commercial break

23 April 2011

Kau Samseng Eh?

Assalamualaikum w.b.t.
Saat entri ni ditaip, baru je 30 minit yang lalu GR tiba di Shah Alam. Nampak tak kat situ, bagaimana cinta dan sayangnya GR kepada blog, hehehe.

Anda biasa tak memandu di lebuhraya, samada menaiki kereta, motorsikal ataupun lori? Jadi apa perasaan anda ketika memandu di lebuhraya? Suasana yang sedikit berbeza kan, tak sama dengan jalan-jalan di kawasan bandar. Tapi bukan perbezaan tu yang ingin diceritain, eh bahasa indonesia pulak.

Pernah tak anda semua berhadapan dengan samseng-samseng di lebuhraya. Bukanlah samseng yang ugut minta duit, atau samseng yang duduk tepi jalan nak mengacau anak dara tu, tapi samseng yang menghimpit kenderaan yang mereka tak puas hati, ada juga sampai bergaduh di tepi jalan walaupun kadang-kadang mereka sendiri yang bersalah. GR setakat ni pernahlah sekali berhadapan dengan situasi macam ni. 

bukan samseng yang camni (sumber google)

yang ni lagilah bukan, hehehe (sumber google)

Nak dipendekkan ceritanya, pengalamannya begini, si pemilik kereta ni tak puas hati dengan GR dan kawan-kawan yang sedang dalam perjalanan. Sebabnya, kami memberi isyarat kepada dia supaya merendahkan lampu hadapan kereta. Ada ke patut pasang lampu tinggi masa tengah sesak di lebuhraya. Jadi, kami berilah isyarat pada dia suruh rendahkan lampu tu hah. Alah, isyarat guna tangan je, bukannya buat apa sangat. Lepas kami bagi isyarat tu, dia pun tak puas hati. Ada peluang dia pintas kereta kami, lepas tu dia buat brek mengejut masa tengah sesak-sesak tu. Kami yang dalam kereta ni pun macam, WTFish? 

tu dia, lagi samseng!! (sumber google)


"Ok, rileks bang. Jangan layanlah dia tu. Biar je" kata Peah (bukan nama sebenar)

Pemandu tu, kawan GR nasib baik bukan seorang yang panas baran tak tentu hala. Jadi, biarkan je kereta tu. Ingatkan dah habislah tak puas hatinya tu, rupanya ada lagi. Lagi sekali masa dia ada kat sebelah kereta kami ni hah, dia himpit kereta secara tiba-tiba. Nasib baik pemandu ni pernah memandu F1 dulu (ok lebih-lebih), sempatlah brek untuk elak. Ada jugak kereta yang berada di belakang hon kereta tu untuk memberi amaran. Suasana dah makin hangat ni.

"Eh, geram pulak aku tengok kereta ni. Rasa macam nak berhenti je ni" Abu (bukan nama yang mak dan ayah dia bagi) pulak bersuara.

Tiba-tiba, di tengah kesesakan tu, dalam suasana yang semakin hangat tu, kami lihat kereta tu berhenti di tepi jalan sendirian. Agaknya dah rosaklah tu keretanya. Padanlah muka, nak sangat jadi samseng kan? Tuhan dah bagi balasan serta-merta. Eh, pandai-pandai je buat andaian, tak baik betul GR ni. Tapi yang pastinya dia berhenti di tepi jalan. Mungkin betul kereta dia rosak agaknya. 

Jadi, itu serba sedikit pengalaman GR berhadapan dengan samseng di jalanraya. Ayah GR pernah juga kena, tapi tak payah ceritalah sebab GR tak tahu suasana sebenarnya, hehehe. Sekarang ni pun GR selalu juga memandu di lebuhraya, tapi sekadar menaiki motorlah. Tak sesuai guna memandu, membonceng, hehehe. Tadi pun balik naik motor jugak. Kalau ada kelapangan, GR akan cuba pulak untuk Tunjuk gambar-gambar perjalanan di lebuhraya, itupun kalau ada yang nak tengok ni hah.

Ok, sekian sahaja untuk entri kali ni. Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: tak payah nak samseng sangatlah encik!

21 April 2011

Monyet dan Jambu

Assalamualaikum.
Entri kali ni, GR tak nak bercerita panjang, sekadar mahu berkongsi video dengan anda semua. Video ini berkaitan dengan

guna gambar lama

dan juga

sumber google

Anda nak tengok apa kaitan antara dua ni? Mari saksikan video di bawah:


Sekian sahaja kali ini, semoga bertemu lagi di dalam entri yang lain.
Wassalam.

nota kaki kiri: kesan kabur dan juga gelap memang disengajakan tau ^_^

20 April 2011

Adat berkawan

Assalamualaikum. 
Entri kali ini mengenai persahabatan. Sebenarnya tujuan entri ini dibuat adalah untuk salah seorang rakan GR yang sedang menghadapi masalah dengan rakan-rakan beliau. Jadi, harapan GR agar beliau dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan tenang dan tanpa sebarang masalah besar.

sumber google
Semua orang ada kawan mereka yang tersendiri bukan? Bohonglah kalau ada yang kata dia tak ada kawan, atau dia tak perlukan kawan. Ada ke yang tak ada kawan dalam dunia ni? Hidup dia seorang saja, langsung tak fikir nak bina hubungan dengan orang lain. Ada ke? Err, kalau ada, GR pun tak tahu nak cakap apa dengan orang tu.

Kenapa perlu ada kawan?

Kawan-kawan sangat penting dalam kehidupan kita. Kenapa GR cakap macam tu? Sebabnya cuba anda bayangkan, kalaulah anda melanjutkan pelajaran di tempat orang, atau senang cerita di luar negara sebagai contohnya. Ok, itu kali pertama anda pergi ke tempat tersebut dan anda memang tak kenal sesiapa. Tapi, anda tak mahu berkawan dengan sesiapa pun. Bukan ke susah untuk anda teruskan kehidupan di tempat tersebut? Nak cari tempat makan tak tahu, nak cari kedai untuk beli barangan pun tak tahu. Jadi, kan ke penting untuk kita punyai kawan di mana sahaja kita berada?

Lagi satu, takkan setiap hari nak duduk diam tanpa bercakap dengan sesiapa pun kan? Mestilah kita nak bercakap dengan orang lain, terutamanya perempuan yang punyai kuota percakapan yang banyak, hehe (jangan marah :P). Jadi, untuk memudahkan cerita, kesimpulannya penting untuk kita punyai kawan dalam kehidupan kita samada untuk jadi teman berbual, teman meluahkan perasaan, teman di kala kesusahan, dan banyak lagi.

sumber google

Ada ke kawan yang tak pernah bertengkar?

Hah, kalau pasal masalah bertengkar dengan kawan-kawan ni perkara biasa sebenarnya. Bukanlah bermaksud pertengkaran sehingga pukul memukul, tapi sekadar pertengkaran kecil atau percanggahan pendapat, dan lebih mesra dipanggil pertengkaran manja, hehe. Biasalah, dalam bercakap tu kadang-kadang ada yang terasa hati atau tak sama pendapat. Kadang-kadang kita terkutuk lebih ke, tergurau lebih, itu semua perkara biasa.

Kalau bab pertengkaran besar ni susah sikitlah nak diperkatakan. Ada juga yang bertengkar sampai putus tali persahabatan tu. Sampai tak bercakap selama-lamanya, jumpa pun tak mahu. Bila nampak muka kawan yang seorang tu, cepat-cepat mengelak dari bertembung. Ada juga kes macam ni, tapi itu semua berpunca dari ketidakserasian, ataupun dah memang tak ada jodoh untuk bersahabat.

sumber google

Apa nak buat kalau bertengkar?

Biasanya kalau dah bertengkar besar-besaran ni, agak susah untuk berbaik semula kan? Tapi ianya agak susah, bukannya mustahil. Seeloknya diselesaikan semuanya semasa pertengkaran itu berlaku,. Kedua-dua pihak sepatutnya mengambil inisiatif sendiri untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Tak perlu tunggu ada orang ketiga untuk meleraikan. Kadang-kadang, kita kena lunturkan ego kita untuk mengelakkan pertengkaran yang lebih. Cara termudah adalah dengan mengalah. Tak rugi pun kalau kita mengalah dan bersabar. Bukan boleh bawa ke mana pun ego yang ada tu. Belajar untuk mengalah dan bersabar.

Tapi, ada juga kes yang mana tak boleh untuk mengalah, sebaliknya perlukan jalan penyelesaian. Berbincang, cara terbaik untuk kes-kes seperti ini. Kedua-dua pihak seharusnya berbincang sesama sendiri. Sekalipun jika salah satu pihak tak mahu untuk berbincang, pihak yang satu lagi seharusnya mencuba untuk mencari jalan berbincang dahulu. Jika sudah tiada jalan penyelesaian juga, eloklah jika ditinggalkan sahaja masalah itu. Kadang-kadang kita perlu untuk kehilangan kawan demi menjaga kepentingan diri kita dan juga orang lain. Tapi, bukan bermaksud kita perlu kehilangan semua kawan ketika bertelingkah, cuma ada sesetengah kawan tu tak boleh untuk kita ikuti. Senang cerita, biar kawan tu rasa kesan keegoan mereka supaya mereka tersedar sendiri. 

Apa yang boleh kita lakukan adalah doakan sahaja agar mereka terpelihara. Itu yang seeloknya.

sumber google

Ok, itu sahaja rasanya pesanan untuk entri kali ini. Apa pun, nasihat GR adalah pandai-pandailah dalam memilih kawan. Kawan boleh membawa kita menuju jalan kebahagiaan, kawan juga boleh membawa kita jalan menuju kehancuran. Semoga kita semua bertemu dengan kawan-kawan yang sejati. Amin~

Sekian kali ini, wassalam.

nota kaki kiri: sangat menghargai kawan-kawan GR =)

18 April 2011

Latest Apple Product, iPhone 5

Assalamualaikum, apa khabar semua.
Selamat hari isnin. GR tahu kebanyakan orang tak suka dengan hari isnin ni bukan? Tapi GR bukan nak bercerita mengenai hari isnin dan kelebihannya untuk entri hari ini.

Makluman kepada pencinta gadjet-gadjet terkini. Apple telah membuat pendedahan eksklusif mengenai produk terbaru mereka selepas iPhone 4, iaitu iPhone 5. iPhone 5 dilihat lebih canggih dan mesra alam, sekaligus memperkenalkan kembali kepada kita teknologi komunikasi semulajadi manusia. Tak percaya? Sila tonton video di bawah ok:


Macam mana sekarang? Dah percaya bukan? Anda mahu mendapatkan produk ini? Tarikh keluaran sebenar produk belum diumumkan, tapi rasanya produk ini akan dikeluarkan tak lama lagi. Jadi apa kata kita sama-sama mendapatkannya, kerana ianya mengubah persepsi komunikasi manusia selama ini.

~mula menemui video di http://gelaksantai.com/

nota kaki kiri: jangan marah ha~ =)

17 April 2011

Nenek atas loker tengok tangki

Assalamualaikum.


"Seorang cucu nenek dah bangun" tiba-tiba kedengaran suara entah dari mana. Akmal (bukan nama sebenar) yang baru saja tersedar dari tidurnya berasa seram. Dia mencari-cari dari mana datangnya suara itu, namun tidak dapat dikenalpasti. Lalu, dia mengambil keputusan untuk melupakan suara tersebut dan berusaha untuk tidur kembali.

"Cucu nenek jangan buat-buat tidur" sekali lagi kedengaran suara yang serupa seperti tadi. Kali ini lebih jelas. Suara itu menyerupai nada suara orang tua.

"Ah, siapa pulak buat lawak tengah-tengah malam buta dengan aku ni? Saja nak kacau akulah tu" bisik hati Akmal sendirian. Dia sebenarnya sudah merasa takut apabila berada di dalam situasi ini. "Cucu nenek dah tak boleh tidur" sekali lagi suara itu kedengaran. Akmal sudah nekad, meskipun dalam ketakutan. Dia bingkas bangun dan mencari punca suara tersebut, tiba-tiba kelihatan lembaga berupa seorang nenek tua sedang duduk di atas loker pakaiannya sambil tersengih-sengih. 

beginilah bentuk loker tersebut. (sumber google)
Hampir saja Akmal pengsan apabila terlihat lembaga tersebut. Dia terkaku sebentar tanpa mampu untuk melakukan apa-apa. Selang beberapa saat baru kakinya boleh digerakkan. Dia pantas berlari meninggalkan kamar tidurnya tanpa dihiraukan bunyi bising dek lariannya.

Akmal, seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di sebuah kawasan luar bandar. Dia sering saja mendengar kisah-kisah yang mengatakan bahawa sekolahnya berhantu, namun kali ini dia sendiri yang mengalaminya. Entah mengapa, malam ini giliran dia pula untuk mengalami kejadian seperti ini.

"Malang betul aku, aku pulak yang kena kali ni. Apa aku nak buat ni? Mana aku nak lari?" Akmal merungut sendirian. Sedar tak sedar, dia sudah berlari ke Blok A yang berada bersebelahan dengan kawasan hutan. Blok A tidak jauh dari Blok C, tempat dia dan kawan-kawannya ditempatkan, hanya bersebelahan sahaja. Tetapi, Blok A lebih terpencil kerana bersebelahan dengan hutan. 

"Ah, aku datang sini kenapa pulak. Ini kan Blok A. Aduh. macam mana aku boleh tak perasan tempat ni" Akmal merungut cemas. Entah apa yang ditakutinya. 

Akmal memandang kawasan sekeliling. Matanya melilau ke kawasan sekitar seperti orang yang tidak keruan. Tiba-tiba, dia terpandang ke arah tangki air. Dia diam membisu tanpa sepatah suara. Kakinya terketar-ketar apabila ternampak lembaga perempuan berdiri di atas tangki tersebut.

tangki air (sumber google)


"Mal, kau tahu tak tangki air kat belakang Blok A tu? Kat situlah tempat pelajar perempuan bunuh diri dulu. Dengar kata dia tak lulus peperiksaan. Sebab dah terlampau kecewa agaknya, dia terjun dari tangki air tu. Lepas dari kejadian tu, ada juga yang kata dengar suara orang menangis waktu malam kat situ. Ish, kau jangan berani nak pergi tempat tu seorang Mal" teringat Akmal akan cerita Zaid (bukan nama sebenar) dua minggu lepas kepadanya.

Akmal bertambah cemas dan takut. Dia tidak mampu untuk menjerit apatah lagi untuk berlari. Kakinya kaku saat itu dan tak mampu untuk bergerak. Dia hanya mampu pasrah dengan apa yang bakal terjadi. Lembaga yang dilihatnya tadi masih ada di pandangan matanya. Perlahan-lahan lembaga itu seolah-olah menghampirinya. Mulut Akmal terkumat-kamit membaca surah-surah yang terlintas di fikirannnya. Fikirannya sungguh takut sehinggakan dia terbaca doa masuk ke tandas.

Tiba-tiba.... (bersambung)































Bekalan elektrik terputus dan televisyen terpadam.
"Aduh, baru nak rasa seram tengok cerita kat tv ni hah, elektrik pulak terputus." Zamri (bukan nama sebenar) menjerit kemarahan. Cerita seram yang ditontonnya tadi itu benar-benar berjaya menduga keberaniannya. Jika sebelum ini dia menonton cerita seram tanpa merasa takut, cerita tadi berjaya membuatkan dia menekup mukanya dengan bantal akibat ketakutan. Jadi, Zamri terpaksa membiarkan cerita itu berlalu tanpa dia mengetahui sambungan kisah seterusnya. Zamri tidur dengan perasaan tidak puas hati. TAMAT~

Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: ada sesiapa perasan cerita hantu ni?

15 April 2011

|Pendapat| Benarkah follower tak penting?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Rasanya agak lama GR tidak menaip entri yang berkaitan dengan blog dan penulis blog. Entri terakhir mengenai blog adalah pendapat. Jadi hari ini GR akan memberi pendapat mengenai pengikut atau followers. Diulangi, memberi pendapat ya! Maka entri ini adalah semata-mata berdasarkan pandangan peribadi GR dan diharapkan penulis blog yang membaca entri ni dapat menilai pendapat ini.

guna semula, sumber google


Siapa kata follower tak penting?

Ok, setelah membaca beberapa entri mengenai isu follower ini, apa yang dapat GR simpulkan adalah kebanyakan yang menyentuh mengenai isu tersebut mengatakan follower tak penting. Berbeza dengan pendapat GR, sebenarnya follower adalah penting bagi sesebuah blog. Mengapa ianya penting? Ianya menunjukkan bahawa ramai atau tidak orang yang mengikuti perkembangan blog kita ini. 

Follower bukanlah semata-mata menunjukkan samada mereka minat atau tidak kerana apabila seseorang itu telah menjadi pengikut sesebuah blog, maka segala kemaskini entri akan disalurkan secara terus melalui dashboard mereka. Dari situ segala perkembangan kita akan diikuti mereka bukan? Maka ianya adalah penting kerana setiap orang yang menaip entri mahukan entri mereka diterima ramai melainkan mereka yang sekadar menulis untuk suka-suka tanpa sebarang tujuan.

Ya, GR sendiri akui bahawa setiap kali menaip sesuatu entri GR mengharapkan agar ramai yang menerima dan membacanya. Ini adalah asas bagi seorang penulis blog.

Tak penting untuk kejar follower?

Serius, perkara ini tidak benar. Tidak penting untuk mengejar follower? Tidak sama sekali kerana apabila seseorang mengambil keputusan untuk menjadi seorang penulis blog, mereka pasti mahukan pembaca samada pembaca sekali seumur hidup mahupun pembaca setia. Jadi, secara automatiknya mereka mahukan follower kerana walaupun dikatakan bahawa follower ini tidak semestinya pembaca yang setia tetapi mereka tetap orang yang berkemungkinan tinggi untuk membaca setiap entri kita.

Jadi, pendapat GR adalah penting untuk kita mencari follower kerana mereka ini sebenarnya adalah golongan yang berpotensi tinggi untuk menjadi pembaca setia. Lihatlah penulis-penulis blog yang terkenal, bukankah follower mereka ramai? Ini adalah hakikat!

Jangan jadikan mengejar follower sebagai kepentingan utama

Ok, berlawanan dengan pernyataan di atas, tidak perlu menjadikan perkara ini sebagai kepentingan utama. Follower datangnya dari pembaca, dan pembaca tujuannya adalah untuk meneliti entri. Jadi, apa yang penting adalah binalah cara tersendiri dalam penulisan entri anda dan cubalah untuk menawan hati pembaca. Tumpukan dahulu pada entri-entri anda dan kemudian pengikut itu akan datang dengan sendiri. Biarpun ianya mengambil masa yang lama tetapi bersabarlah. Tiada kejayaan yang akan datang bergolek bukan?

Tetapi, kadang-kadang entri kita benar tetapi pembacanya tidak ramai, maka jangan bersedih kerana ada sesetengah perkara benar yang tidak disukai orang ramai. 

Kadang-kadang perkara benar ini tidak disukai kerana ianya adalah hakikat dan kenyataan yang berlaku dalam kehidupan seharian dan mereka ini cuba untuk mengelak dari menerima kenyataan. Jadi, selagi anda menaip perkara yang benar dan memberi manfaat kepada semua, jangan bersedih apabila orang tidak membaca kerana masih ada yang mengetahui kebenaran tersebut.

Cari follower setia

Ok, ini yang GR sendiri cuba lakukan. Mencari follower yang setia. Maksudnya di sini adalah pembaca yang setia. Konsep follower sebenar bagi GR bukanlah berdasarkan jumlah pengikut yang terpampang tetapi berdasarkan pembacaan entri kita. Orang-orang yang membaca entri kita tidak semestinya mempunyai blog atau akaun google, malah mereka mungkin sekadar orang yang hanya membaca blog. Jadi, mana tahu jika kita ada pembaca setia yang tidak berdaftar sebagai follower tetapi menjadikan laman kita sebagai bookmark mereka? Siapa tahu kan? Tapi yang semestinya bukan blog ini.

Hentikan konsep 'i follow you, you follow me

Perkara ini sebenarnya sudah banyak kali disebut oleh penulis blog yang lain dalam entri mereka. Tetapi perkara ini masih lagi berlaku. Awal-awal dulu ketika GR masih terlampau baru dalam dunia blog ini, GR mengikut rentak mereka dengan kembali menjadi pengikut, tetapi setelah serba sedikit memahami dunia blog, GR sudah menghentikan perbuatan itu. Tak ada gunanya pun jika memiliki follower yang ramai tapi tidak membaca entri kita. Jadi, bagi mereka-mereka yang masih mengamalkan konsep ini harap anda menyedari perkara ini.

Mungkin GR akan mengambil masa selepas ini untuk melihat semula senarai blog yang diikuti dan membuat pemilihan semula. Jadi, maaf jika ada yang rasa sedih sebab pengikut berkurang seramai seorang, hehe.


Rasanya itu sahaja yang GR ingin katakan pada entri kali ini. Jadi, jika ada penulis blog yang tidak bersetuju dengan apa yang GR tulis ini, anda boleh memberi pendapat anda. Ini sekadar pendapat peribadi GR ok, bukan untuk menghentam pendapat penulis yang lain. 
Oh ya, GR ingin mencadangkan 2 blog yang rasanya berbaloi untuk diikuti. Jika ingin tahu mengapa mereka berbaloi untuk dikuti, anda boleh membaca entri-entri mereka. =)
http://zulfikarhazri.blogspot.com/

http://amirazoe155.blogspot.com/

Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: mendambakan kredibiliti untuk menjadi seorang penulis blog yang baik




13 April 2011

Biskut dan maggi dalam baldi itu

Assalamualaikum. Hai semua.
GR baru sudah menjalani majlis BBQ bersama rakan-rakan sekelas. Majlis tersebut sangat menyeronokkan dan mengeratkan lagi hubungan kami semua rakan-rakan sekelas, insyaallah.
Ingat lagi tak entri selipar sebelum ni? Kalau beberapa hari yang lepas GR dah ceritakan mengenai perihal selipar bagi pelajar-pelajar asrama, kali GR akan ceritakan perihal yang lain pula. Jom tengok perihal apa lagi yang ada.

1. Makan maggi guna gayung dan minum air dalam baldi

sumber google

+

sumber google


Hah, bagi yang tidak pernah tinggal di asrama, jangan pelik dengan perkara ini. Ini kisah benar, tiada yang benar melainkan benar-benar belaka. Perkara ni biasanya terjadi apabila ada majlis kenduri kesyukuran di dalam bilik atau lebih mesra dipanggil dorm. Hah, biasanya kami buat begini apabila mahu makan dan minum secara beramai-ramai dan harap anda maklum bahawa pelajar yang tinggal di asrama tidak mempunyai bekas yang besar untuk mengisi makanan ini. Terima kasih.

2. 'Mengangkat' sesama sendiri

Ok, maaf atas kesalahan tatabahasa di atas. Sebenarnya maksud GR adalah aktiviti adik dan abang atau kakak angkat. Perkara ni memang biasa terjadi di asrama. Apabila sudah ada abang atau kakak angkat, maka pelbagai kelebihan yang pelajar tersebut dapat. Salah satu kelebihannya adalah dapat makan percuma apabila dibelanja oleh abang atau kakak angkat tersebut. Bukan sekali dua, malah ada yang berkali-kali dibelanja. Apa yang merunsingkan adalah, orang-orang yang mengambil adik angkat ni kadang-kadang bukan tak ada adik beradik, tapi tetap mahu mengambil adik angkat juga. Mungkin atas dasar rindukan adik di rumah?

3. Berenang di tengah malam dalam kolam

"Selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi" nyanyian ketika majlis hari jadi.
Sepatutnya detik menyambut hari jadi menjadi kenangan indah bagi semua orang, diiringi nyanyian bersama-sama oleh rakan-rakan dan juga tiupan lilin kek. Tapi tidak bagi pelajar asrama. Bagi kami pelajar asrama, detik hari lahir merupakan antara detik ngeri kerana kolam ikan yang indah dan sejuk sedia menanti kami. Sesiapa yang menyambut hari lahir akan ditangkap sebelum dihukum berenang di tengah malam di dalam kolam atau dalam erti kata lain dicampak ke dalam kolam. Sejuk tau mandi tengah-tengah malam. Nasib baik GR tak pernah kena, sebabnya tarikh lahir GR mesti waktu cuti sekolah, hehe.

4. Oi, ada biskut tak? 

sumber google


"Adik, oh adik yang baik, ada biskut tak?". 
Berbeza dengan hantu karipap yang diceritakan oleh kumpulan Balas dalam maharaja lawak minggu pertama, bukan hantu yang akan datang mengetuk tingkap, tetapi senior-senior datang mengetuk pintu. Hah, yang ini perkara yang biasa terjadi kepada pelajar asrama. Tujuan mereka datang adalah untuk meminta belas ihsan supaya diberikan bantuan makanan waktu tengah malam. Perhatian, hanya pada waktu tengah malam kerana senior tak boleh kena cahaya matahari, nanti terbakar, haha.

Ok, rasanya cukup untuk kali ni. Nanti GR akan sambung untuk entri berkaitan hantu di asrama, alang-alang dah sebut mengenai hantu tadi kan. Jadi, nantikan sambungan entri ini pada waktu yang lain. Sekian sahaja, terima kasih, wassalam.

nota kaki kiri: Seronok makan maggi dalam baldi


10 April 2011

Antara keluarga, rakan dan kekasih?

Assalamualaikum.
Selamat hujung minggu kepada anda semua. Hari ini GR sedang berehat di rumah kerana keletihan semalam dan juga untuk bersedia menghadapi ujian pada esok hari. Apapun GR bersedia untuk menaip entri baru hari ni. Entri hari ni ada perkaitan antara kita semua dan juga GR sendiri, mengenai kehidupan kita sebagai seorang rakan, ahli keluarga dan seorang kekasih.

Secara umumnya kita memiliki sebuah keluarga, sekumpulan sahabat malah tambahannya ada yang memiliki kekasih. Anda juga memiliki mereka ini juga bukan? Jadi apa yang ingin GR sampaikan kali ini? Mari teruskan dengan perbincangan ini.

sumber google, tak ada kaitan dengan entri


Hidup bersama keluarga tidak ternilai harganya

Selalukah kita, apabila pulang ke kampung berada di rumah bersama keluarga? Ataupun bagi mereka yang memang tinggal bersama keluarga, selalu menghabiskan masa bersama keluarga sendiri. Kalau dilihat dengan anak-anak masa kini, apabila mereka berada bersama keluarga, jarang dilihat sudi untuk menghabiskan masa bersama. Apabila pulang ke kampung ataupun rumah, masa itu lebih banyak diluangkan untuk bersama rakan-rakan dan juga kenalan mahupun kekasih hati.

Bukan untuk menghalang anda daripada bergaul dengan orang lain, tapi seharusnya kita tahu masa yang mana sepatutnya diluangkan bersama keluarga. Ada anak-anak yang tidak mahu untuk menemani ibu bapa mereka hanya semata-mata untuk keluar bersama rakan-rakan. GR akui, sehingga ke hari ini GR lebih mengutamakan permintaan ayah dan mak GR untuk menemani mereka daripada menuruti ajakan rakan-rakan untuk keluar berhibur. Kadang-kadang GR terpaksa untuk menolak ajakan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu kerana tidak mahu membiarkan emak keseorangan di rumah.

Jaga pergaulan dengan rakan-rakan anda

Walaupun GR menegaskan mengenai masa dengan keluarga, tidak bermaksud GR menolak mentah-mentah untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan. Tidak sama sekali, bahkan GR cuba untuk terus bergaul dengan rakan-rakan GR. Setiap kali pulang ke kampung, GR akan bertemu dengan rakan-rakan di kampung dan berborak malah ada juga melepak bersama mereka. Cuma ada masanya GR perlu untuk menolak ajakan mereka kerana masa yang tidak sesuai.

Satu lagi isu adalah apabila sudah mempunyai ramai rakan. Sebagai contoh antara rakan sekelas dan rakan serumah. Kadang-kadang ada sesetengah orang yang terlalu 'melekat' dengan satu dua rakan sehingga tidak bergaul dengan rakan-rakan lain. Ibaratnya sebegini, anda sudah punyai sekumpulan rakan yang anda selesa sehingga menyebabkan anda langsung tidak berminat untuk mencari rakan baru. Bagi GR, GR cuba untuk menyeimbangkan masa antara rakan-rakan GR. Ada masa yang GR luangkan untuk rakan-rakan serumah dan ada masa yang GR luangkan untuk rakan-rakan sekelas kerana mereka ini semuanya berharga bagi GR =).

Aku hanya nak bersama dengan dia, tiada orang lain


Ini perkara yang selalu berlaku apabila sudah mempunyai kekasih. Sangat sukar untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan dan terlalu banyak bersama dengan si dia. Ah, GR sangat sukar untuk menerima perkara seperti ini. GR juga agak terganggu apabila melihat orang-orang yang hanya mahu bersama kekasih mereka 24/7. Apabila diajak untuk keluar bersama, ada sahaja alasan seperti tak ada duit, ada kerja. Tapi bila diajak sang kekasih cepat pula bersiap. Untuk mereka-mereka yang seperti ini, anda harus sedar bahawa hidup anda bukan hanya untuk didedikasikan kepada kekasih sahaja. Selain daripada hidup untuk Allah dan agama, anda juga harus hidup untuk diri anda, hidup untuk kawan-kawan dan keluarga. 

Mungkin ada yang tidak memahami apa yang GR maksudkan di atas. Maksudnya adalah anda bukan hanya perlu untuk menjaga kepentingan kekasih sahaja, tetapi perlu juga menjaga hati rakan-rakan dan keluarga anda. Mereka ini yang akan membantu anda di saat anda susah nanti. Mereka ini yang akan setia dengan anda saat kekasih anda tidak lagi setia. Bukan tidak boleh untuk meluangkan masa untuk kekasih, tetapi biarlah berpatutan dan tidak perlu melebih-lebih. Ajal, maut, dan jodoh di tangan tuhan bukan? 

Akhir kata dari GR, kita harus bijak untuk membahagikan masa bersama dengan orang-orang yang penting dengan kita agar tidak melukakan atau membuat sesiapa merasa cemburu dengan kita. Sebenarnya ada rakan-rakan, keluarga, bahkan kekasih itu sendiri yang cemburu kerana kita tidak membahagikan masa sebaik-baiknya. Benarkah sebegini? Tanya sama hati anda sendiri.

Di bawah ini ada video istimewa untuk anda semua. Tengok dengan hati yang terbuka tanpa memikirkan apa-apa. hehehe.


Sekian untuk entri kali ini, wassalam.

nota kaki kiri: GR sayang semuanya =)

08 April 2011

Kau kunci selipar itu

Assalamualaikum.
Dah macam jadi kebiasaan pula, siarkan entri baru waktu tengah malam ataupun pagi. Hai, banyaknyalah kerja yang perlu GR habiskan. Nasib baik dah selesai 75% tugasan, hehe.

Anda semua yang sudi baca entri ni, pernah duduk asrama tak? Kalaulah anda semua pernah duduk di asrama, apa perasaan anda apabila terkenang balik peristiwa-peristiwa semasa menetap di asrama dulu? Mesti ada macam-macam peristiwa kan? Sedih, gembira, lawak, marah, semuanya ada. Tapi kalau nak diikutkan, menetap di asrama banyak meninggalkan kesan kepada mereka yang terlibat. Semestinya banyak perkara manis yang akan mereka alami. GR juga tak terlepas dari mengalami perkara yang sama. Berpeluang untuk menetap di asrama sejak daripada tingkatan satu dan sehingga sekarang masih hidup berjauhan dengan keluarga. Ok, lupakan seketika semua itu. Sekarang GR nak kongsikan beberapa perangai atau perbuatan yang kebiasaannya akan dilihat berlaku kepada pelajar-pelajar yang menetap di asrama.

Tapi GR akan nyatakan semuanya melalui entri yang berbeza. Untuk kali ini, entri mengenai:

Selipar
macam biasa sumber dari google


Hah, selipar. Kalau mengenai perihal selipar ni lah kan, boleh diceritakan selama 3 hari 2 malam berturut-turut tanpa henti (melebih-lebih seketika ya ^_^). Macam-macam peristiwa mengenai selipar ni. Tapi, GR nak ceritakan sedikit sahaja peristiwa mengenai selipar ni.

1. Selipar berkunci
Hah, yang ini memang tak dijual di kedai runcit, kedai gunting rambut mahupun dobi. Aktiviti ni juga memang tak ada diceritakan di layar perak, drama-drama tv dan juga maharaja lawak. Selipar berkunci. Mesti ada antara anda yang baca entri ni pernah lihat selipar yang dikunci dengan mangga ataupun yang lebih ekstrem menggunakan rantai. Biasanya dilihat di kawasan surau dan dewan makan asrama. Gambar? Maaf, dulu masa GR sekolah kamera memang belum mampu untuk dimiliki. hehehe.

2. Selipar separuh ataupun ditoreh-toreh
Selipar separuh ni lagilah dahsyat. Selipar separuh ni bukanlah bermakna dia ni spesis khunsa (separuh lelaki separuh perempuan), tapi selipar memang betul-betul ada separuh. Macam mana boleh jadi separuh? Sebab tuan punya selipar ni dah potong separuh selipar dia. Tujuan? Untuk membezakan selipar dia dengan orang lain. Pelik juga GR masa tengok selipar separuh ni, kan ke serupa dia tak pakai selipar. Perumpaan untuk orang yang memakai selipar separuh ni adalah sama dengan memakai baju melayu dipadankan dengan seluar pendek (ada kaitan ke? hehe). 
Untuk selipar yang ditoreh-toreh tu, kalau anda nak tahu torehan mereka kadang-kadang kreatif, kadang-kadang tak berapa nak menjadi. Tapi tak pernah lagi GR jumpa selipar yang ditoreh dengan seni batik setakat ni.

3. Selipar cap nama sendiri
Hah, yang ni biasa sangatlah kan tengok di asrama. Selipar cap nama sendiri. Bak kata penterjemahan bahasa inggerisnya, ada copyright sendiri. Bangga tak ada selipar cap nama sendiri? Tujuannya adalah untuk mengumumkan hakmilik atau hakcipta ke atas selipar tersebut. Tapi sebenarnya tak berkesan pun cara ni untuk menghalang orang dari mencuri, bahkan si pencuri tu lagi berasa bangga sebab dapat curi barang yang terang-terang ada nama tuan empunya. Sebab apa? Bukti dia tu berani. 

4. Selipar salah kawan
Ok, abaikan tajuk untuk isi ini. Itu hanya metafora sahaja, hehe. Selipar salah kawan ni maksudnya selipar sebelah lain sebelah lainlah. Kalau sebelum ni ada cerita kisah mengenai selipar tak sama, kali ini lebih kurang juga. Cuma yang ini boleh dikatakan perkara biasa di kalangan pelajar asrama. Malu atau segan sudah tiada dalam kamus hidup, kalau setakat berkaitan dengan selipar ni. GR pun pernah menjadi salah seorang ahli kelab selipar tak sama kawan ni, hehe. Kadang-kadang tu sengaja sarung selipar tak sama sebab nak elakkan dari dicuri. Tapi kalau dah namanya pencuri, ambil tetap ambil juga.

Ok, rasanya cukup setakat 4 sahaja agaknya? Tak boleh panjang-panjang, nanti semua bosan pula baca kan. Dahlah blog ni bosan. Ini baru pasal selipar, belum masuk lagi perkara lain. Nantilah lain masa GR masuk bab lain pula. Sekian, terima kasih sudi baca. Wassalam.

nota kaki kiri: rindunya nak jenguk asrama sekolah~

05 April 2011

3 Tips mengurangkan rasa gementar ketika pembentangan

Assalamualaikum.

Ok, GR sedang gementar tak tentu hala mengenangkan pembentangan usul untuk projek tahun akhir yang akan berlangsung esok. Kenapa gementar sangat? Sebabnya tajuk projek GR tidak berapa nak lekat di hati, hehehe. Maksudnya bukan projek yang benar-benar diminatilah. Jadi, takut-takut soalan yang ditanya nanti tak dapat dijawab pula.

Mari, GR curi masa untuk kongsi sedikit tips yang diberikan oleh pensyarah GR semasa mengambil subjek presentation skills dua semester lepas. Tips berkenaan dengan bagaimana mahu mengurangkan rasa gementar dan juga bagaimana mahu menjadi pembentang yang baik.

Tumpukan pandangan ke arah objek, orang atau tempat yang anda selesa

Ok, tips pertama adalah tumpukan pandangan anda kepada tempat atau objek yang anda selesa untuk mengelak daripada berasa gugup semasa melakukan pembentangan. Tapi bukan bermakna anda pandang objek/tempat tersebut sepanjang masa ya, nanti silap-silap kena tegur dengan panel pula. Kenapa anda perlu pandang tempat/objek yang anda selesa? Ini adalah untuk mengurangkan tekanan kepada anda. Cuba fikir, kalau anda pandang panel atau penilai sepanjang masa mesti terasa tekanan bukan? Jadi, alihkan pandangan seketika ke tempat lain untuk mengurangkan tekanan tersebut.

Contoh objek/ tempat: tingkap, dinding, poster di dinding, kawan-kawan.

Elakkan dari memikirkan terlampau banyak mengenai penilaian

Selalunya kan, semasa kita membuat pembentangan mesti asyik fikir mengenai penilaian panel tersebut, atau dalam erti kata yang lebih mudah apa yang dia fikir mengenai kita. Jadi, kalau boleh kurangkan atau hilangkan terus dari pemikiran anda mengenai perkara tersebut. Sebenarnya, kita tak perlu terlalu tertumpu pada penilaian, sebaliknya kepada isi dan perkara yang ingin kita sampaikan tersebut. Jadi, bila kita dah fokus kepada isi pembentangan kita, insyaAllah segalanya akan berjalan dengan lancar.

Selalunya bila fikir terlampau banyak mengenai penilaian panel akan menyebabkan kita terlepas isi-isi penting yang ingin kita sampaikan.

Bergerak-gerak ke tempat lain untuk mengurangkan tekanan

Hah, yang ini rasanya agak bagus untuk diamalkan. GR dah pun mengamalkan tips ini. Istilah bergerak tu bukanlah bermaksud anda perlu untuk melakonkan aksi ya, cuma sekadar bergerak ke kiri atau ke kanan sedikit. Anda juga boleh bergerak menghampiri rakan-rakan ataupun panel, jika anda mahu, hehehehe. Ok, lebih mudah kalau anda bergerak ke arah skrin dan menunjuk ke arah isi anda yang terpampang di atas skrin itu. Sekadar untuk melegakan fikiran anda ya. Jika anda lebih kreatif, anda juga boleh membuat gambaran mengenai isi anda menggunakan isyarat tangan ataupun lebih mudah jika anda menulis atau melukis sambil membuat pembentangan tersebut.  GR nak buat macam ni esok, hehehe.

Selesai sudah 3 tips untuk kali ini. Gambar di bawah?

sumber google


 Itu sahaja rasanya untuk entri kali ni. Tak boleh nak taip panjang-panjang, nanti tak sempat nak bersedia untuk pembentangan.
Doakan GR untuk berjaya membuat pembentangan esok ya?
Sekian. wassalam.

nota kaki kiri: jangan jadi macam gambar tu sudahlah~

02 April 2011

Nota putus asa untukmu

Assalamualaikum.

Salam jumaat untuk semua. Apa khabar anda? Sihat semuanya bukan? Esok akan menjelang hari sabtu, hari yang dinanti-nantikan oleh sesetengah orang untuk menikmati rehat ataupun bersiar-siar. Apa-apa pun GR harap anda semua menjalani hari minggu dengan aktiviti yang sihat dan tidak membahayakan diri anda semua.

Putus asa, anda pernah mengalami rasa berputus asa? Pernah tak anda merasakan sekali dalam hidup anda, rasa mahu berputus asa dalam hidup anda? Rasa mahu berhenti dari mengejar sesuatu yang anda tak mampu capai. Wujudnya rasa putus asa anda itu adalah kerana anda sudah letih berusaha dan masih tidak berjaya untuk mendapatkannya. Bagi GR, sebagai seorang pelajar, rasa putus asa tidak lekang dari kamus hidup. Pasti akan ada satu saat untuk GR sendiri merasa letih kerana sudah berusaha sedaya yang termampu, namun tidak juga berjaya. Perasaan ini sering timbul apabila GR sudah berusaha yang terbaik, tapi masih tidak juga berjaya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Anda juga pernah mengalami keadaan sebegini? Jadi, apa yang anda buat untuk mengatasi rasa tersebut? Mari GR kongsikan sedikit apa yang GR cuba tanamkan dalam perasaan untuk mengatasi rasa ini.

Menjadi yang terbaik tidak semestinya terbaik untuk kita

Prinsip ini menjadi pegangan GR setelah dinasihati oleh seorang pensyarah semasa pengajian di peringkat diploma dahulu. Pesan beliau:

"Kita ni, selalunya masa berdoa mesti minta untuk jadi yang terbaik, untuk dapat keputusan yang terbaik. Tapi hakikatnya kita semasa beramal, bukanlah dengan cara yang terbaik. Sepatutnya, semasa berdoa tu mintalah yang terbaik untuk diri kita sendiri, sebabnya Allah S.W.T mengetahui sejauh mana kurniaan itu terbaik untuk kita"
-Dialog diubah berdasarkan penterjemahan GR-

Pernah tak anda terfikir, mengapa kita diberi kegagalan? Mengapa orang lain menerima kejayaan sedangkan kita tidak? Mengapa kita tidak dikurniakan dengan kekayaan seperti orang lain? Bagi GR, pegangan GR adalah mudah, tak semestinya kita kecapi semua kejayaan tersebut, ianya menjanjikan pulangan yang terbaik untuk kita. Gagal? GR pernah gagal, dan selepas memikirkan kembali kata-kata pensyarah GR ini, ianya mengubah persepsi GR terhadap kegagalan. Tak semestinya kita gagal sekarang, kita akan gagal pada masa hadapan. Tak semestinya kita berjaya sekarang, kita akan berjaya juga di masa hadapan. 

Cuba fikir, kalaulah kita dapat jadi pelajar yang terbaik di dalam kursus, mungkin kita akan berubah sikap. Mungkin kita akan perlahan-lahan menjadi malas untuk berusaha. Malah, apabila kita gagal mungkin kita akan menjadi seorang yang lebih kuat berusaha. Kegagalan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan. Satu lagi perihal mengenai perkara yang terbaik untuk kita. Tak semestinya hidup dengan kekayaan itu akan menjadi perkara yang terbaik untuk kita. Sebagai contoh, jika kita hanya ditakdirkan untuk hidup secara sederhana sepanjang hayat mungkin ianya lebih baik kerana kita akan dihindari dari perasaan riak dan takbur. Mungkin kita lebih mudah untuk beramal kepada Allah S.W.T dan seterusnya kita menerima balasan yang terbaik di akhirat kelak, siapa tahu? Percayalah, Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Bertawakal selepas berusaha

Bertawakal kepada Allah, bermaksud menyerahkan segala-galanya kepada pengaturan Allah, selepas berusaha dalam melakukan sesuatu. Selesai kita berusaha, seharusnya kita menyerahkan semuanya kepada perancangan Allah supaya apa yang kita lakukan itu mendapat rahmat dan keredhaanNya. Mengapa perlu kita bertawakal? Bagi GR, kita perlu bertawakal selepas berusaha untuk mengelakkan dari rasa terlampau yakin atau terlampau tidak yakin. Bagaimana yang dikatakan terlampau yakin dan apa kesannya? Contoh termudah adalah dalam kehidupan seorang pelajar, kerana GR sendiri seorang pelajar.

Selesai menjawab peperiksaan, pelbagai reaksi yang kita akan nampak memalui semua orang. Ada yang gembira dan sedih. Bagaimana dengan mereka yang terlampau yakin ini?

"Aku dapat jawab soalan tadi, rasanya bolehlah nak dapatkan A+"

"Aku dah cuba yang mana aku mampu, insyaAllah kalau ada rezeki aku nanti, adalah tu"

Cuba lihat perbezaan dua dialog di atas. Rasa-rasanya jika sudah keluar keputusan peperiksaan, kedua-dua mereka gagal, yang mana satu akan merasa kecewa dan marah? Pastinya yang pertama bukan? Jadi, elakkan dari terlampau yakin dan juga bertawakallah kepada Allah selepas sudah berusaha. Tetapi ingat, jika anda tidak berusaha dan bertawakal semata-mata ianya bukanlah perkara yang baik malah mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.

Apa kata anda luangkan sedikit masa untuk menonton video yang tidak seberapa di bawah ini, sekadar luahan kata-kata dari GR.


Sekian sahaja untuk kali ini.
Wassalam

nota kaki kiri: pernah juga rasa berputus asa

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails