saya boleh katakan kepada awak ialah, cuba untuk bersabar dan cari puncanya kenapa ibu awak berkelakuan sebegitu. Kerana secara normalnya, seorang ibu pasti akan menyayangi zuriat mereka tanpa berbelah bahagi. Itu adalah sifat normal seorang ibu. Mungkin ada sesuatu permasalahan yang menjadi punca semuanya berlaku. Apa pun saya harap awak teruskan bersabar sebaik mungkin kerana apa pun yang terjadi, sememangnya dia adalah wanita yang telah bertarung nyawa untuk memastikan awak dan adik awak selamat lahir ke dunia.

Berdoalah suapaya Allah mempermudahkan jalan kehidupan awak, dan dapat mengubah semua permasalahan awak. Sekiranya ada perkara lain yang awak ingin kongsi dengan saya, saya tidak ada masalah dengannya.

Boleh email saya di fitrikarim88@gmail.com

Terima kasih.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails