commercial break

20 July 2011

#Cerpen- Jangan Kau Persoalkan



“Kau tahu, aku sampai sekarang sedih mengenangkan nasib aku. Tuhan tak adil dengan aku”

“Kenapa kau kata begitu? Jangan bercakap ikut perasaan, kelak tergadai iman”

“Entahlah, kadang-kadang aku runsing fikirkan jalan hidup aku. Kenapa terlalu banyak masalah yang aku terima? Kenapa mesti aku terima semua masalah ni, bukannya orang lain?”

“Boleh jadi kau tak menyukai sesuatu, tapi ianya perkara terbaik untuk kau?”

“Apa yang terbaiknya, kalau hati aku tak senang, jiwa aku tak tenang?”

“Kau kena ingat, percaturan tuhan itu bukan sebarang. DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNya”

“Entahlah, aku pening”

Uzair meluahkan perasaannya kepada Kamal, kawan baiknya. Dua orang remaja lelaki ini bersahabat di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan di selatan tanah air. Kedua-duanya adalah pelajar semester 6 yang menuntut dalam jurusan dan kelas yang sama. Sungguhpun latar belakang dan sikap mereka tidak sama, namun mereka bersahabat baik. Uzair, seorang yang pendiam dengan orang yang tidak rapat dengannya. Bijak dalam berkata-kata, namun kadangkala suka mengatakan sesuatu yang berlebihan. Kamal pula seorang yang ceria dan disenangi ramai. Perbezaan sikap tidak menghalang mereka untuk bersahabat baik, walaupun kadang-kadang berbeza pendapat sesama mereka.

Hari itu seperti biasa, Uzair dan Kamal ke kelas bersama-sama. Kedua-duanya menetap di kolej kediaman yang disediakan untuk pelajar. Perbualan mereka tadi berlaku ketika mereka di dalam perjalanan ke kelas. Uzair tampak runsing saja pagi itu, mengenangkan masalah di dalam sesi pengajiannya. Meskipun tidak secara terus membicarakan mengenai masalah tersebut, Uzair tetap meluahkan keresahannya kepada Kamal.

“Banyak-banyak berdoa kepada Allah. Ujian yang diturunkan ke atas hambaNya menunjukkan bahawa DIA sayangkan mereka. Cuba untuk yakin dengan perkara itu” Kamal tenang menasihati. Dia sudah masak dengan perangai Uzair yang gemar meminta pendapat kepadanya.

“Terima kasih. Aku cuba. Dah sampai kelas dah ni. Jom masuk” Uzair cuba mengelakkan dari terlihat resah di wajahnya oleh kawan-kawannya yang lain.

Kedua mereka kini berada di semester 6 pengajian, hanya menanti detik untuk menamatkan pengajian di peringkat diploma selama 3 tahun. Kursus yang diambil adalah Diploma Kejuruteraan Awam. Memandangkan mereka kini di semester akhir pengajian, semuanya kurang sibuk dengan kelas, tetapi sibuk dengan projek semester akhir.

Lain pula halnya dengan Uzair. Disebabkan dia gagal subjek di semester 4 dahulu, membuatkan dia terpaksa lewat mengambil subjek di semester 5, memandangkan subjek tersebut mempunyai pra-syarat. Jadi, subjek itu hanya dapat diambil ketika di semester 6. Ini bermakna, dia sekarang mempunyai lebihan 1 subjek berbanding rakan-rakannya yang lain. Hampir saja dia berputus asa, kerana agak sukar untuk dia menyeimbangkan masa untuk memahami teori-teori kedua-dua subjek itu, yang seharusnya digunakan untuk menyiapkan projek semester akhir.

Perkara ini juga membuatkan dia selalu berasa rendah diri, kerana tidak seperti rakan-rakannya yang lain, dia gagal dalam 2 subjek. Malahan, dia kini terkial-kial untuk menyiapkan projeknya, kerana kurang memahami subjek tersebut. Lebih teruk lagi, kadangkala dia mengeluh mengenai nasibnya, dirasakan tuhan tidak adil kepadanya.

“What are you doing Uzair? Don’t you give attention to my class? Didn’t I say earlier, you need to consider all of the loading from the roof finishes, before you can conclude your dead load value!” suasana tegang di dalam bilik pensyarah Uzair, Encik Amran.

“Sorry sir, I don’t really understand this part, but I’ll try it once again sir” Uzair menjawab perlahan.

“Remember, we are in week 5 now. You need to finish this part in this week. If not, you might not finish your project in time. I don’t think you want to extend your semester, don’t you?”

Uzair menggeleng perlahan. Sunyi seketika.

Pulang ke kolej kediaman, Uzair hanya mendiamkan diri. Rakan sebiliknya tidak ditegur langsung, sambil mukanya masam mencuka. Teguran dari Encik Amran tadi benar-benar membuatkan dia lemah.

“Sampai bila aku nak bertahan? Aku dah penat usaha, tak ada hasilnya. Mungkin aku layak gagal saja” rungut hatinya sendirian.
*****

“Macam mana dengan projek kau? Ada masalah? Aku punya ada sikit perubahan. Kena tukar saiz beam, sebab aku guna besar sangat” pertanyaan Kamal menghentikan lamunan Uzair.

“Entahlah, aku pun tak pasti dengan apa yang aku buat. Aku dah submit yang terbaru pada Encik Amran. Nasib baiklah dia terima. Dah 3 kali aku tukar nilai loading dan saiz beam aku. Penatlah aku macam ni. Masalah ujian Structure Analysis lagi, masalah projek ni lagi nak kejar masa. Entahlah, aku kadang-kadang rasa macam nak extend pun ada” 

“Sabar. Jangan mudah putus asa. Kau dah sampai semester 6. Takkan nak mengalah?”

“Entah, aku penat. Penat berusaha sedangkan hasilnya tak ada”

“Nak dengar satu kisah? Aku ni nak bercerita mengenai sahabat-sahabat nabi taklah pandai, tapi aku ada satu kisah benar yang mungkin boleh buat kau berfikir sejenak mengenai hidup kau ni” Kamal cuba memancing Uzair.

“Apa dia?”

“Aku ada tonton satu video. Mengenai seorang lelaki yang luar biasa. Nak tahu apa luar biasanya dia? Dia tidak sempurna seperti kita. Tangannya kudung sejak lahir. Tapi luar biasanya kehidupan dia ni, setiap hari dia hidup berdikari. Solat 5 waktu sehari sekali pun tak ditinggalkan. Bekerja sendiri membuat kraftangan. Bila ditanya samada dia tak bersedih dengan nasib dia, kau tahu apa jawapannya?”

“Entah?” bahu Uzair diangkat tanda tidak tahu.

“Saya tak pernah bersedih dengan nasib saya, malah saya bersyukur. Walaupun mungkin tangan saya tiada, tapi tuhan beri saya kekuatan dan akal untuk menjalani hidup saya dengan cara saya tersendiri. Ya, bagi saya, selagi saya mampu untuk hidup, tak akan sekali-kali saya mengatakan saya tidak mampu melakukan sesuatu” tersenyum Kamal menceritakannya.

“Em” hening seketika.

“Berhentilah dari berputus asa. Sedangkan orang yang tidak cukup anggota boleh berkata begitu, kenapa tidak kita?” Kamal mengakhiri nasihatnya.

“Tapi, mungkin aku tak sekuat itu. Kenapa tuhan tak beri saja aku akal yang bijak? Kenapa mesti aku seorang yang gagal? Kau pun tahu macam mana aku berusaha. Bukannya sedikit, tapi”

“Kau kena faham, lain orang lain kemampuannya. Yang penting kita kena sabar, dan yakin dengan percaturan tuhan”

“Em”

“Macam ni lah. Daripada kau selalu merungut kenapa tuhan beri kau ujian, sekali sekala kau tukar persepsi kau. Kau bangun setiap hari, kau masih bernyawa. Kenapa tak kau persoalkan, mengapa kau masih bernafas? Mengapa kau masih mampu menerima makanan? Kalau kau tak persoalkan nikmat Allah, kenapa kau harus mempersoalkan ujianNya?”

“Mungkin betul kata kau. Aku selalu merungut mengenai masalah aku. Tapi bila terima nikmat, tak pula aku persoalkan. Takkan tak boleh untuk aku diuji, selepas nikmat-nikmat yang lain aku terima? Terima kasih Mal, kau ingatkan aku tentang hal ni”

Kamal tersenyum.

Kini sudah minggu ke 8. Fasa projek semester akhir sudah memasuki fasa-fasa terakhir. Masing-masing sibuk menyiapkan mana-mana bahagian yang belum siap. Projek akhir mesti dihantar selewat-lewatnya hari Jumaat minggu ke 10. Uzair masih bertungkus lumus menyiapkan projeknya. Hasil dari usahanya, dia berjaya menyiapkan bahagian-bahagian lain mengikut masa yang dijadualkan. Mujur dia tidak putus asa dari awal. Jika tidak, pasti sukar pada minggu-minggu akhir tugasan.

Projek semester akhir memerlukan pelajar menyiapkan rekaan sebuah struktur bangunan bermula dari bahagian bumbung sehingga ke bahagian asas. Apa yang menjadi kesukaran buat Uzair adalah dia tidak memahami teori analisis sepenuhnya, kerana sewaktu membuat projek itu, dia baru mengambil subjek itu. Analisis itu adalah penting untuk mengetahui nilai beban yang akan ditampung oleh komponen struktur bangunan.

Semenjak projeknya berjalan lancar, Uzair semakin mampu untuk tersenyum riang. Meskipun dari luarannya kelihatan seperti seorang yang sombong, dia sebenarnya sangat ramah dengan rakan-rakannya. Kecoh dan bising, itulah perangainya. Cuma dengan orang yang baru dikenali, dia kurang bercakap. Ketika tertekan dengan masalah projeknya itu, dia semakin kurang bercakap dengan rakan-rakannya. Perubahannya itu menimbulkan persoalan kepada mereka, namun hanya didiamkan sahaja, takut mencampuri urusan peribadinya.

Kini sikapnya kembali berubah seperti sediakala. Perubahannya itu membuatkan rakan-rakannya senang hati, kerana tiada apa yang perlu dirisaukan oleh mereka lagi.
*****

“I want to congratulate all of you guys for your presentation. There are some of you who really grab my attention with your project. There are also some who doing just fine. But overall, I am satisfied with your project. I think you guys are ready to enter the job market outside. Congratulations!” En Amran menghabiskan ucapannya, usai semua pelajar menyudahkan pembentangan mereka.

Pembentangan projek sudah pun selesai. Kini hanya tinggal peperiksaan akhir yang harus diharungi oleh pelajar-pelajar tersebut. Peperiksaan akhir bakal menjelang seminggu saja lagi. Mereka kini hanya tinggal selangkah untuk menamatkan pengajian mereka. 

“Minggu depan dah final exam. Lepas tu kita dah habis belajar. Aku tak sangka yang aku mampu siapkan projek aku. Alhamdulillah” Uzair meluahkan rasa gembiranya. Syukur tak terhingga, itu yang dirasakannya saat ini. Tanpa disangka-sangka, dia mampu menyiapkan projek tersebut, meskipun berdepan dengan masalah pada awalnya.

“Seperti yang aku kata. Jangan berputus asa. Kalau tak, kita sendiri yang menyesal kan?” Kamal mengingatkan kembali rakannya itu mengenai pesanannya sebelum ini.

“Terima kasih Kamal. Kalau tak kerana dorongan kau, aku dah putus asa dengan projek aku. Terima kasih banyak sebab kau dah ubah persepsi dan pendirian aku”

“Kita kan kawan. Kawan harus ada waktu susah dan juga senang. Kan begitu? Mungkin hari ni aku tolong kau, esok lusa kau pula yang akan bantu aku, siapa tahu?” tenang bicara Kamal.

“Ya, terima kasih sekali lagi. Dah jom kita makan. Perut aku dah mengeluarkan alunan muzik ni” seloroh Uzair.

Sambil ketawa, mereka berlalu pergi.

“Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, aku pohon agar kau terangkan hatiku untuk menjawab soalan peperiksaan ini. Aku mencuba sekadar yang termampu, dan selebihnya aku bertawakal kepadaMu. Kau tahu apa yang terbaik untukku Ya Allah, sedang sifatMu adalah Maha Mengetahui. Apapun keputusanku nanti, aku redha, kerana apa yang terbaik untukku walaupun tidak dalam kalangan yang terbaik, ada di dalam genggamanMu” doa Uzair sebelum mula menjawab peperiksaan.

Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan. Hanya 3 sahaja subjek yang mempunyai peperiksaan bagi pelajar semester 6. Subjek terakhir peperiksaan mereka adalah Water and Wastewater Engineering

Usai peperiksaan tamat, masing-masing keluar dengan pelbagai reaksi. Uzair hanya tenang dan tersenyum. Dia langsung tidak memikirkan samada dia akan gagal atau tidak. Baginya, mencuba yang terbaik adalah cukup. Seterusnya dia harus bertawakal kepada Allah S.W.T. 

Kini, apa yang pasti, biar apapun keputusan peperiksaannya nanti, dia redha. Itulah ertinya bertawakal. Menyerahkan segalanya pada tangan Allah, selepas berusaha sedaya yang mungkin. Jangan mengharap sesuatu yang berlebihan, cukup meminta apa yang terbaik untuk diri.

*cerpen suka-suka saja. sebelum ni ada buat blog untuk menulis cerita, tapi tak mampu nak teruskan. jadi buat macam ni saja. ada idea, ada lah ceritanya nanti. hehe. nak kritik? dialu-alukan. tak serius pun dalam bidang penulisan ni. hehe. terima kasih kerana membaca =)

2 comments:

FahmiE said...

nak pggil cerpang pun bleh gak..

FiezaHafieza said...

yeah...lame nk tunggu cerpen ni. dpt bace gk..^_^

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails