commercial break

02 April 2011

Nota putus asa untukmu

Assalamualaikum.

Salam jumaat untuk semua. Apa khabar anda? Sihat semuanya bukan? Esok akan menjelang hari sabtu, hari yang dinanti-nantikan oleh sesetengah orang untuk menikmati rehat ataupun bersiar-siar. Apa-apa pun GR harap anda semua menjalani hari minggu dengan aktiviti yang sihat dan tidak membahayakan diri anda semua.

Putus asa, anda pernah mengalami rasa berputus asa? Pernah tak anda merasakan sekali dalam hidup anda, rasa mahu berputus asa dalam hidup anda? Rasa mahu berhenti dari mengejar sesuatu yang anda tak mampu capai. Wujudnya rasa putus asa anda itu adalah kerana anda sudah letih berusaha dan masih tidak berjaya untuk mendapatkannya. Bagi GR, sebagai seorang pelajar, rasa putus asa tidak lekang dari kamus hidup. Pasti akan ada satu saat untuk GR sendiri merasa letih kerana sudah berusaha sedaya yang termampu, namun tidak juga berjaya. Perasaan ini sering timbul apabila GR sudah berusaha yang terbaik, tapi masih tidak juga berjaya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Anda juga pernah mengalami keadaan sebegini? Jadi, apa yang anda buat untuk mengatasi rasa tersebut? Mari GR kongsikan sedikit apa yang GR cuba tanamkan dalam perasaan untuk mengatasi rasa ini.

Menjadi yang terbaik tidak semestinya terbaik untuk kita

Prinsip ini menjadi pegangan GR setelah dinasihati oleh seorang pensyarah semasa pengajian di peringkat diploma dahulu. Pesan beliau:

"Kita ni, selalunya masa berdoa mesti minta untuk jadi yang terbaik, untuk dapat keputusan yang terbaik. Tapi hakikatnya kita semasa beramal, bukanlah dengan cara yang terbaik. Sepatutnya, semasa berdoa tu mintalah yang terbaik untuk diri kita sendiri, sebabnya Allah S.W.T mengetahui sejauh mana kurniaan itu terbaik untuk kita"
-Dialog diubah berdasarkan penterjemahan GR-

Pernah tak anda terfikir, mengapa kita diberi kegagalan? Mengapa orang lain menerima kejayaan sedangkan kita tidak? Mengapa kita tidak dikurniakan dengan kekayaan seperti orang lain? Bagi GR, pegangan GR adalah mudah, tak semestinya kita kecapi semua kejayaan tersebut, ianya menjanjikan pulangan yang terbaik untuk kita. Gagal? GR pernah gagal, dan selepas memikirkan kembali kata-kata pensyarah GR ini, ianya mengubah persepsi GR terhadap kegagalan. Tak semestinya kita gagal sekarang, kita akan gagal pada masa hadapan. Tak semestinya kita berjaya sekarang, kita akan berjaya juga di masa hadapan. 

Cuba fikir, kalaulah kita dapat jadi pelajar yang terbaik di dalam kursus, mungkin kita akan berubah sikap. Mungkin kita akan perlahan-lahan menjadi malas untuk berusaha. Malah, apabila kita gagal mungkin kita akan menjadi seorang yang lebih kuat berusaha. Kegagalan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan. Satu lagi perihal mengenai perkara yang terbaik untuk kita. Tak semestinya hidup dengan kekayaan itu akan menjadi perkara yang terbaik untuk kita. Sebagai contoh, jika kita hanya ditakdirkan untuk hidup secara sederhana sepanjang hayat mungkin ianya lebih baik kerana kita akan dihindari dari perasaan riak dan takbur. Mungkin kita lebih mudah untuk beramal kepada Allah S.W.T dan seterusnya kita menerima balasan yang terbaik di akhirat kelak, siapa tahu? Percayalah, Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Bertawakal selepas berusaha

Bertawakal kepada Allah, bermaksud menyerahkan segala-galanya kepada pengaturan Allah, selepas berusaha dalam melakukan sesuatu. Selesai kita berusaha, seharusnya kita menyerahkan semuanya kepada perancangan Allah supaya apa yang kita lakukan itu mendapat rahmat dan keredhaanNya. Mengapa perlu kita bertawakal? Bagi GR, kita perlu bertawakal selepas berusaha untuk mengelakkan dari rasa terlampau yakin atau terlampau tidak yakin. Bagaimana yang dikatakan terlampau yakin dan apa kesannya? Contoh termudah adalah dalam kehidupan seorang pelajar, kerana GR sendiri seorang pelajar.

Selesai menjawab peperiksaan, pelbagai reaksi yang kita akan nampak memalui semua orang. Ada yang gembira dan sedih. Bagaimana dengan mereka yang terlampau yakin ini?

"Aku dapat jawab soalan tadi, rasanya bolehlah nak dapatkan A+"

"Aku dah cuba yang mana aku mampu, insyaAllah kalau ada rezeki aku nanti, adalah tu"

Cuba lihat perbezaan dua dialog di atas. Rasa-rasanya jika sudah keluar keputusan peperiksaan, kedua-dua mereka gagal, yang mana satu akan merasa kecewa dan marah? Pastinya yang pertama bukan? Jadi, elakkan dari terlampau yakin dan juga bertawakallah kepada Allah selepas sudah berusaha. Tetapi ingat, jika anda tidak berusaha dan bertawakal semata-mata ianya bukanlah perkara yang baik malah mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.

Apa kata anda luangkan sedikit masa untuk menonton video yang tidak seberapa di bawah ini, sekadar luahan kata-kata dari GR.


Sekian sahaja untuk kali ini.
Wassalam

nota kaki kiri: pernah juga rasa berputus asa

4 comments:

Invisible Me said...

Allah tahu apa yg terbaik untuk hambaNya.
nice entry. :)

GR said...

terima kasih =)

Anonymous said...

setiap yg berlaku ade hikmah di sebalik nye. sy cume mintak diberi ketabah mengharungi semua tu....
=.=

GR said...

insyaAllah, kala kita yakin dengan ketetapanNya, kita akan jadi tabah. berdoa selalu =)

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails