commercial break

06 August 2011

Proses Pelupusan Sampah

Assalamualaikum.

Hai, salam ramadhan untuk hari ke 6. Apa khabar anda semua? Ramai tak yang dah mula mengalami penurunan berat badan? Atau ramai yang mengalami kenaikan? Hehe. Semoga ramadhan kali ini membawa seribu barakah buat kita semua ya.

Hari-hari kita buang sampah. Ada yang sampahnya dibuang lalu dibakar. Ada yang dikumpul dan kemudian diletakkan ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan perumahan. Ada juga yang mengumpulkan sampah di hadapan rumah dan kemudian sampah itu dipungut oleh pihak majlis perbandaran. Semua orang tahu cara untuk membuang sampah dan di mana patut kita buang. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana sampah-sampah yang dikutip itu dilupuskan? Mari GR terangkan serba sedikit proses pelupusan sampah.

********

Anda biasa mendengar orang menyebut tapak pembuangan sampah? Atau anda biasa dengar perkataan tapak pelupusan sampah? Ya, kedua-duanya mempunyai perbezaan. Mari kita mulakan dengan tapak pembuangan sampah.

tapak pembuangan sampah di Langkawi

Gambar yang anda lihat di atas adalah di kawasan tapak pembuangan sampah (Dumping Site). Tapak pembuangan sampah merupakan tempat sampah-sampah yang dipungut dari kawasan yang terlibat akan dibuang. Di tapak ini, sampah-sampah ini akan dikumpulkan dan kemudian dimampatkan di dalam tanah. Apabila sudah mencapai tahap ketinggian tertentu, sampah ini akan dikambus dengan lapisan tanah. Lapisan tanah itu juga akan dimampatkan menggunakan compactor. Ketinggian tanah yang ditetapkan bergantung kepada pihak yang menjaga tapak pembuangan sampah ini. 

Proses di tapak ini kelihatan mudah bukan? Tetapi ianya mendatangkan bahaya kepada alam sekitar. Sebelum kita sentuh mengenai itu, kita teliti dulu proses pelupusan sampah pula.

tapak pelupusan sampah di Johor

Ok, gambar ini adalah di kawasan tapak pelupusan sampah. Nampak sama saja bukan? Apa yang membezakan keadaan di tapak pembuangan dan pelupusan sampah adalah di sini terdapat sistem untuk menguruskan gas dan juga leachate (air sampah)

Proses yang sama pada awalnya, sampah-sampah akan dimampatkan di dalam lapisan dengan ketinggian tertentu. Oh ya, di sini juga ada mengamalkan proses kitar semula (pengasingan), di mana sebelum memasuki tapak pelupusan, lori-lori sampah meninggalkan sampah di kawasan kitar semula. Sampah-sampah yang sudah diasingkan akan dibawa ke tapak pelupusan.

Apabila sudah mencapai had ketinggian yang ditetapkan, lapisan ini akan ditutup dengan tanah. Tetapi sebelum itu, pekerja-pekerja akan menyembur EM (effective microorganisms) untuk mempercepatkan proses pereputan sampah. 

maaf gambar kabur

Mereka juga akan meletakkan lapisan HDPE Liner untuk mengelakkan lapisan sampah itu terganggu. Jika anda lihat di dalam gambar, HDPE liner tersebut yang berwarna hitam.

Kualiti udara dan juga air bawah tanah akan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar. Jadi, pengurusan tapak akan memastikan tiada leachate yang akan meresap ke sumber air terdekat.

Berbeza dengan tapak pembuangan sampah, di sini mereka mempunyai paip yang dibuat untuk menyalurkan gas dan juga leachate yang terhasil. Gas-gas yang terhasil adalah berbahaya dan perlu dirawat untuk mengelakkan ianya terlepas ke udara. Contoh gas adalah metana (methane). Leachate pula adalah air yang terhasil daripada sampah-sampah yang berair yang dikumpulkan. Ianya berbahaya dan mengandungi partikel-partikel berbahaya seperti metal yang boleh mencemarkan air bawah tanah yang berdekatan.

Adalah penting bagi sesuatu tapak pelupusan sampah untuk menjaga kedua-dua perkara ini kerana ianya menjadi keutamaan. Lihatlah apa yang terjadi sebelum ini di Bachok, Kelantan, apabila air bawah tanah di sekitar kawasan tapak pembuangan sampah sudah tercemar dan membuatkan air di situ berbahaya kepada penduduk.

inilah dia leachate

Ok, rasanya cukup sampai di sini saja penerangan yang GR beri. Semuanya adalah berdasarkan umum saja, tiada fakta teknikal. Sekadar untuk berkongsi serba sedikit pengetahuan yang ada. Semoga ada manfaat di sebalik entri ini.

Seeloknya kita kurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan mengamalkan amalan kitar semula, kerana walaupun nampak terjaga dengan sistem pelupusan sampah, hakikatnya ianya mendatangkan banyak masalah kepada alam sekitar. Lagipun, kawasan yang sedia ada semakin berkurangan. Sama-samalah kita manfaatkan bumi hijau kita ini.

Sekian, terima kasih sudi baca. Wassalam.

6 comments:

Anonymous said...

baru tgok berite psl sampah ni. heee

pnjgnye penerangan gedung. tu gamba gedung ambik sendiri ke? nape kabur?

Sya_Merpati Putih 88 said...

kalau nak kurangkan sampah yg di buang kne lah buat kitar semula...barulah boleh jaga lam sekitar..makin ramai org, makin banyak sampah yg terbuang, makin hari makin tak cukup pusat pelupusan nie...

NFE. said...

sy belajar jgk sikit2 pasal benda nei dulu.lecturer sy ckp sekarang paling bahaya penggunaan beg plastik.sbb dia susah sgt2 nak lupus.hee.

cik kompas said...

pasal EM tu sangat menarik..

GR said...

silah: panjang ke? itu baru sikit, huhu. aah ambil sendiri. kabur sebab dalam bas tu.

TB: ya, kitar semula adalah langkah yang efektif untuk kurangkan plastik.

elyana ahmad: hoho baguslah belajar. ya, masa untuk penguraian plastik mengambil masa beratus tahun

cik kompas: memang menarik pun :)

ummu bakr said...

orang zaman moden suka buat perarakan sampah. nak buang sampah lain, sampah lain yang datang. i.e. nak buang sampah zahir di mata dapat pulak sampah (asap lori) berkepul-kepul. sebab itulah kadar pencemaran semakin berlipat kali ganda. adakah cara orang zaman moden ini lebih maju? bermuhasabahlah tentang tahap pencapaian akal manusia. unsur yang tak boleh di lihat dengan mata kasar sama pentingnya dengan benda yang boleh dilihat dengan mata kasar. pandanglah dengan mata hati.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails