commercial break

30 March 2011

Sebab-sebab kedai mamak lebih laku

Assalamualaikum.
GR ada ujian pagi esok, tapi masih mengambil sedikit kesempatan untuk menaip entri baru. Ujian, sila beri peluang kepada saya untuk menaip di blog ya. hehehe.

Hah, dulu GR ada buat saru persoalan kenapa orang suka makan di kedai mamak. Kali ini, GR tak mahu memberi persoalan, tetapi memberi pendapat pula. Agak-agaknyalah, kenapa orang suka makan di kedai mamak ya? Ada antara anda yang mahu cuba jawab? Tapi tak ada hadiah untuk andalah ya, hehe. Sebelum tu, mari lihat gambar di bawah:

Mamak, roti telur satu!
Sila terliur dengan gambar di atas, ini arahan, hehe. Kita teruskan dengan mengapa orang suka makan di kedai mamak:

  1. Perkhidmatan yang laju dan pantas. Ini tak dapat dinafikan, kerana GR bukannya baru sekali dua makan di kedai mamak ni. Perkhidmatan mereka memang pantas dan efektif. Ada satu kisah benar mengenai betapa efektifnya perkhidmatan mereka, tapi sebentar lagi GR ceritakan ya.
  2. Makanan yang disediakan terdiri daripada menu yang digemari ramai. Sebagai contoh, roti canai memang tak dinafikan menjadi salah satu makanan kegemaran rakyat Malaysia, manakala mee goreng di kedai mamak memang sedap, dan nasi kandar yang sememangnya menjadi pilihan ramai walaupun harganya kadang-kadang sangat mahal.
  3. Siaran langsung perlawanan bola ada disiarkan. Hah, ini faktor utama mengapa ramai pengunjung terutama lelaki suka makan di kedai mamak. Seperti yang kita tahu, golongan lelaki dan bolasepak tak dapat dipisahkan. Maka, disebabkan itu, kedai mamak menjadi pilihan untuk menonton perlawanan bola, tambahan pula skrin besar biasanya ada disediakan di kedai mamak. Tak percaya? Cubalah singgah di kedai mamak ketika perlawanan bolasepak sedang berlangsung, pasti orang-orang yang tidak minat untuk menonton bola akan sangat suka dengan keadaan tersebut (sambil mengangkat tangan ke bahu dan mata mendongak ke atas).
  4. Waktu operasi yang panjang. Hah, kebanyakan kedai mamak beroperasi 24 jam setiap hari. Jadi, bagi orang-orang yang mengalami masalah perut lapar secara tiba-tiba di tengah malam (sindrom diri sendiri =P) memang tanpa ragu-ragu akan memilih kedai mamak sebagai destinasi pilihan.
  5. Sebab kedai itu kedai mamak. Kenapa? Mamak-mamak ini ada juga yang kacak-kacak, maka ini menjadi daya tarikan untuk para gadis supaya singgah makan di kedai mamak tersebut.
*Sila abaikan kenyataan nombor 5 tersebut, hehe.

Ok, tadi GR ada cakap mengenai kisah benar bukan? Kisahnya adalah begini:

Kejadian ni berlaku pada bulan Ramadhan tahun lepas. Rakan serumah GR pergi ke kedai mamak untuk membeli makanan pada waktu sahur. Nak dijadikan cerita, makanan tersebut kurang daripada jumlah yang dipesan dan dibayar (faham ke?). Tapi disebabkan waktu dah lewat pada masa tu, dia tak pergi pun ke kedai tu untuk beritahu. Esoknya pula, waktu sahur kawan GR ni pergi ke kedai mamak yang sama untuk beli makanan. Langsung diberitahu kepada penjaga kaunter pasal kes semalam tu. Yang paling tak tahannya, dia tanya siapa yang ambil pesanan semalam tu pada kawan GR, lepas tu bila dah jumpa tanya pada pelayan tu dia ingat pesanan kawan GR tu. Hah tengok tu, pelanggan punyalah ramai pun dia boleh ingat pesanan tu sama seperti yang kawan GR pesan. Lepas tu, dapatlah kawan GR tu minta balik duit dia. Efektif kan? Sebab kalau tengok kat kedai mamak ni cara kerja mereka tersusun. Itu sahaja kisah benar yang benar-benar terjadi dan bukannya rekaan semata-mata.

Diingatkan, entri ini sekadar pendapat dari GR sendiri dan tiada kena-mengena dengan tujuan promosi. Bukannya tak suka makan di kedai lain, tapi cuma harap prestasi kerja ini dapat diamalkan di kedai-kedai makan yang lain. Barulah seronok nak makan di luar. GR pun bukannya selalu makan di kedai mamak ni.

*Soal kebersihan sengaja tak diceritakan kerana GR tak tahu keadaan sebenar. Jadi, lebih baik untuk tidak bercerita kalau tak tahu kan?
Sekian, wassalam.

nota kaki kiri: lapar tengah-tengah malam memang menyusahkan :P


2 comments:

Anonymous said...

owhh begituuu.
tp sy kurg mkn makanan dorg. errrr

GR said...

hehehe. GR pun sama jarang makan di situ.

Domain Murah

Related Posts with Thumbnails