Assalamualaikum.
Hai semua.
Rasanya sebelum ini GR ada memberitahu bahawa GR adalah seorang pelajar di UiTM.
Jadi, hari ni GR nak bercerita sedikit mengenai kelebihan menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Entri ini khas untuk mendorong adik-adik yang bakal mengambil keputusan SPM, supaya anda semua boleh berfikir dengan lebih baik Samada mahu bekerja ataupun menyambung pengajian terlebih dahulu.
Kenapa anda perlu menyambung pengajian?
Kehidupan zaman sekarang bukanlah semudah kehidupan zaman ibu bapa kita. Pada zaman sekarang, persaingan untuk merebut pekerjaan amatlah tinggi. Sedangkan keputusan PMR sudah tidak lagi digunakan untuk mengambil pekerja walaupun di kilang-kilang berbeza dengan zaman selepas persekolahan GR dan sebelumnya, manakala dengan hanya kelulusan peringkat SPM pula, anda boleh bayangkan pekerjaan di sektor mana yang akan menerima anda.
Ya, rezeki itu di tangan tuhan.
Cuba lihat, ada juga orang yang dahulunya tidak tamat persekolahan kini telah menjadi jutawan. Orang yang membuat keputusan untuk tidak menamatkan pengajian seperti Bill Gates, Mark Zuckerberg dan beberapa orang lagi telah menjadi jutawan walaupun mereka tidak menamatkan pengajian mereka.
Tapi fikirkan kembali, mereka ini mempunyai fokus yang tinggi terhadap kemahiran yang mereka kuasai dan bijak untuk memanipulasikan kemahiran mereka itu. Adakah anda juga sebegitu? Punyai kemahiran yang mampu mencetuskan revolusi sekurang-kurangnya untuk negeri anda?
Jika tidak, lupakan hajat anda dan akuilah bahawa pendidikan adalah sangat penting di kala ini.
Menyambung pengajian untuk mendapatkan kerja yang bagus?
Kebanyakan daripada kita akan berfikir begini. Ya, GR akui GR juga berfikiran sebegini. Tapi harus diingat, keputusan yang cemerlang bukannya penentu samada anda akan mendapatkan pekerjaan yang bagus.
Pasaran di alam pekerjaan sekarang sudah berubah di mana bukan sahaja orang yang mempunyai keputusan cemerlang akan menerima pangkat yang tinggi, tetapi orang yang berkemampuan untuk mengadaptasikan ilmu yang dipelajari adalah amat dicari.
Keputusan yang cemerlang tanpa kemahiran bekerja yang bagus tidak membantu, tetapi bukan bermakna kita tidak perlu untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang kerana kecemerlangan itu juga boleh dijadikan sebagai kayu ukuran sejauh mana kredibiliti yang kita ada.
Pengajian di peringkat tinggi sebenarnya bukan sahaja untuk memperolehi keputusan yang cemerlang semata-mata, malahan anda juga boleh mencedok pelbagai pengalaman yang berguna untuk alam pekerjaan nanti. Di peringkat ini, anda akan dilatih untuk menghadapi tekanan pekerjaan, menyesuaikan diri di persekitaran yang baru, melatih skil komunikasi dengan orang lain dan sebagainya.
Belajar sebagai salah satu perjalanan dalam kehidupan.
Bermula dari proses kelahiran kita, kita sudah mula menempuhi proses pembelajaran.
Daripada belajar untuk meniarap, merangkak, berjalan, bercakap, berlari dan sehingga kita membesar proses pembelajaran itu tidak pernah berhenti.
Setiap hari kita akan mempelajari sesuatu yang baru walau tanpa kita sedari sekalipun.
Jadi, apa salahnya jika kita ambil peluang untuk mempelajari bagaimana kehidupan kita sebagai pelajar di peringkat pengajian tinggi?
Tidak semua orang berpeluang untuk menyambung pengajian, maka jika anda merupakan salah seorang yang layak untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi seeloknya anda terimalah tawaran tersebut dan lakukan yang terbaik untuk kejayaan anda.
Seronok ke belajar di IPT?
Tidak ternilai harganya, pengalaman yang GR sendiri perolehi sewaktu berada di alam pengajian di IPT.
Pengalaman untuk menyesuaikan diri dengan budaya luar, bertemu rakan-rakan yang baru, melatih keyakinan diri, belajar untuk membuat keputusan, belajar untuk menghargai diri sendiri, belajar bagaimana perasaannya apabila diberi tanggungjawab dan banyak lagi pengalaman berharga.
Jika hendak diceritakan betapa berharganya berada di alam pengajian ini, tidak cukup untuk diceritakan semuanya.
Kesimpulannya, anda tidak akan rugi sekiranya anda menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Maka, kepada adik-adik yang bakal mengambil keputusan SPM pada 23 Mac nanti, semoga adik-adik semua fikirkan masak-masak sebelum membuat keputusan. Semoga dapat membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk adik-adik dan juga keluarga.
Antara kenangan terindah yang GR dapat semasa di peringkat pengajian tinggi. Banyak lagi yang tak dapat diceritakan dalam entri ini.
Oh ya, antara rakan pengajian GR yang mempunyai blog, lawatlah mereka jika anda rajin:
Sekian, wassalam.
nota kaki kiri: Percayalah, tidak akan sekali pun anda kerugian melainkan anda sendiri yang mencipta kerugian itu =)
2 comments:
good luck adik2..."akak" xlarat dah blaja... hohohohohoh
ya, adik-adik dengarlah kata akak athirah tu. hehehe
Post a Comment